PENINGKATAN TUMPUAN DUNIA PADA SARAWAK

PENINGKATAN TUMPUAN DUNIA PADA SARAWAK

Kini ombak penentangan terhadap regim pemusnahan alam sekitar Taib Mahmud semakin berterusan melanda Sarawak dan semakin mendapat perhatian media luar negara. Tunjuk-tunjuk perasaan di luar premis-premis milik keluarga Taib di UK, Kanada dan US dan kini tunjuk-tunjuk perasaan yang serupa akan diadakan di Australia, Austria dan Switzerland.

Akhbar perdana Britain, Sunday Times pada hari ini telah melaporkan perkembangan-perkembangan dan merumuskan sebab-sebab kenapa ramai orang di seluruh dunia kini semakin menampakkan simpati terhadap kesengsaraan orang-orang Sarawak yang terjejas akibat kerakusan dan ketamakan pemimpin-pemimpin mereka. Mesejnya amat jelas – anda tetap tidak dilupakan, malah ramai lagi orang di seluruh dunia akan membantu anda menjatuhkan Taib Mahmud dari kekuasaannya.

Kami mengetengahkan artikel Sunday Times ini, kerana anda sudah pastinya tidak mengetahuinya menerusi mana-mana media berlesen di Malaysia. Isu ini juga telah mendapat tempat di dalam media bebas Britain dan akhbar Evening Standard London beberapa hari yang lalu – termasuk gambar-gambar sekali.

http://www.thesundaytimes.co.uk/sto/news/world_news/Asia/article576657.ece

Beritanya

SERUAN UNTUK MENGUSIR PARA PEMIMPIN YANG MEMUSNAHKAN HUTAN BORNEO

Para peserta kempen menuntut negara Britain untuk membekukan aset-aset keluarga pemimpin yang membenarkan Borneo menjadi padang jarak, padang terkukur menerusi kegiatan pembalakan dan pembangunan (Dilaporkan: Michael Sheridan, Far East Correspondent, diterbitkan pada: 13 Mac, 2011)

Seruan tersebut merupakan usaha bersama anjuran golongan dan penyokong konservatif dan pembangkang untuk menampatkan pemerintahan 30 tahun Ketua Menteri Sarawak yang kaya, Abdul Taib Mahmud, 74.

Hutan hujan tropika di bahagian barat-laut kepulauan Borneo itu telah dimusnahkan oleh kegiatan pembalakan, dan spesis-spesis hidupan jarang ditemui atau diketahui telah mengalami kepupusan. Sungai-sungai dalam hutan Borneo telah dicemari racun dari industri-industri dan ladang-ladang besar, dan udaranya pula dipenuh asap dan habuk. Suatu ketika dahulu rantau tersebut merupakan gedung khazanah alam – tempat kita menemui bunga yang terbesar di dunia, fauna dan flora eksotik, kini telah musnah sama sekali. Kemusnahannya dibuktikan menerusi kemerosotan bilangan spesis haiwan orang utan kepada separuh sejak 50 tahun kebelakangan. Bagi menggantikan hutan hujan asli ini, ladang-ladang kelapa sawit yang amat luas yang semakin diusahakan secara agresif. Pokok-pokok hutan yang bernilai tinggi telah ditebang oleh syarikat-syarikat yang mendapat lesen daripada Taib, dan ada pula di kalangan syarikat-syarikat ini mempunyai kaitan kewangan dengan keluarga beliau. Abdul Taib Mahmud dan keluarganya dikaitkan secara langsung dengan syarikat-syarikat yang rakus memusnahkan hutan hujan itu. Empangan-empangan yang besar pula dibina dan menghodohkan lagi lanskap tropika, tetapi sebaliknya telah menambahkan kekayaannya. Dalam pada itu, kaum-kaum asli Sarawak telah diusir keluar dari tanah atau kawasan sendiri, mana kala pampasan untuk mereka dinafikan.

Beberapa kaum asli seperti kaum Penan kini berhadapan dengan masa depan yang tiada kepastian. “Kaum Penan mendapat dua bentuk implikasi dari apa yang dikenali sebagai tenaga ‘hijau’ – tenaga hidroelektrik dan bahanapi bio,” kata Miriam Ross, dari Survival International.

“Adalah amat menakutkan, bahawa kerajaan Sarawak telah mengumumkan rancangannya untuk menggandakan keluasan kawasan perladangan kelapa sawit menjelang 2020.”

Di Sarawak, terdapat sebuah sahaja keluarga yang mendominasi kerajaan dan syarikat-syarikat untuk mengekploitasi sumber-sumber alamnya. Sejak 1981, Taib telah diberikan mandat untuk menjadi ketua menteri, menteri kewangan dan menteri perancangan dan pengurusan sumber, tanpa menghadapi sebarang bantahan. Dokumen-dokumen yang difailkan di Kuala Lumpur menunjukkan bahawa isterinya adalah pemegang utama saham dalam syarikat gergasi di Sarawak, Cahaya Mata Sarawak (CMS).

Kemewahan keluarga Taib juga terbongkar menerusi dokumen-dokumen tuntutan cerai pada bulan lalu yang dikemukakan oleh menantu Taib, iaitu isteri kepada Mahmud Abu Bekir 48, di mana Bekir bertindak selaku timbalan pengerusi dalam CMS.

Isteri Bekir, Shahnaz Abdul Majid, sedang menuntut perceraian sebanyak £82 juta, yang mendakwa dirinya telah didatangkan penderaan fizikal dan mental sepanjang perkahwinan mereka..

Saudara-mara dan para kroni Taib juga dikenalpasti sebagai pemegang saham atau menganggotai sebanyak enam buah syarikat pembalakan yang mendapat keuntungan menerusi konsesi yang diberikan oleh kerajaan. Mereka ini termasuklah sepupunya sendiri, yang mempengerusikan sebuah syarikat pembalakan, dan bomoh peribadinya, Ahmad Su’ut.

Rangkaian global sebanyak 49 buah syarikat yang berkaitan dengan Taib, termasuk syarikat hartanah di Britain, Kanada dan Amerika Syarikat, telah ditemui oleh para penyelidik Bruno Manser Fund di Switzerland.

Yayasan tersebut, yang dinamakan sempena seorang aktivis alam sekitar berbangsa Swiss yang telah hilang di Borneo sejak 2000, telah menyeru kepada pihak-pihak anti-rasuah dan wang haram yang berwibawa, untuk “mengenalpasti dan membekukan semua aset Taib”.

Yayasan tersebut juga telah menyeru kepada pihak FBI untuk menyiasat kes kematian bermisteri Ross Boyert, 60, seorang pengurus aset-aset Taib di US, yang telah bertindak sebagai pemberi maklumat, dan kemudiannya ditemui mati pada bulan September di sebuah bilik hotel di LA, dilaporkan kononnya membunuh diri dengan membalut kepalanya dengan beg plastik.

Kota London telah menjadi sebuah hub para penganjur kempen Sarawak yang melarikan diri daripada ancaman di Sarawak. “Terdapat beberapa ancaman bunuh,” kata Clare Rewcastle, yang mengendalikan laman web kempen, Sarawak Report, yang juga adalah ipar kepada bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Bown.

“Dalam hidup ini, ingatan pertama saya dan rakan-rakan pertama saya adalah dari negeri Sarawak, dan saya membesar di sebuah tempat yang bersuasana hening dan menenangkan,” katanya lagi. “Apabila saya kembali 35 tahun selepas itu, suasana yang pernah menambat hati saya itu telah bertukar menjadi zon malapetaka.”

Saingan-saingan politik Taib percaya bahawa pilihanraya kali ini merupakan masa yang paling baik untuk menjatuhkan Taib. Walau bagaimana pun, kerajaan di Kuala Lumpur amat memerlukan sokongan Taib pada peringkat parlimen untuk menentang saingannya. Menteri Dalam Negeri di Malaysia telah menyuarakan rasa marahnya terhadap kegiatan-kegiatan Rewcastle dan berjanji bahawa pihak polis “akan mengambil tindakan” terhadapnya – suatu ancaman yang dicemuh secara sinis oleh Rewcastle.

Kerajaan Sarawak belum lagi memberikan respon kepada permintaan untuk memberikan komen.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments