“Tiada Hubungan Perniagaan Dengan Seseorang Yang Bernama Michael Chia”? – Kami Mendedahkan Lagi Banyak Bukti-Bukti Berdokumen!

Musa Aman, Ketua Menteri Sabah, telah secara lantang menafikan pada umum yang dia dikatakan mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan ‘pengatur perniagaan balak’ Michael Chia, dan seterusnya mengatakan bahawa segala dokumen yang ada dalam simpanan kami di samping keterangan dan maklumat dari sumber dalaman yang bekerjasama dengan kami adalah palsu.
“Ingin saya katakan sekali lagi bahawa saya tiada sebarang hubungan perniagaan dengan sesiapa atau mana-mana individu yang bernama Michael Chia” [Kenyataan Musa Aman]

Namun, terdapat banyak salinan penyata bank pada kami yang menunjukkan bahawa kenyataan Musa Aman bertentangan dengan penafiannya itu. Penyata-penyata itu menunjukkan Michael Chia (atau nama penuhnya Chia Tien Foh) merupakan focus utama dalam rangkaian transaksi-transaksi berkaitan dengan penganugerahan lesen-lesen pembalakan yang kemudiannya sogokan-sogokan itu dibayar kepada ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan niaga Musa Aman.
Salah seorang dari rakan-niaganya, seorang peguam Sabah, Richard Christopher Barnes, telah ditahan bersama-sama Michael Chia ketika pasukan SPRM menjalankan siasatan ke atas kes rasuah pembalakan Sabah dalam tahun 2010. Terdapat banyak dokumen dirampas dari pejabat Barnes oleh para penyiasat SPRM itu yang menyediakan pendakwaan ke atas kes itu.

Adalah difahamkan bahawa Barnes dan Chia telah memberikan kenyataan-kenyataan yang lengkap, dan mengakui penglibatan penuh mereka dalam penerimaan dan pengurusan sogokan dari lesen-lesen pembalakan di negeri itu dan pihak SPRM telah memberitahu sumber kami bahawa mereka telah mengesahkan dokumen yang mengandungi 40 pertuduhan bagi menentang Musa Aman, tetapi pertuduhan itu telah dihalang oleh Peguam Negara, Abdul Gani Patail.
Memandangkan pendakwaan dan tuduhan ini gagal dijalankan walaupun ianya mempunyai banyak bukti, maka kami akan tetap menilai dan mendedahkan bukti-bukti berdokumen yang ada pada kami.
Dokumen-dokumen ini menguatkan lagi dakwaan ke atas siasatan berkenaan, bahawa Michael Chia telah bertindak sebagai agen pemungut sogokan bagi pihak Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.
Jauh sekali niat kami untuk memalsukan apa-apa dokumen, malah dokumen-dokumen yang kami perolehi turut disokong oleh pengakuan-pengakuan yang diterima dari sumber dalaman industri pembalakan Sabah sendiri. Bukti-bukti ini menguatkan lagi fakta-fakta yang diterbitkan dalam kes mahkamah yang melibatkan Michael Chia, yang telah ditahan di Hong Kong dalam tahun 2008, ketika dia cuba menyeludup SG$16 juta ke Malaysia.
Dalam satu kes di Mahkamah Tinggi Sabah jelas membuktikan bahawa Chia bertindak selaku “orang tengah” antara Yayasan Sabah dan taiko-taiko pembalakan yang berusaha mendapatkan lesen-lesen pembalakan. Dokumen-dokumen yang dikeluarkan ketika Chia didakwa menjejaskan salah seorang pemegang lesen pembalakan, Agus Hassan, termasuk sepucuk surat dari Agus Hassan yang mengadu bahawa dia telah dikehendaki membayar sejumlah wang sogokan kepada UMNO Sabah menerusi Chia.
Isi kandungan surat berkenaan turut menyebut bahawa wakil Yayasan Sabah iaitu Mohd Daud Tampokong telah enggan mengeluarkan lesen pembalakan sehingga Chia berpuas hati. Agus Hassan kemudiannya marah setelah dia mengetahui bahawa Chia mengambil sebahagian dari keuntungan dari urusan itu.

Namun, kenapakah Agus Hassan, seseorang yang dianugerahkan lesen oleh Musa Aman, ingat bahawa terdapatnya sogokan dibuat ketika memohon lesen pembalakan dan bahawa Chia bertindak selaku agen kepada Musa Aman / UMNO Sabah? Dan kenapakah Agus Hassan tidak melaporkan ugutan itu terus kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Musa Aman?
Inilah di antara beberapa persoalan yang harus dijawab oleh Musa Aman. Namun bukti-bukti baru yang ada pada kami turut menunjukkan penyiasatan ini jauh lebih terperinci.

Terdapat banyak bukti yang menunjukkan Michael Chia bukan sekadar bertindak sebagai “orang tengah” antara Yayasan Sabah dan pembida-pembida lesen pembalakan, tetapi dia juga memperolehi banyak lesen untuk dirinya sendiri. Dia sendiri telah mengumumkan perkara itu dalam perbicaraan yang sedang dijalankan di Mahkamah Tinggi Singapura.
Pihak SPRM telah menyenaraikan banyak lesen pembalakan yang berkaitan dengan Michael Chia, maka mengapakah Ketua Menteri menafikan sebarang urusan dengan Chia? Sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah kepada Yayasan Sabah, Musa Aman sememangnya mempunyai kuasa penuh mengeluarkan lesen-lesen pembalakan, termasuk lesen-lesen yang dikeluarkan kepada Chia.

Lesen-lesen pembalakan ini hanya dikeluarkan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, Musa Aman. Lesen-lesen itu telah dianugerahkan kepada seorang anak muda, yang tiada pengalaman dalam bidang pembalakan dan juga seorang yang bukannya kaya sebelum dia mengetengahkan dirinya sebagai wakil kepada Musa Aman dalam tahun 2003.

Maka, bolehkah Musa Aman menjelaskan secara terperinci bagaimana dan kenapakah budak Chia itu boleh bertindak selaku penerima banyak lesen pembalakan yang dianugerahkan oleh Musa Aman?

Michael Chia, yang terkenal dengan ‘ketamakannya’, dengan segera memperagakan kekayaannya yang bukan-bukan itu. Dia memiliki rangkaian kereta-kereta mewah berprestasi tinggi termasuk sebuah Hummer H2, tidak kurang dari tiga buah Lamborghini, sebuah Ferrari 430, beberapa buah BMW, Mercedes Benz dan juga Toyota.
Usahawan-usahawan yang tulen boleh mengesahkan bahawa untuk beroleh kemewahan seperti yang dinikmati oleh Chia mengambil masa yang panjang. Pelaburan dan peminjaman modal perlu dilakukan terlebih dahulu. Namun Chia telah menikmati limpahan masuk kekayaan sebaik sahaja Musa Aman menjadi Ketua Menteri.
Ketua menteri itu harus menjelaskan kenapa dia menganugerahkan budak Chia yang kurang berpengalaman itu dengan banyak lesen pembalakan. Musa Aman harus berbuat demikian, jika dia ingin menjadikan penafiannya lebih meyakinkan.
Kesemua bukti itu sebenarnya menjurus kepada satu penjelasan, iaitu kesemua wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank-bank Chia. Bukti itu juga sepadan dengan keterangan dari pelbagai sumber dalam kegiatan pembalakan Sabah.
Sebagai permulaan kami dapat menunjukkan dari penyata-penyata bank yang ada pada kami ini bahawa barangan mewah untuk Chia telah dibeli dan dibayar menggunakan akaun-akaun yang dia gunakan untuk menerima wang sogokan dari taiko-taiko pembalakan. Kami dapat membuktikan bahawa taiko-taiko pembalakan itu berkait-rapat dengan lesen-lesen Chia dan juga dengan lesen-lesen lain yang dikeluarkan secara berasingan selepas tahun 2003.

