4 Mar 2011

FILEM BAGI MEMPERINGATI MENDIANG ROSS BOYERT

This post is also available in: English, Iban

FILEM BAGI MEMPERINGATI MENDIANG ROSS BOYERT

Para penunjuk perasaan akan berkumpul di luar perkarangan ibupejabat FBI di Abraham Lincoln Building di Seattle pada hari Khamis ini, 3hb Mac, sebagai sebahagian dari siri-siri tindakan-tindakan antarabangsa yang mengecam 30 tahun rasuah Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud. Beliau yang berusia 74 tahun itu akan menyambut ulangtahun ke-30 menyandang jawatan sebagai menteri pada tanggal 26hb Mac ini, dan jelas merancang untuk bertanding untuk sepenggal lagi.

Bangunan berkenaan merupakan salah sebuah di antara harta kekayaan keluarga Taib di Amerika Utara menerusi beberapa buah syarikat di rantau itu yang bernilai US$80 juta, yang dikendalikan bagi pihak mereka selama 12 tahun sehingga 2006 oleh Ross Boyert. Syarikat-syarikat berkenaan pula dihubungkan dengan sebuah harta yang amat besar di Ottawa, Canada dengan portfolio yang bernilai beratus juta dollar, dan juga dihubungkan dengan sebuah lagi syarikat di London, yang mengawal harta bernilai beratus juta pound. Selain itu keluarga Taib juga memiliki harta-harta di Australia dan mempunyai jaringan perniagaan global.

Ross Boyert adalah merupakan orang yang mengesahkan kepada Sarawak Report bahawa pemilik utama kekayaan keluarga yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat berkenaan adalah Ketua Menteri Taib sendiri. Inilah fakta yang cuba disembunyikan oleh Taib, tetapi Boyertlah orang yang menyerahkan bukti-bukti berdokumentasi itu. Kami selalu meminta Ketua Menteri untuk mengesahkan kebenaran itu atau menafikannya dan menjelaskan bagai manakah peranannya sebagai Ketua Menteri membolehkan beliau memperolehi kekayaan yang melampaui akal fikiran kita secara haram tetapi dibolehkan undang-undang itu.

Boyert telah menganggap dirinya sebagai rakan kepada keluarga Taib dan mengatakan di pernah beberapa kali berjumpa dengan Ketua Menteri itu dan juga arwah isterinya, Laila Taib. Boyert menyatakan tiada sebarang keraguan bahawa Taiblah orang yang mengawal dan mengendalikan perniagaan milik keluarganya itu. Dia juga menyatakan bahawa dia tidak sedar bahawa bangunan-bangunan yang telah dibeli oleh Taib sebenarnya menggunakan hasil pembalakan haram dan penuh rasuah.

Namun, Boyert telah menggadaikan segala-galanya kerana telah bertindak sebagai pemberi maklumat mengenai kegiatan haram keluarga Taib. Mereka sebaliknya telah menggunakan undang-undang terhadapnya yang mana akhirnya telah meninggalkan Boyert menjadi bankrap, runtuh rumah tangga dan papa kedana. Dia dan isterinya, Jonni, pernah juga mengadu kepada Sarawak Report bahawa mereka telah ditakut-takutkan sepanjang perbicaraan itu. Pada bulan Oktober tahun lalu, beberapa minggu setelah dia memberikan maklumat kepada kami, dia telah ditemui mati secara aneh yang dianggap kes bunuh diri dengan beg membaluti kepalanya di sebuah bilik motel di Los Angeles.

Kami telah sempat merakamkan video keluarga Boyert dan sebagai menghormati mereka. Kini kami mempersembahkan video berkenaan sebagai mengenang dan memperingati keberanian mereka mendedahkan kegiatan dan kekayaan haram keluarga Taib.