KEJUTAN? KEJUTAN MACAM MANA?

KEJUTAN? KEJUTAN MACAM MANA?

Ketua Menteri telah menafikan bahawa beliau mempunyai harta di luar negara. Beliau telah membaca dan menilai keterangannya terlebih dahulu dan mengumumkannya sebagai suatu ‘kejutan’ di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Para pemerhati mungkin akan dikejutkan jika beliau mengumumkan persaraannya, suatu tindakan yang terhormat, memandangkan kesalahan rasuah dan salah guna kuasanya kini sedang disiasat. Namun, hanya segelintir sahaja orang yang terkejut dengan rangkaian penafiannya! Namun, sifat sebenar penafian ‘berkategorinya’ agak mengelirukan ramai pihak. Apakah yang hendak dinafikannya apabila beliau mengungkapkan:

“Izinkan saya menyatakannya secara berkategori bahawa saya tidak mempunyai akaun rahsia di bank Swiss, ataupun aset-aset, atau sebarang bentuk perniagaan. Tiada sama sekali”. Taib Mahmud berkata ketika di DUN hari ini.

Dengan ungkapan ini adakah Ketua Menteri telah menafikan bahawa beliau tiada akaun-akaun bank, aset-aset atau perniagaan-perniagaan di mana-mana? Atau hanya di Switzerland sahaja? Dan adakah beliau bermaksud sekarang, atau adakah beliau mengakui bahawa beliau tidak pernah menyimpan wang di Switzerland pada bila-bila masa?

Ketua Menteri itu kelihatan telah bersungguh-sungguh membuat penafiannya. Contohnya, beliau telah menimbulkan prasangka ke atas surat-surat sebenar daripada Presiden Swiss dan juga daripada FINMA yang telah mengesahkan penyiasatan mereka. Suatu cubaan penafian yang baik baginya, tetapi kesemua surat dan siasatan itu adalah tulen.

Sama ada ya atau tidak Ketua Menteri, atau wakilnya, masih mempunyai simpanan wang di Switzerland berbanding dengan negara-negara ‘longgar’ percukaian di dunia ini, siasatan-siasatan itu akan tetap membongkar segala-galanya. Sarawak Report telah mendedahkan Ketua Menteri dan keluarganya memang mempunyai harta di British Virgin Islands (Rodinmass, CMS Bank, Tess Investments) dan di Hong Kong dan Jersey (SOGO Holdings). Ketua Menteri dan keluarganya juga mempunyai aset-aset di Canada, London dan Australia. Kenapakah penafian beliau tidak merangkumi negara-negara itu?

Corak penafiannya

Sebelum ini juga Ketua Menteri itu pernah membuat beberapa penafian. Pada tahun 2007 dahulu pun beliau membuat penafian (juga menjadikan DUN sebagai landasannya) bahawa beliau pernah menerima ‘habuan’ daripada syarikat-syarikat perkapalan Jepun yang cuba mendapatkan lesen untuk mengangkut kayu keluar dari negeri Sarawak. Syarikat-syarikat Jepun itu telah didenda oleh pihak percukaian negara berkenaan kerana mereka didapati gagal menjelaskan butiran bayaran sebanyak berjuta-juta ringgit kepada sebuah syarikat yang didaftarkan atas nama Shea Kin Kwok di Hong Kong. Shea Kin Kwok adalah setiausaha sepenuh masa kepada adik Taib yang selaku pengendali perniagaan, Onn Mahmud.

Sebenarnya, sebagai seorang pekerja, Encik Shea memegang portfolio pelaburan di mana sesiapa akan membuat kesimpulan bahawa sama ada dia bekerja untuk keluarga Taib Mahmud, ataupun bertindak selaku penama atau proksi kepada keluarga itu. Shea Kin Kwok telah didaftarkan sebagai pemegang saham-saham di beberapa buah syarikat di Hong Kong, termasuk Grand Shine (yang memiliki saham-saham dalam Achi Jaya Corporation), Grand Will Ltd, Whittaker Company Ltd., Richfold Investments, Regent Star dan Natlite. Shea juga, sehingga akhir 2005 adalah salah seorang pemegang utama saham-saham dalam syarikat gergasi Sarawak Oil Palm Bhd, yang diuruskan oleh kroni Taib yang bernama Ling Chiong Ho dari syarikat pembalakan Shin Yang. Sebaik sahaja selepas skandal balak didedahkan nama beliau secara tiba-tiba hilang dari senarai pemegang saham dan di samping itu kebanyakan syarikat-syarikatnya dibubarkan.

Sekiranya Ketua Menteri beria-ia hendak mengelakkan timbulnya perumusan umum bahawa beliau telah beroleh manfaat dari rasuah keluarganya, beliau seharusnya mengelakkan diri dari dibelengu oleh konflik kepentingan yang melibatkan keluarga rapatnya dan juga kenalan-kenalan perniagaannya. Taib seharusnya tidak melantik syarikat adiknya sendiri, Achi Jaya Corporation bertindak selaku pengeluar lesen-lesen eksport kayu menerusi agen perkapalan, Achipeligo, yang merujukkan syarikat-syarikat perkapalan Jepun kepada Shea Kin Kwok dalam syarikat Regent Star untuk membuat pembayaran demi untuk mendapatkan lebih banyak lesen sedemikian.

Sebenarnya monopli Achi Jaya ke atas pengangkutan kayu-kayu balak curian dari Sarawak sejak 30 tahun yang lalu telah menjadi salah satu penyumbang utama kekayaan keluarga Taib Mahmud. Sumber dalaman mengesahkan bahawa perniagaan tersebut telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM2 billion setahun sepanjang 30 tahun. Perniagaan itu telah roboh akibat kepupusan hutan Sarawak (yang mana Taib suka berpura-pura menganggap terdapat lebih 70% hutan dara di Sarawak belum diterokai), namun Achi Jaya Corporation kini telah mengembangkan perniagaan mereka kepada bentuk perladangan kelapa sawit yang ditanam atas kawasan-kawasan bekas hutan yang dahulunya ditumbuhi oleh kayu-kayu Borneo yang bernilai tinggi.

Bagaimana pula dengan penafian-penafian yang lain?

Kini Taib melangkah masuk ke dalam era yang lebih komunikatif, Sarawak Report ingin mencadangkan agar beliau memulakan beberapa penafian seterusnya, setiap satunya adalah bersesuaian dengan penafian-penafian yang dilakukannya hari ini berkaitan aset-asetnya di Swiss. Misalnya, adakah beliau akan menafikan bahawa beliau merupakan pewaris paling utama syarikat terbesar di Sarawak CMS. Pemegang utama saham-saham dalam CMS adalah arwah isterinya, Laila, yang telah meninggal dunia dua tahun yang lalu? Adakah beliau juga akan menafikan sama ada beliau telah membeli saham-saham itu untuk arwah isterinya, ketika dalam CMS, menggunakan beratus juta ringgit, atau adakah beliau memperolehi saham-saham itu bagi pihak isterinya dengan cara rasuah. Jika tidak benar, bagaimanakah cara arwah isterinya, yang asalnya orang biasa berjaya memperolehi kekayaan secara ‘misteri’? Begitu juga dengan anak-anak mereka yang memperolehi baki aset-aset dari syarikat gergasi itu – aset-aset yang masih mereka miliki?

Adakah Taib selanjutnya ingin menafikan bahawa beliau pernah menyerahkan kawasan tanah yang amat luas kepada ahli-ahli keluarganya dengan percuma atau dengan bayaran yang paling minima yang jelas menunjukkan bahawa beliau telah menyalahgunakan kuasanya dalam Kementerian Perancangan dan Sumber Negeri? Kebanyakan tanah serahan yang telah mereka terima itu dengan cepat-cepat dijual dengan nilai keuntungan berjuta-juta ringgit dalam masa beberapa hari atau minggu sahaja (sila rujuk laporan-laporan dalam Sarawak Report yang terdahulu).

Adakah Taib akan menafikan bahawa beliau telah menyalahguna kuasanya dan kawalannya ke atas kontrak-kontrak Negeri, selaku Menteri Kewangan untuk mempastikan kesemua kontrak mewah diserahkan kepada syarikat-syarikat keluarganya sahaja seperti CMS, Naim Candera, Kumpulan Parabena, Titanium Management dan Kumpulan Construction tanpa sebarang usaha meletakkan kontrak-kontrak itu bagi tender terbuka. Setelah mereka berjaya mendapatkan kontrak-kontrak itu, mereka akan menyerahkan kontrak-kontrak itu kepada sub-kontraktor pada nilai harga yang lebih rendah dari harga asal.

Adakah Taib juga akan menafikan bahawa telah meletakkan penama dan ahli-ahli keluarganya mengawal hampir kesemua industri utama Negeri dan juga industri-industri utama yang mengawal ekonomi Sarawak? Sepupu dan proksi beliau, Hamid Sepawi yang diletakkannya untuk menjawat banyak jawatan utama, seperti Pengerusi Sesco (Sarawak Electricity Supply Co) dan juga Pengerusi (dan pemegang utama saham-saham) Sarawak Plantation Bhd, yang juga pemilik aset-aset yang pada asalnya tanah-tanah Negeri.

Adakah Taib ingin menafikan bahawa beliau sering bersekongkol dengan taiko-taiko balak Sarawak, dengan meluluskan lesen-lesen dan konsesi-konsesi tanpa melalui proses tender terbuka dan seterusnya meraih habuan yang sangat lumayan?

Adakah Taib juga ingin menjelaskan bagaimana mampunya beliau menjalani kehidupan yang sangat mewah dengan hanya bergantung pada gaji menterinya yang sekitar RM20,000 sebulan? Misalnya, dengan wang gaji sebanyak itu, bagaimana beliau mampu mengumpul koleksi kereta-kereta klasik, menghias tubuh ahli-ahli keluarganya dengan intan-berlian yang mahal-mahal, menyumbang berjuta-juta ringgit kepada yayasan untuk universiti-universiti seperti University of Adelaide dan membeli sebuah piano terpakai yang bernilai 2 juta dollar US kegunaan Liberace?

Pihak-pihak lain boleh tanpa sangsi menambahkan item-item ke dalam senarai penafian yang mereka ingin dengar dari Ketua Menteri Sarawak.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments