Bahan Bukti Dari Sabah! Penyata-Penyata Akaun Bank Menunjukkan Anak-Anak Musa Aman Ada Akses Pada Wang Haram – Pendedahan Kebangsaan!

Dokumen-dokumen yang terbocor dari siasatan SPRM telah menunjukkan bukti untuk mensabitkan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, dalam skandal rasuah pembalakan, yang mana ianya dikatakan sebagai penyembunyian politik berprofil tinggi.

Musa Aman sentiasa menafikan tuduhan yang dia dikaitkan dengan skandal pembalakan Sabah bersama Michael Chia, yang telah ditangkap di Hong Kong dan dituduh dalam kesalahan penyelewengan wang, ketika dia cuba menyeludupkan wang tunai bernilai SG$16 juta ke Malaysia dalam tahun 2008.

Namun, Sarawak Report kini telah mendapat akses kepada dokumen-dokumen berahsia dari hasil siasatan pihak ICAC Hong Kong dan juga SPRM Malaysia, yang jelas membuktikan bahawa Ketua Menteri Sabah itu terbabit secara langsung.

Dokumen-dokumen itu termasuklah salinan-salinan penyata bank, yang merekodkan bayaran kepada anak-anak Musa Aman, dibayar keluar dari akaun yang disuspek dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti perniagaan Michael Chia.

Chia adalah ‘anak-angkat’ Musa Aman

Michael Chia, yang sentiasa menganggap dirinya sebagai ‘anak-angkat’ kepada Musa Aman, memainkan peranannya selaku seorang fasilitator untuk mendapatkan sogokan bagi pihak Ketua Menteri itu, sebuah sumber dalaman turut memberitahu.

Menurut mereka sebaik sahaja Musa Aman dilantik menjadi Ketua Menteri, Michael Chia terus menemui para usahawan pembalakan dengan mengatakan bahawa konsesi-konsesi pembalakan tetap akan dikeluarkan – tetapi dengan syarat sogokan harus dibayar terlebih dahulu, melaluinya yang bertindak sebagai pengantara kepada Musa Aman.
“Tampokong telah diarahkan untuk menuruti arahan Chia”, kata sebuah sumber dalaman. Ini bermakna Pengurus Hutan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong telah diarahkan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Musa Aman, untuk membida bagi pihak Chia semasa meluluskan lesen-lesen pembalakan.

Yayasan Sabah mengawalselia sekitar satu juta hektar baki tanah hutan, yang ia sepatutnya jaga dan uruskan bagi pihak negeri dan rakyatnya. Namun, secara kurang beramanah, salah seorang dari ahli politik terkemuka tanah air yang juga ketua kepada Lembaga Amanah, telah memberi peluang kepada Ketua Menteri suatu kawalan secara peribadi tanpa had untuk mentadbir sumber asli utama negara.

Kelemahan dalam pentadbiran yang berkualiti telah menjadi resipi rasuah dan bukti-bukti kami menunjukkan bahawa Musa Aman telah menggunakan segala peluang yang ada.

Bukti pada akaun-akaun bank

Ketika ditahan di Hong Kong, sambil memeluk berkas-berkas wang kertas bernilai SG$10,000 setiap satunya, Chia telah disuspek menyeludup wang haram, dengan tujuan membawanya balik ke Sabah untuk membiayai kegiatan rasuah pilihanraya BN.

Wang berkenaan dan akaun-akaun bank yang berkaitan telah dibekukan di Hong Kong atas arahan pihak ICAC bagi tempoh masa maksimum 3 tahun, ketika para penyiasat mereka cuba mendapatkan kerjasama penting daripada Peguam Negara Malaysia, Abdul Gani Patail, untuk membolehkan mereka mendapatkan lebih banyak bukti yang mereka perlukan dari pihak-pihak berwibawa di Malaysia.

Dalam pada itu pihak SPRM telah memulakan siasatan mereka, merampas 9 lori yang sarat dengan bahan dan dokumen dari premis-premis Michael Chia dan juga milik rakan usahawan pembalakannya, termasuk Andrew Lim dan Admond Looh.

Para penyiasat telah mendapati bahawa Chia telah membuka beberapa akaun bank berkaitan di HSBC, Singapura dan Bank Swiss UBS, yang berpangkalan di Hong Kong. Kami juga mempunyai salinan-salinan penyata dari bank-bank berkenaan yang menunjukkan bahawa anak-anak Musa Aman mengeluarkan wang dari salah satu akaun-akaun itu pada kadar yang tetap, berdasarkan arahan tetap.

Akaun ini dibuka dalam Dollar Australia di Singapura, kerana pada ketika itu budak-budak itu sedang menuntut di Perth, Australia. Terdapat juga keadaan di mana wang pernah dikeluarkan oleh Imbarine Bujang, seorang yang diarahkan oleh Musa Aman untuk mengawas keperluan dan kebajikan kedua-dua anaknya semasa mereka menuntut di Australia.

Mohammed Hayssam Musa dan Hazem Mubarak Musa adalah anak-anak Ketua Menteri Sabah, Musa Aman. Sarawak Report kini mendapat salinan-salinan penyata dari bank berkenaan, yang menunjukkan perbelanjaan mereka dibayar secara berkala di sekitar tahun 2006 dan 2007.

Suatu pembayaran juga turut dibuat kepada sebuah syarikat hartanah Australia, iaitu Riverstar Investment Pty Ltd, untuk menguruskan sewaan apartmen kegunaan kedua-dua anak Musa di Perth itu.

Penyata-penyata yang ada pada kami yang berkaitan dengan akaun-akaun USD$ dengan bank UBS Hong Kong yang sama (yang diuruskan oleh cawangan mereka di Singapura) menunjukkan bagaimana wang itu dipindahkan untuk menguruskan pembayaran. Bukti-bukti kami menunjukkan bahawa wang yang mengalir masuk ke dalam akaun-akaun itu dikaitkan secara langsung dengan penganugerahan lesen-lesen pembalakan dari Yayasan Sabah.

Chia sendiri yang membuat pembayaran terus kepada anak-anak Musa Aman
Sebarang usaha oleh Ketua Menteri itu untuk menjauhkan dirinya dan juga keluarganya dari bahan bukti bahawa dia pernah menerima sogokan menerusi Michael Chia pastinya kurang meyakinkan dengan hakikatnya bahawa penyata-penyata bank lain, yang ditemui oleh pihak SPRM, menunjukkan bahawa Chia sendiri telah melakukan pembayaran kepada anak-anak Musa Aman dalam suatu tempoh sebelum membuka akaun dalam UBS pada tahun 2006.

Semua pembayaran ini telah dibuat menerusi akaun HSBC peribadinya!

Bayaran berjumlah SG85,000 kepada Mohammed Tampokong!

Dokumen-dokumen berbukti juga menunjukkan bahawa Pengurus Hutan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong (yang diarahkan untuk bekerjasama dengan Chia) juga menerima sejumlah wang yang banyak menerusi sebuah lagi akaun bank yang dikendalikan oleh Chia dan rakan-rakannya, pada kali ini ianya dibuat dari sebuah syarikat yang berpangkalan di kepulauan British Virgin, Zenique Investment Ltd.

Maka dengan ini kami ingin mempersoalkan, apakah yang membolehkan seseorang penjawat awam yang bergaji tetap yang menguruskan lesen-lesen pembalakan di Sabah telah secara sahnya menerima bayaran berjumlah SG$85,000 dari akaun luar negara?

Bahan bukti ini telah menguatkan lagi tuduhan bahawa Chia telah menerima sogokan dari syarikat-syarikat pembalakan yang mendapat lesen-lesen membalak dari Yayasan Sabah, yang telah diuruskan oleh Mohd Daud Tampokong, dan seterusnya Chia menyalurkan wang dari jaringan akaun-akaun banknya kepada Musa Aman dan juga Pengurus Hutan.

Kini Musa Aman sedang menjauhkan dirinya dari siasatan ke atas skandal sogokan tersebut, di mana dia harus memberikan penjelasan yang meyakinkan mengenai bayaran-bayaran yang ditemui itu.
Penyembunyian

Setakat ini, Ketua Menteri itu sedang dilindungi dari didakwa, menurut sumber dalaman kami, oleh seorang yang amat berpengaruh dalam perundangan Malaysia, iaitu Peguam Negara.

Abdul Gani Patail adalah penduduk Sabah dan merupakan mempunyai tali persaudaraan yang rapat dengan Musa Aman dan kini sedang berusaha menghalang tekanan dari tuduhan-tuduhan itu. Kami juga mendapati bahawa pihak Suruhanjaya Anti-Rasuah Hong Kong pernah mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkuasa di Malaysia dalam tahun 2008 untuk mendapatkan bantuan setelah Michael Chia ditahan.

Namun, Peguam Negara telah enggan menandatangani segala bantuan perundangan bagi membolehkan siasatan ke atas kes itu secara dwi-negara dijalankan. Kami difahamkan bahawa Peguam Negara, Abdul Gani Patail sendiri telah ke Hong Kong untuk mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa di Hong Kong untuk menutup kes berkenaan.
Setelah 3 tahun, pihak-pihak berkuasa di Hong Kong telah terpaksa menyahbekukan akaun-akaun Chia dan menangguhkan siasatan kerana pihak-pihak berkuasa di Malaysia enggan memberikan kerjasama. Berjuta-juta ringgit dari akaun-akaun ini telah dikeluarkan menjelang akhir tahun lalu dan dipercayai akan disalurkan ke Sabah, bagi tujuan membeli undi untuk UMNO/BN pada pilihanraya nanti.

Siasatan SPRM juga dihalang oleh Gani

Siasatan SPRM yang serupa juga, yang telah menemui banyak bukti mengenai sogokan dari kegiatan pembalakan Sabah, telah dihalang.

Para penyiasat dari Malaysia, yang terkenal sebagai penyiasat yang terperinci, telah memperoleh bukti-bukti dari pelbagai rakan kongsi Chia, yang mengakui telah menjelaskan wang sogokan. Pihak SPRM menyatakan bahawa tidak kurang dari 40 pertuduhan boleh dikenakan ke atas Ketua Menteri Sabah itu, tetapi Peguam Negara tetap enggan menjalankan perbicaraan ke atas kes itu.

“Laporan yang berserta bukti itu masih berada di atas mejanya”, kata salah sebuah sumber kepada kami.
Keadaan ini menunjukkan kehampaan yang diumumkan oleh Timbalan Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdullah, yang mengakui bahawa Peguam Negara telah enggan membicarakan “kes-kes yang sahih”, dengan mengatakan bahawa kes-kes itu kekurangan bukti yang kukuh.

Sarawak Report kini sedang menerima banyak bahan bukti dan dalam waktu terdekat ini kami akan berkongsi dengan orang awam dan mempelawa mereka membuat pertimbangan ke atas kes ini, yang mana Peguam Negara telah enggan membawanya ke mahkamah.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments