ZALEHA – BAKAT TERPENDAM?

Rakyat di Sibu Sarawak, seperti mana yang diketahui, tinggal dalam bahaya dinaiki air banjir yang disebabkan oleh pembalakan. Mereka telah merayu kepada kerajaan sejak beberapa tahun ini, tetapi tidak berhasil. Kini mereka boleh merasa gembira kerana akhirnya, menjelang pilihanraya, BN telah meluluskan peruntukan. Adik Taib, Zaleha telah diupah untuk menyelamatkan mereka!


Keluarga yang mempunyai pelbagai-bagai bakat


Setiap orang tahu bahawa keluarga Taib terdiri dari ahli-ahlinya yang mempunyai pelbagai-bagai bakat. Jika mereka tidak berbakat, kenapa pula kerajaan negeri sanggup mengupah anak-anaknya, saudara-saudaranya, atau sepupu-sepupunya, atau anak-anak buahnya untuk mengendalikan pojek-projek yang besar dan bernilai tinggi? Walau bagai manapun, keadaan tersebut tetap dirahsiakan sehingga kini, adiknya Zaleha Mahmud memiliki syarikat yang pakar dalam melaksanakan kerja-kerja membina tebatan banjir.


Siapakah yang dipilih untuk membina tebatan banjir Sungai Rajang?


Kerajaan Persekutuan telah menganugerahkan projek yang penting yang bernilai RM137.2 juta sebagai usaha menghalang limpahan merbahaya air Sungai Rajang pada 2009. Walau bagaimana pun, sistem tender terbuka merupakan sistem yang diterima-pakai di seluruh dunia tetapi di Sarawak sistem ini tidak digunakan atas alasan terdapat kerahsiaan dalam kontrak projek-projek tertentu. Ini bermakna, pemilihan syarikat dan penentuan kos terpulang kepada para menteri untuk menguruskan secara berahsia.


Berdasarkan kebijaksanaan Taib dan rakan-rakan BN/UMNO dari Kerajaan Persekutuan di KL memutuskan agar kerja-kerja sensitif ini dianugerahkan kepada sebuah konsortium syarikat-syarikat pembinaan seperti Hock Seng Lee (HSL), Dwimula Bina, dan Pembinaan Nomisual Sdn. Bhd. Pada bulan Julai 2009 HSL mengumumkan:


“Sekumpulan syarikat-syarikat yang diketuai oleh Hock Seng Lee Bhd (HSL) telah memeterai perjanjian kontrak kerajaan bernilai RM137.2 juta bagi membina sistem tebatan banjir di Sibu, Sarawak. HSL akan memegang 85 peratus saham dalam projek berkenaan, manakala selebihnya dibahagikan di kalangan Dwimula Bina dan Pembinaan Nomisual. Kerja-kerja yang terlibat adalah kejuruteraan ukur, penanaman cerucuk tebingan, stesen pengepaman, penambahbaikan sistem perparitan dan pintu tebatan air pasang.”


Ini merupakan kerja-kerja teknikal dengan kepakaran yang amat tinggi. Keselesaan dan keselamatan penduduk Sibu bergantung pada hasil kerja yang bermutu tinggi ini, yang sudah tentunya dibiayai dengan banyaknya. Justeru itu, Sarawak Report ingin menyelidiki siapakah para kontraktor yang berkepakaran tinggi yang telah diupah untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan bagi kepentingan penduduk Sibu dari ancaman Sungai Rajang.


Tiada sebarang kejutan!


Kami telah mendapati bahawa Pengarah dan pemegang utama saham-saham dalam Pembinaan Nomisual adalah Zaleha Mahmud, iaitu saudara kepada Ketua Menteri Sarawak. Pengerusi DAP Sarawak yang juga Wakil Rakyat Sibu, Wong Ho Leng menyatakan rasa ‘terkejutnya’ dengan penemuan ini, dan memohon penjelasan daripada Ketua Menteri, kenapakah perlunya ahli-ahli keluarga Ketua Menteri terlibat dalam projek penting ini.

Walau bagaimana pun, rakyat Sarawak sudah biasa dengan penglibatan keluarga Ketua Menteri dalam mana-mana projek besar kerana pelbagai-bagai kepakaran mereka amatlah tinggi. Untuk menjadi ahli keluarga Taib, seseorang itu harus memiliki kepakaran yang pelbagai secara tiba-tiba dan penuh rahsia. Ini merangkumi bidang-bidang perkapalan, pembinaan, kejuruteraan, perbankan, pembiayaan dan banyak lagi bentuk pengurusan. Pengetahuan dan kepakaran dalam bidang pembalakan dan perladangan merupakan prasyarat untuk menjadi seorang dari ahli keluarga beliau.


Seimbang?


Projek tebatan banjir Sibu merupakan sebuah projek besar yang menentukan hidup-mati penduduk Sibu maka dengan ini kami mempersoalkan kelayakan Zaleha yang membolehkannya terlibat secara langsung. Kami juga mempersoalkan berapa banyakkah pembiayaan projek tersebut akan diberikan begitu sahaja kepada Zaleha. Seharusnya projek sebesar itu dikendalikan oleh sebuah syarikat kejuruteraan yang betul-betul pakar dan mahir dalam bidang tersebut.

HSL – rakan niaga yang boleh dipercayai


HSL dikatakan telah bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak beberapa tahun lamanya. Tetapi, berapa banyakkah projek telah dianugerahkan kepada HSL melalui konsortium yang dikawal oleh Taib sekeluarga (terutamanya yang melibatkan seorang lagi saudaranya yang kaya raya, Raziah Geneid-Mahmud)

Sebenarnya jaringan hubungan antara HSL dan keluarga Taib telah lama wujud. Kejayaan mendadak syarikat tersebut bertitik-tolak dari keputusan dalam tahun 1994 di mana banyak saham dikeluarkan kepada enam orang ahli keluarga Taib. Kemudiannya, pada tahun 1996 syarikat tersebut disenaraikan secara umum yang secara kebetulan hampir kesemua sahamnya dipegang oleh ahli keluarga Taib, dan bukannya oleh orang awam, walaupun terdapat lebihan saham sebanyak 77.2 kali ganda dari yang diperuntukkan! Pada waktu itu, Zaleha sendiri memegang 500,000 dari semua saham yang ditawarkan. Ini bermakna, lebih berjaya HSL, maka bertambahlah keuntungan ahli-ahli keluarga Taib. Mereka seharusnya merasa gembira setiap kali kerajaan Taib menganugerahkan kontrak-kontrak kepada HSL, dan mereka pula bertambah gembira apabila HSL diajak menyertai konsortium bersama sebuah-dua lagi syarikat milik mereka!


Usahasama yang bermisteri antara Zaleha dan HSL


Kami juga menemui suatu kejutan di mana enam minggu sebelum konsortium HSL, Dwimula dan Pembinaan Nomisual dianugerahkan kontrak melaksanakan projek tebatan banjir Sibu, Pembinaan Nomisual milik Zaleha telah menurunkan sebuah kontrak kepada HSL! Projek tersebut adalah membina 1,000 unit rumah kos sederhana yang bernilai RM126 juta di Bintulu, berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh syarikat tersebut.

Beberapa soalan untuk Taib


Sarawak Report ingin mengetahui apakah tarikh sebenar dan juga kos sebenarnya yang digunakan untuk membiayai projek perumahan di Bintulu itu, yang pada asalnya diberikan Ketua Menteri kepada adiknya itu?

Kami juga ingin melihat bukti-bukti yang menunjukkan bahawa adik beliau betul-betul memiliki segala kepakaran kejuruteraan yang telah melayakkannya mendapat kontrak membina seribu unit kediaman, dan juga, adakah syarikatnya mempunyai sejarah dalam bidang kejuruteraan dan pembinaan?

Akhir sekali, kami memohon bukti-bukti kukuh sama ada pembiayaan yang bernilai berjuta-juta ringgit yang disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga Taib, dibelanjakan setiap sen untuk kepentingan rakyat? Atau, adakah pembiayaan tersebut sememangnya digunakan sepenuhnya untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah kos sederhana, atau digunakan untuk menghiasi badan adiknya yang kaya, si Zaleha itu?

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments