13 Jul 2011

MALAYSIA, ANDA SUNGGUH MEMALUKAN!

This post is also available in: English, Iban

Perhimpunan aman Bersih di kota London telah menceriakan lagi persekitaran Dataran Belgrave, di mana para pesertanya berkumpul menjelang tengah hari di luar Pejabat Kedutaan Malaysia, yang ditutup.

Perhimpunan yang penuh sopan itu telah mewujudkan suatu keadaan yang ceria dengan kehadiran para peserta berbaju kuning Bersih (disertai belon dan replika-replika pisang) berlatarbelakangan kehijauan kebun bunga yang kelihatan paling indah di musim panas.

Dari KL kedengaran khabar berita mengenai penentangan terhadap rakan dan taulan mereka yang mengadakan perhimpunan yang sama. Di kota London itu wujud suatu perasaan yang mesra di kalangan para peserta perhimpunan.

Para peserta yang kebanyakannya terdiri dari rakyat Malaysia kemudiannya berarak melalui jalan-jalan raya elegan di London dan tamat di hadapan pejabat pelancongan Malaysia di dataran Trafalgar. Menjelang akhir perhimpunan itu bilangan peserta telah bertambah sekitar lima ratus orang, betul-betul sesuai dengan saiz kawasan yang paling sibuk di London itu.

Namun keadaannya cukup terkawal, tiada sebarang halangan dan tiada sebarang tangkapan. Pihak polis London pula tiba, menilai keadaan, dan akhirnya mengatakan bahawa para peserta perhimpunan itu baik-baik belaka dan membenarkan mereka mengemukakan usul-usul mereka sebelum mereka bersurai dengan aman. Kenapakah keadaan seperti itu tidak dapat dilakukan di Malaysia oleh orang-orang Malaysia sendiri?

Ancaman apa?

BN telah menggambarkan politik pembangkang di Malaysia dan para penyokong mereka sebagai pihak yang ekstrimis Islam yang amat merbahaya seperti dilihat di negara-negara barat. Tetapi sebenarnya orang-orang yang berarak itu telah bertindak sebaliknya.

Kain-kain rentang yang bertulis ayat-ayat ‘menghasut’ seperti “memperkukuhkan institusi awam”; “akses secara bebas dan adil kepada media”, “hentikan politik wang”, “minimum 21 hari berkempen”, bukanlah pandangan ekstrimis seperti yang BN katakan, tetapi harus dianggap sebagai tuntutan golongan intelek.

Apa yang jelas dijelmakan di dataran Belgrave dan KL hari ini adalah kerajaan Malaysia yang berusia 50 tahun telah mengasingkan-asingkan rakyat peringkat pertengahannya dan golongan elitis berinteleknya dan alasannya adalah rasuah.

Perhimpunan dan perarakan itu melibatakan golongan professional: peguam, doctor, ahli perniagaan dan juga ramai pelajar. Impian golongan muda itu mencerminkan impian rakan-rakan mereka di Malaysia. Apa yang ketara ketika itu bukanlah gambaran ekstrimis dan bukan juga kumpulan anti-barat, tetapi ianya adalah gabungan pelbagai kumpulan etnik, sosial, agama yang telah berjaya bekerjasama tanpa syak-wasangka fahaman rasis dan kekerasan terhadap satu sama lain.

Orang-orang ini telah bersatu dan berkongsi fahaman, tidak dipisahkan oleh fahaman agama atau ras sebagaimana diamalkan oleh BN.

Dan, sudah tentunya, tuntutan mereka adalah berpatutan bersesuaian dengan demokrasi yang ditaja oleh Britain, di mana, ketika polis tiba, mereka kelihatan tenang dan bersimpati. Tiada semburan air berasid, tiada gas pemedih mata, tiada ancaman, tiada kekerasan.

Langkah yang kurang bijak Najib

Pihak polis Britain telah mengetahui hakikat bahawa jika mereka menyerang sesiapa ketika orang-orang itu berperangai sopan dan menyuarakan pandangan dengan teratur, maka polis akan kelihatan teruk. Najib kini kelihatan begitu teruk. Maka sebab itulah para pejuang Bersih merupakan suatu ancaman buat Najib dan juga BN.

  • Wetsemenet

    Undang-undang yang sedia ada tidak mahu diakur, tapi bukan main hendak meminta 100% demokrasi kononnya. Kalau dikaji betul-betul, rupanya kebanyakan orang memang telah terjebak dengan budaya terikut-ikut dengan apa yang popular.

    Kalau dilihat dari segi politik sejagat, kita tahu bahawa negara-negara maju yang terlalu suka menuding jari kepada negara-negara lain – terutamanya yang masih belum mencapai kemajuan seperti Malaysia – dalam isu-isu dalam negeri seperti proses pilihanraya, hak asasi dan sebaginya, kebanyakannya tidak menghayati apa yang ditohmahkan kepada kita. Umpamanya, sistem pilihanraya Westminster yang di usahakan disini adalah jauh lebih demokrasi daripada apa yang dipraktikkan di Britain sendiri (http://en.wikipedia.org/wiki/House_of_Lords), dimana ahli-ahli dewan teratas di negara itu terdiri daripada rakyat-rakyat yand tidak diundi melalui mana-mana pilihanraya sekalipun. Jika di Malaysia, ahli-ahli seperti ini dipanggil ‘Senator’ dan mereka tidaklah menduduki tempat kerajaan yang kedua teratas di bawah mahkota. Di Amerika, mereka mempraktikkan sistem tersendiri dimana penentu setiap pilihanraya bukanlah rakyat jelata masing-masing, tetapi merupakan ‘Electoral College’ (kasarnya, Kolej Pemilih; http://en.wikipedia.org/wiki/Electoral_College_(U… menjadikan setiap pilihanraya sebagai proses yang tidak langsung. Maknanya, rakyat Amerika mengundi hanya kepada ahli-ahli Electoral College, yang seterusnya akan menentukan siapakah yang bakal menjawat kedudukan yang paling berkuasa bukan sahaja di negara sendiri, tetapi di seluruh dunia – Presiden Amerika Syarikat.

    Soalannya, kenapa kita terlalu senang terikut-ikut slogan orang lain dan memalukan negara sendiri tanpa mengkaji selidik asal-usul isu-isu yang terbentang di hadapan kita? Katanya sudah ada internet, mestilah maklumat-maklumat seperti ini lebih senang diperolehi. Maka, saya berfikiran bahawa mungkin maklumat-maklumat tersebut memang ada, tetapi tidak banyak yang ingin menelannya.

    Ramai juga telah membuat saranan bahawa India merupakan sebuah demokrasi yang paling berjaya, jadi kenapakah kita tidak berkeupayaan untuk mengikuti jejak mereka? Apa yang tidak dilihat oleh orang seperti ini adalah India juga merupakan sebuah demokrasi yang ‘berjaya’ hanya di atas kertas. Lihatlah berapa ramai rakyat mereka yang masih miskin tegar dan terpaksa menyara hidup dalam keadaan yang amat daif sekali.

    Kalau kita cuba ingat, India sebagai sebuah ‘demokrasi terulung’ adalah bukan sesuatu yang baru. Andainya demokrasi penuh dapat menjadi penawar masalah-masalah sosial dan memikul kesengsaraan rakyat jelata secara menyeluruh, kenapakah kita tidak melihat perkara ini menjadi kenyataan di India sampai sekarang? Malah, dari banyak segi, Malaysia mempunyai kelebihan daripada India, terutamanya dari segi memerangi kemiskinan tegar.

    Kesimpulannya, apakah maknanya jikalau kita terpekik-terlolong dijalanraya seperti orang yang tidak bertamaddun meronta-ronta meminta itu-ini yang kita hanya mengandaikan akan memanfaatkan kita, tetapi sebenarnya hanyalah bayangan kepada anjing. Utamanya, jikalaulah kita benar-benar serius hendak memeluk satu demokrasi tulin yang terulung, kita mestilah terdahulu mengasah kepintaran kita dari segi sejarah dan politik sejagat, selain daripada kepintaran intelek, dan juga kependirian masing-masing.

    Bak kata DYMM SPB dalam titahNya kebelakangan ini, janganlah menjadi umpama ‘yang dikejar lari, yang digendong berciciran’. Kalau kita hendak ikut sangat kata-kata si Clare Brown ni, ingatlah bahawa dia tidak akan merasa hormat kepada mana-mana titah Duli Yang Maha Mulia, kerana dia mempunyai kesetiaan kepada Ratunya sendiri. Adalah lebih bernas jika kita, tanpa mengenali bangsa, agama atau pemikiran politik sekalipun, berhati-hati mengenai motif-motif berbaur derhaka seperti ini. Nampaknya mereka ini lebih suka membuat kacau-bilau di negara orang supaya mereka akan lebih berpengaruh di rantau kita. Saya harap rakyat Malaysia dapat melihat perkara ini sebelum semuanya terlambat.

    Terima kasih.