22 Apr 2012

Keuntungan Mengangkut – Keluarga Chia Menyaman Yayasan Sabah Bernilai RM84.4 Juta Dalam Sengketa Monopoli!

This post is also available in: English

Sebuah kes mahkamah telah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Sabah di Sandakan dalam bulan Februari tahun ini, membangkitkan beberapa persoalan seterusnya mengenai hubungan perniagaan di antara Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, dan keluarga Michael Chia, dan juga peguam Richard Christopher Barnes.
Sebelum ini Musa Aman telah menafikan bahawa Michael Chia adalah ‘anak angkat’ kegemarannya mahupun bahawa dia mempunyai sebarang kaitan perniagaan dengannya.
Malah kes mahkamah itu turut mendedahkan bahawa bapa Michael Chia, seorang kontraktor pengangkutan kayu balak bernama Chia Nyet Min, telah dianugerahkan monopoli mengangkut kayu balak untuk Yayasan Sabah ketika Musa Aman menjadi Ketua Eksekutif yayasan itu dalam tahun 1997.
Syarikat-syarikat milik Chia, Kini Abadi Sdn Bhd dan Imej Berlian Sdn Bhd, telah menikmati monopoli itu sejak sekian lama, namun kini Chia mengemukakan saman kerugian dan kerosakan berjumlah RM84.4 juta, kerana menurutnya Yayasan Sabah telah melanggari terma-terma dalam perjanjian dengan membenarkan kontraktor pengangkutan lain untuk beroperasi di beberapa kawasan sejak 2005.
Maka, adakah hubungan keluarga Chia dengan Musa Aman telah retak, atau adakah perkara ini menjadi semakin kompleks?
Sebenarnya kerosakan dari pelanggaran perjanjian itu telah mengakibatkan kerugian berjumlah RM84.4 juta, memberikan gambaran sebenar nilai monopoli yang dianugerahkan oleh anak syarikat Yayasan Sabah, Sabah Berjaya Sdn Bhd, kendalian Musa Aman.
Persoalannya, kenapakah Musa Aman, selaku Ketua Eksekutif Yayasan Sabah dalam tahun 1997 dahulu, membelakangkan persaingan pasaran terbuka kepada para kontraktor pengangkutan kayu balak dan menganugerahkannya kepada sebuah keluarga sahaja?
Adakah ianya suatu kebetulan bahawa syarikat ini, KASB, dimiliki oleh bapa Michael Chia, seorang kenalannya yang telah tercatat dalam rekod awam tetapi kini dinafikannya?
Sehingga ditahan kerana disyaki cuba menyeludup wang sogokan dalam 2008, Michael Chia telah menyatakan bahawa dia adalah ‘anak angkat’ kepada Musa Aman dan menjelaskan bahawa dia bertindak selaku orang tengah antara Musa Aman dan taiko-taiko pembalakan yang berlumba-lumba untuk mendapatkan lesen-lesen dari Yayasan Sabah.
Dokumen-dokumen yang dikemukakan dalam kes-kes mahkamah untuk menguji fakta ini, termasuklah surat-surat yang diutuskan oleh peniaga kayu balak Agus Hassan dari syarikat Peluamas Sdn Bhd, menggambarkan Michael Chia sememangnya bertindak sebagai orang tengah dalam rundingan mendapatkan kontrak-kontrak membalak.
Namun kini, Ketua Menteri itu telah menafikan bahawa dia mempunyai kaitan dengan Michael Chia. Ini kerana kami telah mendedahkan beberapa penyata bank yang menunjukkan bahawa Michael Chia pernah mengirimkan bayaran-bayaran kepada anak-anak Musa Aman bagi membiayai pengajian mereka ketika di Australia!
Penafian ini juga turut mengenepikan bahawa Michael Chia dan bapanya telah dianugerahkan banyak lesen pembalakan oleh Musa Aman, menerusi Yayasan Sabah.
Maklumat terkini yang dapat kami kongsikan dengan umum, adalah Musa Aman juga menganugerahkan monopoli pengangkutan kayu balak untuk Yayasan Sabah di kawasan Sandakan di Sabah!
Bagaimana Musa Aman menafikan kaitan perniagaan dengan Michael Chia dan bapanya Chia Nyet Min sedangkan sebenarnya terdapat banyak dokumen yang menjadi bukti perkaitan ini dan juga Yayasan Sabah?
Hidup Musa Aman mulai bangkit setelah dia mencapai kedudukan sebagai Bendahari UMNO Sabah dalam tahun 1992. Ini berlaku sebelum parti itu berjaya merampas negeri itu.
UMNO mengalami kekalahan dalam pilihanraya 1993, tetapi ia telah merampas negeri itu dengan cara menyogok ahli-ahli politik ‘katak’ dari parti yang menang, untuk mendapatkan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri. Sejak itulah UMNO mengekalkan kekuasannya di Sabah.
Sebaik sahaja UMNO berjaya merampas Sabah, Musa Aman dilantik sebagai Ketua Eksekutif dalam Yayasan Sabah. Lagi pun Yayasan Sabah merupakan pemegang amanah sumber kayu balak negeri itu. Musa sebenarnya dilantik secara politikal bagi mempastikan UMNO mengawal sektor yang bernilai tinggi itu.
Musa Aman kekal pada jawatannya sehingga dia bergerak ke hadapan dengan memenangi kerusi DUN dan menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri – di samping itu dia juga kembali sebagai Pengerusi Lembaga Amanah dalam Yayasan Sabah!
Walaupun tugas dan tanggungjawabnya dalam Yayasan Sabah adalah untuk menjaga hutan-hutan simpan Sabah untuk manfaat generasi akan datang, namun Musa telah menebang hampir kesemua hutan, di samping menyalurkan berjuta-juta ringgit ke dalam akaun-akaun banknya sendiri.
Seterusnya, dengan memberikan monopoli pengangkutan kayu balak kepada syarikat-syarikat Chia, Musa Aman telah mempastikan bahawa manfaat dari aktiviti itu menguntungkan mereka dan juga menghalang orang-orang tempatan mendapatkan pekerjaan dan keuntungan. Sebaliknya semua keuntungan dikaut oleh syarikat-syarikat Chia sahaja.
Para peniaga kayu balak dan pesaing-pesaing mereka mulai mengadu bahawa monopoli itu bermaksud khidmat yang kurang memuaskan, peningkatan kos dan kehilangan pekerjaan bagi orang-orang tempatan. Mengapakah Musa Aman terus menyokong monopoli seperti ini?
Mungkinkah Ketua Menteri itu turut menafikan bahawa sumber maklumat kami mengatakan bahawa keluarga Chia membayarnya RM5 untuk sekubik meter kayu balak yang diangkut di bawah monopoli ini?
Lagipun, ini merupakan insentif sebenar setelah dia menganugerahkan monopoli itu, di mana, jika tidak ianya terlalu sukar untuk diperjelaskan.
Kontrak antara KASB dan Sabah Berjaya Sdn Bhd telah dibaharui beberapa kali.
Namun, setelah tercetusnya sengketa di kalangan peniaga-peniaga kayu balak, terutamanya taiko Andrew Lim, yang mengadu bahawa Yayasan Sabah mengadakan khidmat yang tidak baik, Yayasan Sabah telah membenarkan beberapa kontraktor lain untuk menjalankan kerja-kerja mengangkut itu.
Inilah asas bagi kes mahkamah yang dikemukakan oleh Chia, kerana dia mendakwa bahawa monopoli yang dipersetujuinya itu telah diabaikan dan terjejas.
Kenyataan-kenyataan yang didepositkan oleh Chia di mahkamah (di mana kami turut menyimpan sesalinan darinya) menunjukkan nilai kontrak itu. Dalam aduannya dia menyatakan bagaimana syarikatnya telah dilantik sebagai “agen eksklusif” untuk mengangkut kayu balak yang ditebang oleh Yayasan Sabah dan kemudiannya memperincikan berapa banyaknya kayu balak yang terlibat.
Kadar-kadar yang dibenarkan untuk keluarga Chia ke atas pengangkutan ini telah dimuatkan dalam perjanjian itu, yang mana kami juga menyimpan sesalinan dari dokumen itu.
Setelah syarikat-syarikat Andrew Lim dibenarkan menggunakan kontraktor-kontraktor lain Chia telah mendakwa bahawa kerugian yang dialaminya adalah RM84.4 juta. Jumlah itu telah dimuatkan dalam dokumen mahkamah yang didepositkannya itu.
Pada permukaannya, hubungan Chia dan Musa yang dikelilingi serba kemewahan (yang kini dinafikan oleh Musa) telah menjadi semakin retak. Ahli perniagaan itu kini menyaman organisasi yang diketuai oleh Musa Aman, dan organisasi yang telah menganugerahkan Chia suatu monopoli yang amat berharga itu.
Pada situasi yang lain pula, sumber maklumat kami menyatakan bahawa keluarga Chia “tidak akan menentang Musa”, seseorang yang telah mendatangkan jutaan ringgit kemewahan kepada mereka.
Maka, adakah ini salah satu taktik untuk mendapatkan wang dari Yayasan Sabah? Lagipun wang itu adalah wang para pembayar cukai, bukannya wang Musa Aman sendiri. Jika keluarga Chia menang pun, mereka akan membawa wang orang awam sebanyak RM84.4 juta – tidak akan menjadi masalah kepada Musa Aman!
Syarikat guaman yang mewakili Yayasan Sabah dalam kes ini adalah Shelley Yap.
Ketua peguam dalam syarikat guaman Shelley Yap adalah Richard Christopher Barnes, seorang lagi individu yang cuba dinafikan kaitannya dengan Musa Aman.
Richard Christopher Barnes, yang ditahan bersama Michael Chia ketika dituduh cuba menyeludup wang sogokan pembalakan Sabah.
Sebagai mana yang telah kami laporkan dulu, pihak penyiasat ICAC Hong Kong mengatakan Barnes menerima wang dari akaun-akaun HSBC dan UBS yang dikendalikan oleh Michael Chia yang kemudianya menyalurkannya ke akaun di Zurich di bawah nama Musa Aman.
Sejak itu, Ketua Menteri itu telah menafikan bahawa dia mempunyai hubungan sama ada dengan Barnes atau Michael Chia. Kenapakah dia tetap menafikan bahawa pada hakikatnya dia pernah dan sedang bekerjasama dengan kedua-dua orang itu bertahun-tahun lamanya menerusi urusan-urusannya dalam Yayasan Sabah?
Cadangan untuk menganugerahkan lesen-lesen pengakutan yang berasingan kepada syarikat-syarikat lain diberikan kepada Yayasan Sabah adalah cetusan idea Barnes. Dia mengatakan cara itu akan melanggari monopoli yang dianugerahkan kepada KASB dan kini mereka berhak mengemukakan saman itu.
Inilah yang membelengu Yayasan Sabah, saman RM84.4 juta yang telah difailkan dalam mahkamah di Sandakan!