31 Mar 2012

Gambar-Gambar Seribu Makna!

This post is also available in: English, Iban

Pada hari ini Sarawak Report ingin bersantai setelah sekian lama menjalankan pelaporan bercorak penyiasatan, dan seterusnya ingin membelek-belek dan memaparkan gambar-gambar yang menyimpan seribu makna.
Dalam kenyataan mereka suatu ketika dahulu, syarikat pembalakan milik Taib iaitu Ta Ann, telah bercakap mengenai tanggungjawab mereka terhadap kemerosotan kualiti alam sekitar dan penerokaan alam sekitar oleh aktiviti manusia. Mereka juga pernah menuduh Radio Free Sarawak menghina mereka dengan menyiarkan aduan-aduan orang-orang tempatan mengenai penerokaan dan pencemaran tanah mereka oleh syarikat itu.

1. Apakah yang telah kami lakukan pada Orang Utan

Sebagai usaha mempromosikan ‘niat baik’ mereka kenyataan Ta Ann telah memaparkan beberapa gambar foto, yang mana menunjukkan kegiatan-kegiatan berniat baik mereka.

Namun, walaupun gambar-gambar itu diketengahkan untuk tatapan sebagai ‘masuk bakul, angkat sendiri’ ahli-ahli politik BN, yang mengawal Ta Ann, namun usaha itu itu telah menimbul provokasi dan kegelian di kalangan masyarakat Australia dan negara-negara lain, kerana gambar-gambar itu mendedahkan apa saja yang anda ingin tahu mengenai Ta Ann dan bagai mana negeri Sarawak ditadbir.

Lihatlah bagai mana syarikat pembalakan dan perladangan dengan angkuhnya menunjuk-nunjukkan diri mereka menyerahkan bantuan kepada pihak yang menjaga Orang Utan itu – tiada sebarang komen diperlukan lagi!

2. Apa yang telah kami lakukan untuk orang tempatan Sarawak!

Sebahagian besar dari Ta Ann dimiliki oleh sepupu dan wakil Taib Mahmud, Hamed Sepawi, salah seorang jutawan di Asia.

Selama ini Taib dan gerombolan kroni-kroninya yang menebang hutan-hutan untuk membuka ladang-ladang melakukannya dengan memberikan alasan untuk membawa pembangunan dan keselesaan hidup moden untuk orang Sarawak.

Maka, adakah tangki plastic untuk menadah air hujan merupakan sesuatu yang signifikan dalam pembangunan dan hidup moden pada zaman ini?!! Dalam tahun 2012?!!

Nampaknya Ta Ann begitu serius ingin mendapatkan ucapan tahniah kerana mendermakan tangki-tangki plastic kepada penduduk kampung setelah tanah dan hutan mereka ditebang dan dijadikan ladang!

Keperluan pada bekalan air adalah sesuatu yang terdesak di kebanyakan kawasan, kerana ‘pembangunan’ tanah telah mengakibatkan sungai-sungai dipenuhi kelodak dan dicemari racun perosak dan baja dari ladang. Ini bermakna sungai-sungai itu tidak lagi dapat membekalkan bekalan air yang bersih dan juga sumber makanan seperti dahulunya. Ini telah, seterusnya, mengakibatkan para penduduk telah kehilangan makanan berzat.
Terlalu banyak mengenai pembangunan. Dahulunya penduduk-penduduk ini tinggal dalam persekitaran yang primitive dan aman damai, tetapi kini mereka tinggal dalam zon bahaya. Dengan perolehan berjumlah berjuta-juta ringgit setelah Taib, Hamed dan kroni-kroni mereka memusnahkan persekitaran, mereka hanya sanggup mendermakan tangki-tangki plastic pada penduduk-penduduk yang telah mereka rompak!

Pernahkah mereka terfikir untuk menyediakan telaga yang sempurna, pam air dan bekalan air paip? Terlalu mahal, dan merugikan?

3. Derma ‘belas kasihan’ dalam bentuk makanan!

Seterusnya Ta Ann dengan angkuhnya menunjuk-nunjuk mendermakan makanan pada orang-orang tempatan. Ini adalah gambar bersempena perayaan Gawai yang diraikan orang-orang tempatan – bekalan makanan berupa mi segera dan barang-barang perlu yang telah dibeli secara tergesa-gesa dari kedai-kedai runcit.

Sedihnya, orang-orang kampung telah disuruh menunjukkan muka bersyukur mereka kerana berpeluang menerima barang-barang perlu sedemikian! Adakah gambar itu menceritakan semua yang anda ingin tahu mengenai bagai mana kemiskinan dan kurangnya pembangunan membelengu hidup mereka?

Sudah pastinya orang-orang tempatan ini amat memerlukan dan bersyukur pada pemberian makanan ini. Di seluruh dunia orang tahu bahawa Sarawak merupakan negeri di Malaysia yang terkaya di segi sumber aslinya, namun kadar kemiskinan rata-rata penduduknya juga adalah yang tertinggi.

Orang-orang tempatan ini telah jatuh miskin kerana tanah dan hutan tempat mereka bergantung hidup telah dirampas oleh Taib dan Ta Ann.

Dan, menurut kenyataan bersifat memuji diri rekaan Ta Ann, orang-orang tempatan kini sepatutnya bersyukur pada pemberian makanan itu sebagai balasan menyerahkan kekayaan hutan dan tanah mereka kepada Ta Ann.

4. Bagai mana kita telah mentransformasikan kehidupan!

Tiada siapa yang boleh menuduh Ta Ann kerana memberikan bantuan ‘belas kasihan’ kepada orang-orang tempatan ini.

Setiap kegiatan menyerahkan bantuan kepada orang-orang tempatan harus dilakukan di hadapan umum di mana mereka yang menerima itu pada asalnya pemilik kekayaan yang telah akhirnya menjadi papa kedana.

Di sini mereka menunjuk-nunjukkan penyerahan ‘cek gergasi’ (kira-kira £20,000/AUS$31,000) untuk membina semula rumah panjang mereka. Orang-orang tempatan ini diminta untuk menunjukkan wajah yang terlalu gembira semasa bergambar sempena majlis pemberian cek itu.

Tetapi, siapakah pemilik tanah-tanah itu? Berapakah jumlah yang dibayar oleh Ta Ann untuk mendapatkan lesen ke atas kawasan yang dicerobohinya dan berapakah pampasan yang ia bayar kepada orang-orang tempatan itu? Dengan kekayaan yang terjana dari eksploitasi yang tidak berterusan pada kawasan itu, kenapa masih lagi orang-orang tempatan tidak mampu membina rumah mereka sendiri?

5. Perladangan usahasama kami dengan orang-orang tempatan!

Kenyataan berbentuk promosi-diri itu telah meletakkan Ta Ann dalam keadaan yang meragukan, kerana mereka sentiasa mengatakan mereka tidak pernah merampas tanah-tanah sesiapa.

Ini sebenarnya kerana mereka adalah pemain utama usahasama dalam syarikat Grand Perfect, sebuah syarikat perladangan yang rakus yang telah meranapkan kampung halaman orang-orang tempatan tanpa membayar sebarang pampasan untuk memberi laluan pembukaan ladang pokok akasia terbesar di rantau Asia Tenggara.

Namun di sini Ta Ann sentiasa menyatakan bahawa mereka telah menawarkan ‘dividen pendahuluan’ pada pemilik tanah, yang dikatakan bersetuju menyertai ‘usahasama’ dengan syarikat itu untuk ‘membangunkan’ tanah mereka.

‘Usahasama’ sedemikian merupakan suatu peralatan yang digunakan secara halus untuk merampas tanah-tanah orang tempatan di Sarawak.

Bolehkah kita andaikan bahawa orang-orang tempatan meneliti segala dokumen yang dijamin oleh pihak kerajaan ke atas urusan itu? Berpeluangklah orang-orang tempatan mendapat tempat di dalam lembaga pengarah dalam syarikat itu? Adakah orang-orang tempatan dibayar pampasan secara adil dan telus? Adakah orang-orang tempatan dibayar apa jua dividen hasil eksploitasi tanah-tanah mereka sendiri? Sudah tentunya tidak!

Malah, orang-orang tempatan diarah menunjukkan wajah kesyukuran mereka untuk tatapan umum ketika mereka menerima bayaran dari Ta Ann. Suatu bayaran yang hanya sanggup dikeluarkan oleh Ta Ann!

Dan, di samping itu, MP Steven Rundi telah meletakkan dirinya di tengah-tengah gambar foto itu sebagai mengingatkan bahawa para penduduk harus mengundi BN jika mereka memerlukan Ta Ann memberi mereka ‘ole-ole’ di masa hadapan.

Mengenai Grand Perfect, pengerusinya yang juga pemegang utama saham-saham di situ, Hamed Sepawi, telah menyisipkan secara senyap-senyap saham-saham Ta Ann dalam Grand Perfect ke dalam sakunya sendiri.
Dan, seharusnya Ta Ann memfailkan kes jenayah terhadap pengerusi mereka kerana mencuri aset-aset mereka bernilai berbilion-bilion ringgit.

6. Menjaga kebajikan pekerja-pekerja kami!

Salah satu dari dilemma yang melanda orang-orang tempatan Sarawak yang menentang syarikat-syarikat pembalakan dan perladangan adalah kerana syarikat-syarikat itu hanya mengupah pekerja-pekerja asing dan kadar gaji yang jauh lebih rendah dari yang diperlukan untuk menyara hidup sepatutnya di kalangan orang-orang Sarawak.

Maka, Ta Ann memilih untuk mengetengahkan gambar foto ini yang menunjukkan berapa ramai pekerjanya dan bagai mana kepentingan dan kebajikan mereka dijaga!

Dengan mengadakan perkelahan berbarbekiu untuk segelintir orang di sebuah tempat yang kelihatan seperti padang jarak padang tekukur ini, yang suatu ketika dahulu merupakan sebuah hutan subur? Di mana lagi tempat mereka memburu babi hutan?

Kelihatan seolah-olah sungguh baik hati staf-staf pengurusan dari kaum Cina, yang sudah pastinya akan balik ke rumah (selepas berkelah) dalam kenderaan pacuan 4-roda mereka. Adakah mereka akan menawarkan untuk membawa bersama orang-orang tempatan balik? Jika ya pun, para penumpang akan disuruh duduk di tempat letak barang tanpa bumbung yang sempit dan merbahaya? Atau adakah mereka dibiarkan balik dengan berjalan kaki sahaja?

7. Pengikhtirafan antarabangsa dari kumpulan-kumpulan NGO alam sekitar

Pertubuhan NGO WWF telah menerima kutukan yang teruk kerana didapati bersekongkol dengan Ta Ann, sesuatu yang tidak dinyatakan dalam kenyataan syarikat itu! Sebuah lagi NGO alam sekitar, Global Witness telah mengeluarkan suatu laporan yang kritikal yang mengesahkan percanggahan kepentingan yang melibatkan hubungan Ta Ann dan WWF.

Sebenarnya WWF telah mendapat tekanan yang meningkat kerana kesanggupannya mengeluarkan laporan secara berbayar untuk ‘membersihkan imej’ syarikat-syarikat jahat, seperti Ta Ann.

Global Witness telah menuntut supaya WWF menerbitkan teks penuh berkenaan memorandum persefahaman berkontroversi antara Ta Ann dan WWF Malaysia itu.

Sementara itu, Ta Ann telah menggunakan peluang yang ada untuk mempromosikan ‘usaha murninya’ terhadap hal-hal ekologi!

8. Siapa kami?

Dalam gambar foto di atas Ta Ann telah memilih untuk menyenaraikan para pemegang kuasa yang menjadi tulang belakang syarikat itu.

Taib kelihatan menerima sekeping cek bernilai RM30,000 daripada Ta Ann. Ta Ann telah mengaut berbilion-bilion dari bumi Sarawak, sebagai sebuah syarikat yang menerima lesen pembalakan dan perladangan terbesar.
Sepupu dan juga wakil Taib, iaitu Hamed Sepawi, adalah Pengerusi dan pemegang saham terbanyak dalam Ta Ann. Hamed juga mengetuai banyak syarikat binaan yang disokong oleh kerajaan Negeri, pembekal tenaga elektrik negeri, salah sebuah syarikat perladangan terbesar di Sarawak dan banyak lagi syarikat-syarikat persendirian yang mendapat faedah dari kontrak-kontrak awam. Hamed Sepawi juga telah berkhidmat sebagai seorang bendahari dalam parti politik PBB Taib Mahmud.

Pada majlis ini Taib kelihatan menjadi tumpuan umum di tengah-tengah pentas, bersama-sama orang-orang kanan politiknya. Lagipun Ta Ann adalah syarikat miliknya, seperti juga syarikat-syarikat lain di Sarawak.

9. Ekonomi bersifat kuntilanak

Sebagai pulangan pada kekayaan bumi Sarawak yang telah mereka hisap selama ini, menggunakan sistem yang dikenali sebagai “ekonomi kuntilanak”, ahli-ahli politik BN kini kelihatan berlari ke sana-sini di seluruh Sarawak dan juga di seluruh Malaysia untuk menawarkan wang-wang kertas pada para pengundi yang miskin dan daif.

Dengan pilihanraya yang akan diadakan pada bila-bila masa lagi, mereka berharap dengan beberapa ringgit mereka boleh membeli kuasa yang membolehkan mereka terus merompak harta pusaka yang bernilai berjuta-juta ringgit milik para penduduk.

Orang kanan Taib, James Masing, telah meringkaskan falsafah politik BN dengan menerangkan bahawa dalam sistem demokrasi anda berpeluang mengundi sekali dalam tempoh 5 tahun bagi memilih seorang untuk menjadi ‘taukey’, yang akan mengarahkan anda apa yang dia inginkan dan mengambil apa yang dia hendak dari anda.
Apa sudah terjadi pada undang-undang dan kesama-rataan di sini? Jawapan-jawapannya terdapat pada gambar-gambar foto ini