Dibeli Dengan Kayu Belian! MP BN Menggadaikan Pengundi Kawasan Baram

Masyarakat tempatan yang mendiami sepanjang sungai Baram telah tergadai oleh MP pilihan mereka sendiri, seorang Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian di peringkat Kerajaan Persekutuan, YB Jacob Sagan.

Sarawak Report telah mendapat maklumat yang menyatakan Jacob Sagan telah memberikan sokongan kepada tuannya, Abdul Taib Mahmud yang merancang untuk menenggelamkan sebahagian kawasan Baram yang dibeli dengan dua konsesi menebang kayu belian.

Empangan Hidro Elektrik Baram yang dirancangkan itu meliputi kawasan hutan seluas 400 kilometer persegi dan akan memindahkan seramai 20,000 orang dari kawasan pilihanrayanya termasuk kampung halaman kelahirannya sendiri, Long Anap. Para pengundinya tidak mengetahui kegiatan yang dijalankan oleh Jacob Sagan yang menyokong pembinaan Empangan Baram, yang bakal memusnahkan salah sebuah hutan hujan tropika yang bernilai tinggi termasuk kediaman orang-orang asli di situ.

Peta-peta kami memaparkan bukti bahawa Jacob Sagan telah menyerahkan dua buah konsesi untuk menebang kayu belian bernilai tinggi bertempat di dalam kawasan pilihanrayanya sendiri!

Konsesi untuk menebang kayu yang standard amat jarang merangkumi kayu belian, sejenis kayu bernilai tinggi yang kini semakin pupus dari hutan Borneo.

Peta-peta kami juga memaparkan jaringan konsesi-konsesi menebang kayu belian di kawasan Baram, yang merangkumi hutan hujan tropika berserta nama-nama syarikat dan nombor-nombor lesen mereka.

Syarikat-syarikat yang terbabit dengan konsesi itu adalah Winjac Sdn Bhd dan Milisha Holdings Sdn Bhd.

Peta-peta yang lebih luas memperlihatkan kedua-dua konsesi itu merangkumi kawasan di tengah-tengah Baram, berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia dan tidak jauh dari kampung halaman kelahiran Jacob Sagan di Long Anap.

Nilai konsesi-konsesi itu mencecah jutaan ringgit, menurut mereka yang pakar dalam kegiatan itu. Seharusnya duit dari konsesi itu digunakan untuk membiayai sekolah-sekolah, jalanraya, tenaga elektrik dan pam air dan juga elaun-elaun tertentu. Namun orang asli di kawasan Baram masih hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan.

Kami mendapati para pemegang saham dalam Milisha Holdings Sdn Bhd adalah Jacob Sagan sendiri dan isterinya Winnie Jolly!

Pihak kita menuntut jawapan dari Abdul Taib Mahmud dan Jacob Sagan kenapakah mereka mengabaikan tanggungjawab mereka menguatkuasakan undang-undang berkaitan angkara itu. Ini kerana, memberikan konsesi secara rahsia kepada seseorang MP dari parti politik yang sama adalah merupakan suatu skandal yang bercanggah kepentingan dengan tugas dan tanggungjawab seorang menteri sesebuah kerajaan.

Selepas ini kita mungkin akan mengetahui berapa ramaikah pengundi yang akan tahu dan sedar akan perkara berkaitan konsesi belian yang menyumbangkan keuntungan jutaan ringgit, terima kasih kepada keputusan bijak Menteri Perancangan dan Sumber, Abdul Taib Mahmud.

Selepas itu, adalah wajar kita mengetahui berapakah jumlah yang telah dibayar oleh Jacob Sagan ke atas konsesi rahsia berkenaan hutan dan tanah milik para pengundinya yang selama ini telah menyokong BN pimpinan Abdul Taib Mahmud?

Namun setakat ini, oleh kerana Taib Mahmud sedang menyembunyikan apa jua perkara berkaitan pemberian konsesi-konsesi pembalakan, kami sukar mendapatkan maklumat dan bukti berapakah jumlah yang dibayar oleh Jacob Sagan, jika ada.

Kini jelaslah kesetiaan Jacob Sagan terhadap tuannya Abdul Taib Mahmud dibeli dengan kayu belian!

Kerana dibeli dengan kayu belian, maka Jacob Sagan tidak lagi berupaya memperjuangkan hak-hak para pengundinya.

Malah jika Taib terus berniat untuk menenggelamkan hutan dan tanah mereka, merosakkan kehidupan mereka dan mengusir saudara-maranya ke penempatan yang baru pada pampasan yang minima, Jacob Sagan tetap setia kepada Abdul Taib Mahmud.

Jika dia tidak menyokong rencana tuannya itu, Jacob Sagan dan isterinya serta keluarganya akan kehilangan konsesi kayu belian dan akhirnya akan hidup dengan gaji menterinya RM12,000 sebulan.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments