12 Mar 2012

Perhatian Dihalakan Pada James Masing – RASUAH EKSKLUSIF!

This post is also available in: English, Iban

Pada minggu lalu, Ketua PRS James Masing telah dilihat menunjukkan ‘kekejamannya’ terhadap seorang Orang Kurang Upaya (OKU), dan kami juga mengeluarkan laporan tentang kegiatan rasuah yang diamalnya bersama seorang lagi timbalannya.

Maka kini kami sedang menunggu dia memberikan alasan ke atas tuduhan-tuduhan kami itu yang berkaitan konsesi membalak kayu belian, kontrak besar-besar, lesen membuka ladang sawit atas tanah-tanah NCR, usahaniaga bersama syarikat minyak antarabangsa dan juga lesen perniagaan kenderaan.

Siasatan kami menunjukkan James Masing telah mendapat habuan dari sumber asli negeri Sarawak yang dijangka mencecah berbilion-bilion ringgit atas belas kasihan daripada Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud.

Bersempena pilihanraya yang lalu James Masing didapati menerima konsesi pembalakan dan kemudiannya diberikan kepada seorang sahabat karibnya, membenarkan sahabatnya itu mengeksploitasi 40,000 hektar tanah NCR milik orang tempatan di kawasan Meluan-Entabai dan Julau/Pitoh Jiet.

Kami ingin tahu sama ada dengan lesen seperti ini, yang dikeluarkan dalam bulan Januari 2011 yang lalu, telah menyebabkan James Masing dan 8 kerusi PRS tetap memberikan sokongan mereka kepada Abdul Taib Mahmud dan kerajaan BN?

Dokumen bukti eksklusif yang terbocor dari Jabatan Hutan berkaitan konsesi hutan di kawasan Baram menunjukkan bahawa suatu kebenaran membalak kayu belian di kawasan itu sememangnya diusahakan oleh rakan politik Abdul Taib Mahmud.

Kini kami boleh mendedahkan bahawa isteri James Masing, Corrine (Connie) Bua Nyipa turut bersekongkol dengan Abdul Taib Mahmud, yang telah mendapat konsesi membalak, dengan nombor lesennya 3333, yang meliputi kawasan yang luas di situ.

Siasatan kami mendapati Connie Bua Nyipa-Masing adalah pemegang saham dalam beberapa buah syarikat yang meraih habuan dari kontrak-kontrak kerajaan. Para pembaca Sarawak Report telah memberitahu bahawa syarikat Untang Jaya Sdn Bhd, yang telah mendapat kontrak-kontrak kerajaan mencecah ratusan-ribu ringgit, semuanya diusahakan di kawasan pilihanraya yang diwakili oleh James Masing!

Kontrak di kawasan Kapit, Sarawak itu mencecah nilai RM102 juta. Rakan kongsi Connie dalam syarikat itu yang juga kenalan James Masing, Kristoffer Nyuak Bajok dan ahli PBB, Minda Mandau, saudara perempaun kepada Robert Mandau yang pernah bekerja dengan pertubuhan Peladang di daerah kecil Pantu, Sarawak. Penglibatan James Masing dengan sebuah syarikat minyak juga menuntut James Masing menafikan konflik kepentingannya dalam urusan menterinya.

Dengan itu, pernahkah kita mendengar James Masing mengisytiharkan penglibatannya dalam perniagaan syarikat minyak itu, di mana dia mendapat 67,700 unit saham dalam syarikat itu?

Syarikat Busria Jaya Plantation Sdn Bhd adalah sebuah lagi syarikat yang diketahui mempunyai kaitan dengan James Masing yang juga terlibat dengan persengketaan tanah NCR. Orang-orang tempatan yang tanah NCR mereka dirampas kini telah mendapatkan bantuan guaman bagi menentang kegiatan pembalakan dan pembukaan ladang kelapa sawit di kawasan Sri Aman. Kes itu telah mendapati isteri James Masing turut terbabit.

Syarikat Busria Jaya Plantation itu telah diawadkan konsesi seluas 6,000 hektar tanah NCR di Sri Aman pada harga yang amat rendah, dan orang-orang tempatan pula tidak dipampas.

Rampasan tanah NCR itu adalah di bawah arahan yang dikeluarkan oleh Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, James Jemut Masing.

Cuba bayangkan tahap kemarahan orang-orang tempatan dari 3 buah rumah panjang yang kemudiannya menyebabkan mereka memohon bantuan guaman ketua PKR yang juga seorang peguam hak asasi tanah NCR Baru Bian, untuk mewakili mereka menentang pencerobohan itu. Justeru itu mereka mendapati Connie, isteri James Masing juga turut terlibat dalam pencerobohan itu!

Pada awal tahun ini James Masing pernah dipetik sebagai mengeluarkan kenyataan yang dia tetap akan membahagikan tanah-tanah NCR sehingga 1 juta ke 2 juta hektar luasnya dalam masa empat-lima tahun ini.

Kenyataannya itu dikeluarkan walaupun bantahan telah kedengaran di seluruh Sarawak dan juga bertambahnya kemenangan kes-kes mahkamah memihak orang-orang tempatan.
Orang-orang tempatan yang telah diambil tanah NCR telah dijanjikan banyak keuntungan. Namun apa yang jelas kini adalah James Masing dan timbalannya Mong Dagang merupakan orang-orang yang mendapat habuan mencecah RM70 juta dari syarikat-syarikat perladangan yang besar-besar yang kemudiannya dibayar masuk ke dalam akaun syarikat mereka.

Isteri James Masing memiliki AP perniagaan kenderaan di bandaraya Kuching! Syarikat Bahterangkut Sdn Bhd itu menjual kenderaan dan alat ganti kenderaan. Para pengarah dalam syarikat itu dianggotai oleh, salah seorang dari mereka, Kristoffer Nyuak Bajok, sahabat karib James Masing.

Para pemegang saham utama dalam syarikat itu adalah dua orang pengarah wanita, Doris James Bangga dan Sadiah Binti Taha.
Dengan itu kami mohon dijelaskan kegiatan yang dijalankan James Masing itu tidak sama sekali berkaitan dengan kesetiaannya terhadap Taib Mahmud dalam pilihanraya yang lalu.