17 Apr 2012

Lagi Banyak Bahan Bukti Dari Siasatan ICAC Menentang Musa Aman!

This post is also available in: English, Iban

Akaun bank ratusan-juta dollar US, dibuka atas nama Richard Christopher Barnes di Swiss Bank UBS di Hong Kong, beroperasi atas arahan bertulis bahawa sejumlah wang itu disimpan untuk Musa Aman, menurut suatu sumber yang kami perolehi dari beberapa pihak berkuasa Hong Kong.
Sepucuk surat, bertarikh 25hb May, 2007 dan kini berada pada pihak Suruhanjaya Siasatan Bebas Dan Berkecuali Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC), menyatakan bahawa akaun itu harus “menyimpan (wang itu) untuk Aman”.
Para penyiasat ICAC difahamkan bahawa pada 31hb Mei 2007, akaun bank berkenaan mengandungi wang sebanyak USD29.6 juta!
Sebuah carta aliran utama, yang dibuat oleh pihak ICAC, dengan jelas menunjukkan bahawa wang sogokan rasuah pembalakan itu akhirnya disalurkan ke akaun bank peribadi Musa Aman seperti pada IBS di Zurich! Richard Christopher Barnes, seorang peguam dari Sabah, dipercayai bertindak selaku nomini kepada Musa Aman. Maklumat dalam akaun utama Barnes yang dikaitkan dengan Musa Aman, UBS A/C231117, membentuk sebahagian dari elemen-elemen dalam carta aliran analisa itu, sebagai mana telah dilakar oleh para penyiasat ICAC, yang telah cuba mengesan aliran keluar dan masuk wang itu dari akaun-akaunnya di Hong Kong seperti yang dikendalikan oleh orang kanan yang amat popular kepada Musa Aman iaitu Michael Chia (Chia Tien Foh).

Michael Chia telah ditahan di Hong Kong ketika dia cuba untuk menyeludup keluar SG$16 juta dalam bentuk wang tunai ke Malaysia, telah mencetuskan penyiasatan ke atas jenayah penyelewengan wang yang besar jumlahnya.
Siasatan yang serupa juga telah dijalankan oleh pihak SPRM Malaysia, namun kami difahamkan bahawa siasatan kerjasama dwi-negara (Hong Kong-Malaysia) itu telah dihalang oleh kenalan keluarga Musa sendiri, iaitu Peguam Negara, Abdul Gani Patail.
Carta aliran yang dihasilkan oleh pihak ICAC (berikut) menggambarkan dengan jelas bagaimana wang sogokan pembalakan di Sabah disalurkan ke dalam akaun-akaun yang dikendalikan bagi pihak Ketua Menteri Sabah, Musa Aman, termasuk sebuah akaun yang di atas nama Richard Christopher Barnes.
Pihak SPRM telah menerima sesalinan maklumat ini dan kini Sarawak Report juga telah memperolehi sesalinan. Pihak kami juga telah mendapat banyak salinan penyata bank untuk mengesahkan maklumat pada carta aliran ICAC itu.
Bagi sesetengah pihak yang mendakwa bahawa bahan-bahan bukti yang dipaparkan di sini mereka harus meminta pihak-pihak UBS dan HSBC untuk mengesahkan kesahihan akaun-akaun bank ini tidak wujud dan juga meminta bank-bank itu untuk mengeluarkan kenyataan bertulis bahawa surat yang bertarikh 23. 05. 2007 juga tidak pernah ditulis, sebagai memberikan arahan bahawa akaun Richard Christopher Barnes di UBS harus dibekukan “bagi pihak Musa Aman”.
Begitu juga, mereka yang meragui kesahihan dokumen-dokumen di sini harus meminta pihak ICAC untuk menafikan bahawa carta aliran maklumat yang dilakar oleh ICAC itu asli.

Destinasi terakhir dalam carta aliran lakaran ICAC itu adalah akaun UBS Musa Aman di Zurich!

Carta aliran itu jelas menunjukkan bagaimana wang sogokan itu diterima dari beberapa buah syarikat ke dalam akaun-akaun yang diuruskan oleh Michael Chia dan para nomininya di Hong Kong, kemudian disalurkan ke syarikat-syarikat di British Virgin Island (CTF International, Zenique Investment, Blisstop Corp) dan kemudian kembali ke akaun UBS Hong Kong yang diuruskan oleh Richard Christopher Barnes, A/C 231117.
Carta aliran yang seterusnya menunjukkan bahawa wang yang terkumpul itu kemudian disalurkan terus dari akaun Richard Christopher Barnes ke dalam akaun Zurich atas nama Musa Aman, UBS A/C230-75069201.
Para penyiasat difahamkan bahawa pada 31hb Mei 2008, akaun-akaun Richard Christopher Barnes mengandungi USD29.6 juta untuk akaun A/C231117, USD37 juta untuk akaun A/C280777 dan SGD9.5 juta untuk akaun AC280666.
Akaun di Hong Kong A/C231117, yang telah wujud sejak 2006, telah menerima suntikan sebanyak USD22.4 juta wang dari sebuah lagi akaun pegangan Barnes, di antara 28hb April dan 31hb Mei tahun berkenaan.
Terdapat satu arahan untuk menyalurkan wang itu kepada akaun Zurich atas nama Musa Aman (yang dibuka dalam tahun 1999), yang telahpun mengandungi US$8.9 juta. Namun, kami difahamkan bahawa arahan sedemikian telahpun dibekukan, termasuk wang di dalamnya, ketika para penyiasat ICAC mulai bertindak.
Walau bagaimanapun, pada akhir tahun lalu di mana tempoh berkanun bagi siasatan itu tamat dan wang itu pula dipercayai telah dapat diakses oleh para pemegang akaun-akaun itu.
Pihak-pihak yang terbabit turut mengutuk Malaysia kerana enggan menandatangani kerjasama dalam penyiasatan dan akhirnya menutup kes itu yang telah menyebabkan wang itu dilepaskan semula kepada Musa Aman dan para nomininya. Keengganan pihak Malaysia itu sebenarnya adalah tanggungjawab Peguam Negara, Abdul Gani Patail, saudara terdekat kepada Musa Aman.
Kami telah dimaklumkan bahawa keseluruhan jaringan transaksi-transaksi itu diuruskan oleh seorang pekerja bank UBS, Pengurus Kliennya Denis Chua. Pada mulanya Chua bekerja di cawangan HSBC Hong Kong di Singapura, di mana dia mengendalikan akaun Michael Chia sehingga tahun 2006.
Namun, setelah Denis Chua berpindah ke UBS, pihak HSBC yang menilai akaun-akaun Michael Chia dan meminta agar akaun-akaun itu ditutup, kerana kelihatan terdapat ketidaktentuan pada jumlah yang besar disalurkan ke dalamnya.
Adalah tidak jelas sama ada HSBC memberitahu pihak-pihak berkuasa semasa mereka menutup akaun-akaun itu atau sebaliknya, di mana akaun-akaun itu masing-masingnya mengandungi SG$13.4 juta dan US$7.19 juta.
HSBC telah memberikan beberapa siri arahan juruwangnya untuk penyaluran berjuta-juta dollar ke dalam akaun Chia, yang mana dia dapat persembahkan kepada Chua sebagai bayaran masuk ke akaun barunya di UBS.

Kami menyimpan beberapa salinan arahan juruwang dan carta aliran itu seterusnya mengesahkan maklumat kami bahawa Chia menyerahkan arahan-arahan bank kepada Chua, yang seterusnya membuka akaun baru A/C 231026 di bank majikannya, Swiss Bank UBS pada bulan Jun 2006.

Chua juga telah membuka beberapa siri akaun-akaun untuk para pembantu Chia, yang turut menyalurkan wang menerusi Barnes melalui satu set syarikat-syarikat BVI, yang Chua telah bantu mereka tubuhkan. Syarikat-syarikat BVI itu kemudiannya membuka akaun-akaun bank UBS di Hong Kong/Singapura untuk menerima wang itu.
Diandaikan, dengan membahagi-bahagikan wang itu kepada akaun-akaun yang berbeza-beza Chia berharap jumlah yang besar itu kelihatan kurang meragukan.
Namun, pihak-pihak berkuasa itu dapat menghidu sesuatu yang pelik pada akaun-akaun itu. Kes SPRM menentang Musa Aman itu dibuat sebagai Aduan No. 113/2009.
Berdasarkan bukti-bukti berdokumen yang begitu banyak dan maklumat dari sumber kami, Sarawak Report dapat mengesahkan bahawa wang yang masuk ke dalam akaun-akaun Michael Chia adalah wang sogokan pembalakan dan dia bertindak selaku pemungut hasil bagi pihak Musa Aman dalam kapasitinya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah.
Menurut pemberi maklumat kami, kebanyakan wang yang dimasukkan ke dalam akaun-akaun Chia telah dikaitkan dengan lesen-lesen pembalakan yang dianugerahkan kepada peniaga kayu balak Andrew Lim dari Priceworth Industries (yang disenaraikan dalam Bursa Malaysia), saudara kepada taukey balak Freddy Lim. Freddy Lim yang mengendalikan Kretam Holding, juga disenaraikan di Bursa Malaysia, mengendalikan syarikat Wayco Enterprise Ltd Hong Kong, yang bertindak sebagai agen peniaga-peniaga kayu Malaysia dan pembeli-pembeli kayu dari China dan negara-negara lain.
Musa Aman telah menganugerahkan Lim banyak lesen pembalakan untuk menebang saki-baki hutan di Sabah.

Ketika Andrew Lim menerima lesen-lesen pembalakan yang bernilai berjuta-juta ringgit dari Musa Aman, syarikat-syarikat Wayco dan Hillywell milik saudaranya Freddie pula memasukkan wang berjuta-juta ringgit ke dalam akaun-akaun Chia, yang kemudian disalurkan ke dalam akaun-akaun bank atas nama Musa Aman.

Akaun di atas adalah salah satu dari akaun-akaun yang digunakan oleh Chia dan isterinya Yap Loo Mien dan juga rakan-rakan mereka memproses berjuta-juta ringgit. Kita dapat lihat wang yang diterima dari syarikat-syarikat seperti Wayco telah dikeluarkan semula oleh Chia dan dimasukkan ke dalam satu lagi akaun dan seterusnya menghala ke destinasi yang terakhir.

Carta aliran lakaran ICAC itu bukanlah keseluruhan kisah ini, berdasarkan bukti-bukti kami seterusnya. Menurut pemberi maklumat kami, jumlah sebenar yang diperolehi dari sogokan oleh Chia mencecah nilai beratus ribu juta ringgit.
Satu lagi pembayar kepada Chia, sepertimana telah kami laporkan dahulu adalah Borion Enterprise Ltd yang dimiliki oleh taiko balak dari Sarawak, Ting Pek Khing. Syarikat itu juga membayar berjuta-juta dollar kepada Chia, tetapi tidak dilakarkan dalam carta aliran itu. Syarikat-syarikat lain yang turut terlibat adalah Java Industries milik Admond Looh, yang tersenarai dalam Bursa KL, juga penerima anugerah lesen-lesen balak di Sabah di bawah pemerintahan rejim Musa Aman.

Admond Looh juga adalah pemilik syarikat Ever Fame Enterprise Ltd. Beberapa siri pindahan bertelegraf ke dalam akaun milik Chia turut dinamakan sebagai “Deposit For Consession (Simpanan untuk lesen pembalakan)”

Bagi mereka yang masih menganggap keseluruhan pembuktian ini telah diubah semata-mata dan bersifat fiksyen bolehlah memohon segala bukti daripada pihak UBS dan HSBC dan juga daripada ICAC dan meminta kesemua dokumen kami ini disahkan sebagai palsu. Mereka boleh memohon suatu penyata bahawa akaun-akaun bank ini tidak pernah wujud atau penyata-penyata ini telah diolah sedemikian rupa.
Saudara Musa Aman mungkin seorang yang sibuk, tetapi panggilan telefon yang ringkas kepada institusi-instusi itu dari pejabatnya mungkin dapat menghasilkan sesuatu yang dihajati!
Lesen-lesen yang dianugerahkan kepada Andrew Lim dan seorang lagi taukey balak, Elbert Lim, merangkumi dua kawasan hutan yang amat luas yang berada dalam kawasan Perjanjian The Heart of Borneo WWF. Lesen-lesen itu membenarkan kerja-kerja membalak di kawasan Hutan Simpan Malua.

Hasil siasatan kami ke atas pengurusan Yayasan Sabah di bawah Musa Aman telah menguatkan lagi maklumat bahawa Ketua Menteri Sabah itu telah ‘memaksimumkan perahannya’ ke atas saki-baki hutan di Sabah. Kami masih menyimpan beberapa contoh kawasan-kawasan yang dilindungi yang telah diserahkan sebagai lesen-lesen pembalakan.
Salah sebuah kawasan yang dimaksudkan itu adalah Hutan Simpan Kuamat, yang telah ditetapkan sebagai tidak boleh diterokai, sehinggalah Yayasan Sabah mengambil alih pengurusan hutan Sabah dan mengubah status kawasan itu pada tahun 2007.

Peta-peta baru kini menunjukkan kawasan lesen balak YT1/08

Penganugerahan lesen itu jelas menunjukkan beberapa kawasan yang diberikan kepada Wong seperti mana yang ada pada pihak SPRM dan juga serupa dengan yang kami simpan.

Kami turut menyimpan salinan-salinan lesen-lesen yang dianugerahkan kepada para kroni untuk menebang kawasan-kawasan hutan yang sepatutnya dilindungi itu. Kawasan-kawasan itu telah ditebang, namun percukaian ke atas penebangan itu tidak diketahui jumlahnya yang diserahkan kepada Negeri Sabah.
Namun, para pemberi maklumat kami menyatakan bahawa kebanyakan kawasan itu telah diterangkan secara haram, maksudnya pokok-pokok yang telah ditebang itu tidak diisytiharkan kesemuanya menerusi saluran-saluran yang betul, maka sedikit sahaja yang dicukai.
Dengan pembalakan yang dilakukan secara haram dan penebangan tidak terkawal, para pemegang lesen pembalakan itu sudah tentunya ingin memaksimumkan hasil mereka ke atas kawasan yang mereka dapat dan mengelakkan cukai.
Menurut maklumat yang kami perolehi, sogokan yang diminta oleh Musa Aman menerusi Michael Chia adalah sekitar RM2,500 untuk sehektar lesen itu. Jumlah ini menjadi berbilion-bilion ringgit dalam bentuk sogokan sejak Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah.
Konsep pembalakan secara berhemat dan pembalakan berterusan, sememangnya sesuatu yang sukar dilaksanakan jika sebaik sahaja seseorang ketua itu telah menerima sogokan dan tidak lagi berada dalam kedudukan untuk meminta para pembalak melaksanakan penebangan mengikut tatacara yang betul.
Musa Aman dan jirannya Abdul Taib Mahmud di Sarawak telah berjaya mengaut berbilion-bilion ringgit kerana mereka telah menjalankan rompakan secara berahsia di sebalik tadbir-urus negeri mereka masing-masing.
Lesen-lesen pembalakan di Sabah, seperti juga di Sarawak telah dibuat sebagai rahsia kerajaan. Maklumat mengenai siapa mendapat apa dihadkan kepada pembaca aras 1! Tidak boleh difotostat, diedarkan atau diterbitkan untuk tatapan umum, menurut peta-peta yang kami perolehi!
Kenapa?

Kerahsiaan Musa Aman yang berkisar pada kegiatan-kegiatannya selaku Ketua di Yayasan Sabah bermakna bahawa semua penafiannya dan penentangannya bahawa dia seorang yang tidak bersalah perlu diambil kira. Di samping itu semua salinan dokumen yang ada dalam simpanan kami yang menyokong tuduhan-tuduhan ke atasnya bersabit rasuah pembalakan yang sedang disiasat pihak SPRM dan ICAC Hong Kong dalam tahun 2008 dulu sebelum Peguam Negara Abdul Gani Patail masuk campur telah menutup kes ini dan menghalang apa jua tindakan seterusnya.
Kami akan memaparkan dan menerbit lagi banyak bahan, yang kami terima dan melaporkan mengenai kesan-kesan pembalakan tidak terkawal ke atas hutan di Sabah yang telah dan sedang didorong oleh sikap tamak haloba beberapa kerat manusia sejak berapa tahun kebelakangan ini. Para pemberi maklumat kami menyatakan rasuah dan tamak haloba yang menyelubungi Yayasan Sabah itu telah mencapai tahap baru sejak Musa Aman dinaikkan pangkat dari Ketua Eksekutif kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah di yayasan itu.
Kini hanya sedikit sahaja kawasan hutan yang tinggal di Sabah. Lebih banyak lagi telah dikenalpasti sebagai kawasan industri pengeluaran hasil kayu dan ladang-ladang kelapa sawit oleh kerajaan tadbiran Musa Aman. Muslihat yang terbaharu, yang dihebohkan oleh Musa Aman adalah ‘penanaman secara bermozek’ iaitu suatu skim untuk menerangkan kawasan Hutan Dara. Para pengkritik mendakwa cara itu adalah suatu muslihat untuk mendapatkan kayu balak dari kawasan-kawasan yang sepatutnya dilindungi.
Masa semakin suntuk.