1MDB Auditor General's Report: This is a copy of the Auditor General’s exact report, which we are uploading in stages over the coming week. We have re-typed the entire report in order to frustrate attempts to persecute whistleblowers. Please excuse any typing errors, the text is an exact replica.

BAB 8 RUMUSAN

Secara keseluruhannya, prestasi Kumpulan 1MDB adalah kurang memuaskan. Setelah beroperasi selama enam tahun, 1MDB menghadapi masalah hutang dan aliran tunai. Syarikat ini terpaksa menjual aset-aset strategik seperti aset tenaga dan hartanah bagi melunaskan hutangnya. Perkara ini berlaku walaupun Kerajaan telah memberi bantuan melalui jaminan, surat sokongan dan standby credit.

Dari segi tadbir urus pula, sebagai sebuah syarikat kerajaan 1MDB yang menguruskan dana yang begitu besar sepatutnya mengamalkan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik seperti panduan yang dikeluarkan oleh Putrajaya Commitee on High Performance GLC melalui Green Book: Enhancing Board Effectiveness dan Blue Book: Intensifying Performance Management Practices. Bagaimanapun, banyak amalan oleh pihak pengurusan 1MDB yang menjurus kepada kelemahan tadbir urus seperti tidak mematuh keputusan dan arahan Lembaga Pengarah 1MDB, tindakan diambil oleh pihak pengurusan sebelum kelulusan khusus daripada Lembaga Pengarah 1MDB dan pelaburan yang besar dibuat tanpa penilaian terperinci.

Sehingga kini, objektif penubuhan asal 1MDB sebagai pemangkin pembangunan strategik dan menggalakkan aliran masuk pelaburan asing ke negara ini masih belum tercapai sepenuhnya. Sebagai contoh, pelaburan yang dibuat dalam sektor tenaga untuk mengukuhkan keselamatan tenaga negara dan pelaburan strategik jangka panjang tidak tercapai kerana telah dijual kepada pelabur asing. Perkara ini berlaku kerana syarikat terpaksa memberi keutamaan untuk mengurus pinjaman yang telah meningkat secara mendadak dalam tempoh operasinya iaitu dari RM5 bilion pada bulan Mei 2009 kepada RM55 bilion pada bulan Oktober 2015.

Modal perniagaan 1MDB pula terlalu bergantung kepada pinjaman dan ini amat membebankan syarikat dan tidak mampan kerana syarikat tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk membiayai pinjaman dan kos operasinya. Sungguhpun pelan rasionalisasi dapat mengurangkan beban hutang, Kerajaan masih perlu membantu melangsaikan hutang syarikat pada masa hadapan sekiranya tidak dapat meminjam daripada institusi kewangan atau pihak lain.

Sesungguhnya pengalaman yang dilalui oleh 1MDB telah mendapat perhatian umum dan antarabangsa dengan begitu meluas sepatutnya menjadi pengajaran kepada semua syarikat GLC negara ini tentang peri pentingnya tadbir urus yang cekap dan berintegriti diamalkan. Dari segi amalan terbaik tadbir urus korporat, Malaysia telahpun mempunyai panduan dan pedoman yang sewajarnya sentiasa dipatuhi oleh semua GLC.

—TAMAT—


Chapters


English translations


Translate