14 Oct 2011

SELAMAT JALAN SARAWAK REPORTS!

This post is also available in: Chinese (Simplified), English, Iban

‘Kempen Peperangan Cyber’ biayaan Taib Mahmud yang bernilai $5 juta setahun telah dihentikan dengan dibelengu rasa malu, apabila laman web ‘Sarawak Reports’ didapati berkubur begitu sahaja.
Sarawak Reports merupakah sebahagian dari jaringan laman-laman web yang bercirikan kekasaran dan ganas, ditubuhkan di UK yang direka oleh pertubuhan FBC Media, sengaja disewa khas untuk menyerang laman web Sarawak Report, dan juga untuk menjatuhkan ketua pembakang Anwar Ibrahim.
Dengan menggunakan nama yang hampir serupa dengan nama kami, FBC Media memang percaya mereka dapat mengelirukan pemahaman para pembaca supaya membaca dan memahami propaganda pro-Taib, dari membaca berbagai-bagai hasil siasatan kami ke atas kerajaan 30 tahun diperintah oleh Taib.
Namun, pembaca akan mendapat sedikit keterangan atau kebenaran dari laman web yang tinggi kos pengendaliannya. Laman web berkenaan diketahui tidak berani memaparkan sebarang komen pembaca pada sebarang berita atau artikel yang mereka terbitkan, yang boleh kita katakan sebagai artikel yang mengada-adakan puji-pujian ke atas dasar pembangunan Taib secara berlebih-lebihan.
Laman web berkenaan juga mempunyai bahagian yang kekal dikhaskan untuk menyerang Editor Sarawak Report dan ahli-ahli keluarganya.
Terhentinya kempen perang cyber diikuti terdedahnya FBC Media
Setelah Sarawak Report melakukan siasatan yang terperinci, semua keterangan yang disembunyikan di sebalik skandal itu pun didedahkan. Kami telah memaparkan bagaimana FBC Media telah mengupah sekumpulan blogger dari Republican di US untuk menulis beberapa siri artikel bersifat serangan dalam satu laman web yang tidak berbiaya, New Ledger.
Semua artikel, yang tidak ramai orang Amerika mengetahuinya, seterusnya dikeluarkan semula dalam laman web Sarawak Reports supaya kelihatan sebagai mewakili pandangan di US.
Pembohongan yang kami temui adalah kempen yang serupa digunakan untuk menyerang Anwar Ibrahim, dan pada kali ini ianya dibiayai oleh Perdana Menteri sendiri, Najib Razak!
Artikel bohong dan fitnah mengenai Anwar, yang ditulis untuk New Ledger di US, juga dikeluarkan semula di sebuah blog yang bernama Malaysia Watcher. Hanya pada minggu lalu sahaja Perdana Menteri sendiri mengakui bahawa pejabatnya telah membelanjakan kos sebanyak RM84 juta untuk kempen-kempen yang dikendalikan oleh FBC Media dalam tempoh tiga tahun sahaja!
Setelah kami menyiarkan semua keterangan mengenai blog-blog berkenaan pada pertengahan Julai yang lalu, blog New Ledger berhenti mengeluarkan berita-berita mengenai Malaysia, Sarawak Report atau Anwar Ibrahim. Dalam bulan Jun, terdapat separuh dari cerita yang ditulis itu dikhaskan untuk laman-laman web di US mengandungi serangan-serangan terhadap Anwar Ibrahim dan laman Sarawak Report ini, yang kemudiannya diterbitkan semula dalam laman Malaysia Watcher dan Sarawak Reports!
Tambahan pula, pembohongan yang dilakukan oleh Najib dan Taib yang diterbitkan dari FBC Media juga diterbitkan dalam siaran-siaran TV yang memaparkan dasar-dasar BN sebagaimana ditayangkan menerusi syarikat-syarikat TV terkemuka seperti BBC dan CNBC.
FBC Media mempunyai beberapa buah kontrak yang membenarkan mereka menerbitkan berita berbentuk iklan yang dikhaskan untuk orang-orang politik yang sanggup berbelanja besar, termasuk Malaysia dan industri kelapa sawit.
Sarawak Report berpeluang memperolehi salinan-salinan kontrak antara Pengerusi FBC Media, Alan Friedman dengan Abdul Taib Mahmud, di mana Ketua Menteri itu telah dijanjikan beberapa siri berita untuk beliau membersihkan namanya berteraskan dasar hak asasi kemanusiaan dan alam sekitar.
Salah sebuah dari filem-filem berkenaan, yang telah ditayangkan dalam sebuah rancangan CNBC (terbitan FBC Media), mengakui terdapat 80% hutan dara di Sarawak belum dieksploitasi oleh syarikat-syarikat pembalakan dan ladang-ladang kelapa sawit Taib Mahmud.
Setelah Sarawak Report mendedahkan skandal berkenaan, kedua-dua BBC World dan CNBC menamatkan kontrak-kontrak mereka dengan FBC Media, malah siasatan ke atas mereka kini sedang dijalankan.
Para penguatkuasa undang-undang penerbitan dan penyiaran, Ofcom, juga menjalankan siasatan yang terperinci bagai mana ahli-ahli politik seperti Najib dan Taib sanggup mengeluarkan berjuta-juta ringgit wang pembayar cukai untuk membiayai rancangan berpropaganda untuk kepentingan diri mereka.
Oleh yang demikian, skandal FBC Media bukan hanya telah mengecewakan kempen perang cyber Taib, malah ianya juga telah menggagalkan strategi serangan global yang dibiayainya berjuta-juta ringgit menggunakan wang para pembayar cukainya.
Najib juga menggunakan strategi yang serupa menerusi stesen-stesen TV terkemuka dunia, semuanya dibiayai menggunakan wang rakyat!
Kini Sarawak Report dan media-media berita di UK dan US sedang menunggu laporan dari Ofcom, BBC dan CNBC berkaitan skandal-skandal berkenaan.
Selain itu, CNN juga dijadikan bahan perhatian berkaitan skandal ini. Kerana CNN juga didapati pernah menyiarkan program-program yang menayangkan Najib dan orang-orang tertentu yang membiayai FBC Media, ketika Presiden FBC Media, John Defterios sedang mengendalikan beberapa buah rancangan CNN.
CNN didapati mengakui belum bersedia menjalankan siasatan ke atas rancangan yang diterbitkan oleh FBC Media yang dibiayai oleh orang-orang tertentu, atau yang ada kaitan dengan John Defterios, kerana menurutnya dia telah berhenti bekerja dengan FBC Media sebagai penerbit dalam bulan Mac.
Sebenarnya rekod-rekod kami menunjukkan John Defterios belum berhenti sehingga 4 hari SELEPAS kami mendedahkan skandal FBC dalam Sarawak Report! Dalam tempoh tiga minggu sebelum itu, John telah mengeluarkan rancangan temubual bersama Najib, yang penuh kontroversi di CNN, menayangkan bagaimana layanan Najib terhadap perhimpunan Bersih.
Pada undang-undang penyiaran di US, sebarang konflik kepentingan harus diisytiharkan terlebih dahulu, sama ada atau tidak ahli yang berkepentingan dengan pasukan pengeluar diikat oleh kontrak atau kakitangannya. Maka dengan itu blog Sarawak Reports sedang melaporkan CNN kepada Ofcom kerana enggan menjalankan siasatan ke atas kesalahan rasuah salah seorang pegawai tertinggi mereka itu.
Belum lagi selesai
Strategi serangan yang dibiayai Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sarawak mungkin menemui kegagalannya, malah laman-laman web penyerang seperti Sarawak Reports dan Malaysia Watcher mungkin juga telah ‘meletakkan senjata’ mereka. Blog New Ledger pula mungkin telah bertukar arah serangan dan menghalakan serangannya terhadap ahli-ahli Democrats di US, iaitu tidak lagi dihalakan ke arah orang-orang yang berfahaman liberal di Malaysia, tetapi, masih banyak lagi cerita yang berkaitan akan kita ketahui nanti.
Dengan berbekalkan wang para pembayar cukai, Taib dan Najib dijangka akan mengatur hempasan gelombang kedua serangan media yang ditujukan kepada mana-mana individu atau blog yang ingin membongkar segala cerita mengenai kesalahan rasuah orang-orang politik di Malaysia.
Tetapi mereka hanya berpeluang membazirkan wang rakyat yang amat banyak jumlahnya seperti dahulunya, kerana jika kebenaran terselah, maka sukarlah ianya disembunyikan lagi.

  • babai yung

    semua orang bawahan taib mahmud termasuk taib sendiri will be end at pru13 nanti…percayalah….

  • kuyok

    Tumbang magang BN di melaya din, nya bru bn sarawak nyadi pembankang ngau taib sekali. kesih taib jadi tuai pembankang di malaysia.