Dalam masa yang sama, kita dapat menunjukkan bahawa akaun bank UBS Hong Kong yang dikendalikan oleh Chia juga digunakan untuk menerima bayaran-bayaran utama dalam tahun 2006/2007 dari beberapa syarikat pembalakan dan juga digunakan untuk membuat bayaran kepada pihak-pihak lain yang boleh menarik perhatian kita.
Para pembayar kepada akaun Chia termasuk syarikat Borion Enterprise Ltd, yang mempunyai hubungan dengan seorang taiko pembalakan dari Sarawak, dan pembayaran keluar dari akaun itu termasuklah sejumlah besar wang berjumlah US$4 juta dipindahkan kepada seorang yang bernama Richard Christopher.
Chia juga dapat dilihat telah membuat beberapa pembayaran peribadi dan mengeluarkan wang berjumlah beribu-ribu dollar US

Sumber-sumber kami mengesahkan bahawa Richard Christopher merujuk kepada Richard Christopher Barnes, iaitu seorang peguam yang ditahan semasa SPRM menjalankan siasatan ke atas skandal rasuah pembalakan Sabah itu, di mana Barnes dikenali sebagai seorang peguam yang mengendalikan hal-hal kewangan untuk Musa Aman.

Penyata-penyata ini hanyalah sebahagian dari bahan bukti yang ada pada kami, yang mengandungi beberapa transaksi yang serupa menerusi akaun-akaun bank Chia, termasuk beberapa buah syarikat pembalakan yang telah diberi lesen di Sabah.
Ketua Menteri itu perlu menjawab persoalan-persoalan yang telah kami kemukakan dalam laporan kami yang terdahulu, di mana salah sebuah akaunnya digunakan untuk memindahkan wang kepada anak-anak Musa Aman yang berada di Australia.
Dalam tahun 2005 sebuah akaun atas nama Chia, yang dikendalikan oleh HSBC Hong Kong telah mendaftarkan arahan tetap secara berkala kepada anak Musa Aman, iaitu Mohammed Hayssam Musa yang pada ketika itu sedang menuntut di Perth, Australia.
Dalam pada itu juga kita dapat lihat akaun ini juga digunakan untuk menerima bayaran yang besar, berjumlah berjuta-juta dollar US dari syarikat Borion Enterprise Ltd.

Kedua-dua anak lelaki Musa Aman itu, sebagai mana telah kita dedahkan dahulu, mendapat akses ke akaun ini untuk memenuhi keperluan pengajian ketika mereka di Australia. Jika hubungan ini bukan hubungan perniagaan maka Musa Aman perlu menjelaskan apakah jenis hubungan ini dengan Michael Chia.

Maka, apakah kaitan syarikat dari Hong Kong, Borion Enterprise Ltd, yang telah membuat beberapa bayaran yang berjumlah besar kepada Michael Chia?
Borion Enterprise Ltd, adalah sebahagiannya dimiliki oleh seorang taiko pembalakan dari Sarawak bernama Ngui Ing Chuan, yang juga pemegang utama dalam Ta Ann yang berkait dengan Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud. Ngui juga memiliki Borion Enterprise Sdn Bhd dan Borion Shipping Sdn Bhd, kedua-duanya syarikat Malaysia yang berpengkalan di Sarawak.
Namun, pemegang utama dalam Kumpulan Borion di Hong Kong bukannya Ngui, tetapi sebuah lagi syarikat yang bernama Silvermark Consultants Ltd.

Syarikat Silvermark Consultants Ltd sebenarnya dimiliki oleh anak seorang taiko pembalakan Sarawak yang juga merupakan kroni kepada Taib, iaitu Ting Pek Khing!

Hakikat ini menuntut jawapan kepada persoalan kenapakah keluarga Ting Pek Khing membayar sejumlah wang yang besar kepada Michael Chia? Akaun yang selalu digunakan untuk membiayai pengajian anak-anak Musa Aman di Australia?
Memandangkan Musa Aman telah membuat penafian mengenai hubungannya dengan Chia atau tuduhan rasuah, bolehkah Musa Aman memberikan penjelasan yang lebih meyakinkan?
Seorang lagi individu yang boleh dikaitkan dengan Ting Pek Khing adalah sepupunya dan juga orang kananya, Simon Ling. Simon Ling telah terlibat dalam lesen-lesen pembalakan di Sabah sejak Musa Aman menjadi Ketua Menteri dan Simon Ling juga mempunyai hubungan rapat dengan Michael Chia.

Menurut sumber-sumber kami juga Simon Ling telah mengambil-alih pengendalian dan pengurusan dalam kebanyakan lesen-lesen yang sepatutnya dianugerahkan kepada Michael Chia.
Bukti ini diperkuatkan lagi oleh maklumat rasmi syarikat untuk tatapan umum. Syarikat Top Merchant Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang telah menerima lesen-lesen untuk menebang hutan Kuamut. Pemegang utama dalam syarikat itu adalah teman wanita Chia iaitu Yap Siaw Lin. Namun Pengarah dalam Top Merchant Sdn Bhd adalah Simon Ling!

Sumber-sumber maklumat kami mengesahkan bahawa bayaran dari syarikat Borion Enterprise Ltd yang mempunyai kaitan dengan Ting Pek Khing kepada akaun-akaun Chia ada kaitannya dengan lesen-lesen pembalakan yang dianugerahkan kepada Simon Ling daripada Yayasan Sabah, dan juga kepada syarikat-syarikat Chia yang dikendalikan oleh Simon Ling.

Chia telah menguatkan lagi penglibatan Borion dalam perniagaannya dengan memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu mempunyai hak eksklusif membeli kayu balak yang ditebang oleh Rimba Kita dan Rasanmewa, kedua-duanya dimilikinya.
Chia telah memberikan alasan-alasannya sendiri mengenai hubungannya dengan Borion dan bayaran-bayaran yang terlibat, yang mana, menurutnya adalah ‘pendahuluan perniagaan’ dari suatu kenalan perniagaan. Namun alasan-alasan itu tidak menjelaskan bayaran-bayaran yang dilakukannya kepada ahli-ahli keluarga Musa Aman ataupun jutaan dollar yang dikirimkannya kepada Richard Christopher Barnes.
Sumber-sumber kami mengekalkan tuduhan bahawa rangkaian akaun-akaun bank Chia hanyalah sekadar mekanisma untuk memproses segala wang sogokan yang mana menguatkan lagi transaksi-transaksi berbukti yang ada pada kami menerusi akaun-akaun yang sama.
Ini turut merangkumi syarikat-syarikat yang berkaitan dengan taiko-taiko pembalakan yang lain di Sabah, yang akan kami laporkan kemudian.
Sementara itu, kini kami dapat mendedahkan bahawa pemberi maklumat kepada pihak SPRM di mana sebuah syarikat BVI, Angel Face Consultants dimiliki oleh Ketua Menteri Musa Aman dan bahawa ianya telah menerima sogokan menerusi akaunnya di Citibank Singapura yang dikendalikan oleh seorang rakan karibnya.
Pihak kami akan memberikan bukti bahawa SPRM dan ICAC dari Hong Kong mengambil berat mengenai tuduhan-tuduhan ini dalam masa kami mendedahkan bukti-bukti seterusnya. Ianya turut menimbulkan persoalan mengenai beberapa siri pembayaran keluar dari akaun HSBC milik Michael Chia.

Dalam bulan September 2005 baki dalam akaun tersebut menunjukkan sejumlah US$8.5 juta telah dikeluarkan dalam dua pengeluaran dalam sehari kepada Angel Face Consultancy. Jumlah bayaran itu amat besar bagi kerja-kerja perundingan dibuat dalam sehari!
Musa Aman telah menafikan terlibat dalam sebarang perniagaan dengan Michael Chia, walaupun umum mengetahui bahawa Chia adalah orang kanannya dalam industri pembalakan Sabah selepas 2004.
Jika dia berhasrat, Ketua Menteri itu akan bertindak untuk melindungi dirinya dari menghadapi semua pertuduhan itu berkenaan wang sogokan dan rasuah. Dia boleh mengubah sistem yang telah memberinya kawalan secara peribadi ke atas pemberian lesen-lesen pembalakan di Sabah.
Ini kerana Ketua Menteri Sabah itu juga merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah di Yayasan Sabah, yang berkuasa ke atas pemberian lesen-lesen pembalakan ke atas jutaan hektar hutan di negeri itu. Kenapa?
Segala rundingan dalam Yayasan Sabah dibuat secara tertutup dan keputusan-keputusan yang dibuat pula tidak diterbitkan dan dirahsiakan dari umum. Kenapa?
Tiada peraturan yang lebih baik direka untuk membenarkan salahguna kuasa secara mutlak oleh seseorang ketua yang mentadbir-urus sesebuah Kerajaan dan juga sumber asli negerinya. Maka, kenapakah Musa Aman tidak melakukan rombakan sedemikian?

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments