Dipaksa ‘Berperang’ – Kaum Iban Menentang Arahan Meninggalkan Kampung Halaman

Mengarahkan orang-orang tempatan menyerahkan kampung halaman mereka: merobohkan keseluruhan rumah panjang dan memaksa kesemua keluarga berpindah ke tempat lain tanpa sebarang pampasan, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.
Namun di Sarawak keadaan sebegini berlaku di mana-mana, sama seperti keadaan di mana tanah pusaka mereka dirampas dan kemudian dijual kepada pihak lain.
Banyak komuniti telah kehilangan tanah pusaka peninggalan moyang mereka dengan cara ini, dengan rumah panjang mereka yang masih elok dan cantik terpaksa dirobohkan untuk memberi laluan pada pembukaan ladang-ladang.
Tidak terdapat sebarang landasan undang-undang bagi penyingkiran orang tempatan itu, namun di bawah pemerintahan Taib, orang-orang tempatan ini tiada sebarang perlindungan, maka syarikat-syarikat perladangan yang kaya dan berkuasa dapat meraih keuntungan dengan selesa bertulang-belakangkan kroni-kroni politik BN.

Gambaran penentangan di Ulu Niah pada hari ini, tidak jauh dari Miri menggambarkan suatu bentuk kemarahan yang dicetuskan oleh syarikat-syarikat perladangan.
Kaum keluarga yang telah menduduki rumah panjang Rumah Umpol sejak lebih 40 tahun yang lalu kini menentang pemindahan mengejut ini di mana mereka diarahkan berbuat demikian dalam masa 14 hari, yang akan tamat tempohnya pada 26hb Jun, iaitu tarikhnya hari ini.
Orang-orang ini kelihatan tidak berkuasa menentang kemaraan ‘pembangunan’ Taib Mahmud dan juga anggota-anggota polis yang bersenjata bagi mengelak tercetusnya sebarang kekerasan.
Namun, di Rumah Umpol pada hari ini wujud sesuatu yang baru dari kalangan kaum keluarga yang pernah diancam suatu masa dahulu. Pihak media yang memerhati keadaan menunjukkan rasa gementar mereka, ketika orang-orang rumah panjang, yang biasanya dilihat pasif sejak beberapa generasi sebelum ini, kini memakai pakaian perang dan berjanji akan mempertahankan kampung halaman mereka.

Kaum petani kelihatan kembali ke asal-usul kepahlawanan mereka dengan memakai pakaian perang, yang suatu masa dahulu dipakai oleh pahlawan yang menurunkan mereka.
Parang-parang tajam bersarung kelihatan diikat rapi pada pinggang mereka.
Orang-orang kampung kelihatan menggantung azimat dan tangkal yang telah disumpah ke arah sesiapa yang berani mendekati mereka. Ada di antara azimat dan tangkal diletakkan pada hamparan tikar di atas tanah.
Roh-roh purba yang merbahaya dipanggil bagi membantu penentangan mereka terhadap pengganggu mereka, dalam keadaan ini merujuk kepada pemandu-pemandu jentolak moden yang dijangka akan tiba bila-bila masa.
Namun, pengganggu-pengganggu mereka tidak juga tiba!
Melihat kepada kemarahan orang-orang tempatan, adakah Ketua Menteri Sarawak telah bertindak melampaui batas ke atas orang-orang Iban? Adakah beliau dan kroni-kroni perampas tanahnya bersedia untuk berperang?

Apa yang mengejutkan, syarikat perladangan WTK memutuskan untuk mengusir keluar 300 orang keluarga dari rumah panjang 60 pintu itu dan merampas tanah huma mereka tanpa menawarkan sebarang pampasan.
Tambahan pula WTK tidak mendapatkan kebenaran orang-orang kampung atau mengajak mereka dalam rancangan mereka memiliki kawasan orang-orang tempatan itu ke dalam kegiatan perladangan mereka itu.
Orang-orang dari Rumah Umpol akan kehilangan tempat tinggal, kehilangan tanah untuk berhuma dan persekitaran mereka akan dicemari racun serangga dan baja tiruan, yang akan mengganggu sungai dan memusnahkan kehidupan di dalamnya.
Perladangan itu akan mengakibatkan hakisan tanah dan menyumbatkan sungai dan hidupan air akan pupus. Dan rumah panjang yang telah mereka bina sejak berpuluh-puluh tahun lalu akan dirobohkan. Mereka akan menjadi komuniti setinggan sama ada di Miri atau di Kuching.

Semua kerja-kerja buruh di ladang akan dilakukan oleh pekerja murah dari negara Indonesia.

Rakan-rakan Taib dalam WTK, yang dikenali sebagai pembalak dan peladang yang rakus, telah menceroboh ke kawasan orang-orang tempatan dengan pelbagai alasan.
Komuniti kaum Iban di situ terdiri dari 3 buah rumah panjang tidak jauh dari Miri. Nenek moyang mereka telah berhijrah dari daerah-daerah Skrang dan Sri Aman, semasa pemerintahan British dahulu, dalam usaha mereka mencari tanah-tanah untuk bercucuk tanam dan akhirnya mereka menetap di kawasan Ulu Niah.
Mereka bukan kaum setinggan. Kependudukan mereka pada tapak itu diikhtiraf dan didokumentasikan oleh kerajaan British dan kawasan itu telah diisytiharkan sebagai tanah orang asal.
Apabila Sarawak membentuk persekutuan Malaysia, Kerajaan Negeri Sarawak telah memetakan semula kawasan itu dan mengeluarkan sempadan-sempadan bagi rumah-rumah panjang di Ulu Niah itu. Ke semua peta itu disimpan di dalam Pejabat Residen Miri.

Maka, adalah lebih dari cukup untuk mengatakan bahawa orang-orang Iban ini adalah pemilik kepada tanah NCR itu!
Taib selaku pemerintah Sarawak seharusnya ingat bahawa Malaysia adalah anggota kepada Perisytiharan Ke Atas Hak Orang Asli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Perisytiharan ini membenarkan orang-orang asli hidup tanpa diganggu dalam kawasan mereka.
Namun, perisytiharan ini sering diabaikan dan orang-orang asli di Sabah dan Sarawak seringkali diganggu dari masa ke masa.

Taib telah menyerahkan lesen sementara untuk membuka ladang atas tanah milik orang-orang Iban di Ulu Niah kepada kroni pembalakannya, keluarga WTK dan syarikat mereka Medan Mestika Sdn Bhd.

Premium tanah itu hanya lebih sedikit dari RM2 juta, menurut rekod dalam Jabatan Tanah dan Survei, namun hasil kelapa sawit dari tanah seluas 4,047 hektar boleh menjana keuntungan sehingga beratus juta ringgit.
Kita pernah melaporkan mengenai penjualan tanah ladang yang dilakukan oleh saudara Taib, Onn Mahmud. Onn telah meminta harga sebanyak RM31,000 seekar bagi suatu kawasan perladangannya yang amat luas. Memandangkan 4,000 hektar adalah bersamaan 10,000 ekar, maka ladang WTK di Ulu Niah yang matang nanti akan bernilai RM300 juta! Persoalannya di sini, jika Taib benar-benar ingin mengadakan pembangunan untuk rakyatnya, kenapa tidak beliau membantu orang-orang tempatan mengerjakan tanah mereka itu dari menjualkan tanah-tanah itu dengan harga yang murah?

Lesen sementara ke atas tanah-tanah NCR bukanlah muktamad dalam undang-undang bagi anda untuk melakukan apa sahaja yang anda suka. Ianya cara Taib melanggari undang-undang.
Lesen sedemikian seharusnya diadakan dengan persetujuan para pemilik NCR, walaupun kerajaan Taib tidak pernah memberitahu orang-orang tempatan mengenai hak-hak mereka itu.
Lesen sedemikian telah membuka laluan kepada syarikat-syarikat, seperti WTK, yang mempunyai rekod yang kotor kerana sering mengganggu harta pusaka orang-orang tempatan, telah mempergunakan kedaifan orang-orang tempatan bagi merampas hak-hak mereka.
Taktik-taktik kotor, seperti pampasan yang rendah, saham-saham untuk ketua kaum, tuntutan-tuntutan palsu, bayaran guaman yang tinggi, laporan polis yang palsu telah sering kali dijadikan sebagai alat untuk membuli dan menyogok orang-orang tempatan supaya menyerahkan hak-hak berharga mereka itu sebaik sahaja lesen sementara dikeluarkan.
Dalam kes ini, ‘notis untuk meninggalkan kawasan’ sebenarnya sesalinan dokumen yang tidak sah di sisi undang-undang, menurut seorang peguam yang membantu Rumah Umpol, Harrison Ngau.
Syarikat perladangan itu tidak menang pada pusingan pertama perbicaraan ke atas tanah di Mahkamah Tinggi Miri. Ini mungkin kerana hakim yang mendengar kes itu kurang arif mengenai sejarah bagai mana orang-orang tempatan di Ulu Niah mendapat tanah pusakan mereka itu, atau, mungkin Mahkamah Tinggi itu telah menolak peta-peta bagi kawasan itu.
Namun kes ini telah dirayu dan kes ini belum lagi selesai. Maka, peguam Harrison Ngau telah mengesahkan bahawa WTK tiada sebarang hak untuk mengusir keluar orang-orang tempatan di situ dan dia menasihatkan mereka untuk berdiri teguh dan bertahan menentang sebarang bentuk pencerobohan.
Dan seperti mana komuniti-komuniti lain di Sarawak, orang-orang di Rumah Umpol kini bangkit dan bertahan.

Namun WTK kini berusaha dengan menyatakan bahawa ‘notis meninggalkan kawasan’ itu berstatus sahih, seolah-olah dibenarkan oleh mahkamah. Rupa-rupanya ‘notis’ itu telah direka oleh seorang pegawai berpangkat biasa di pejabat tempatan itu.
Para penduduk rumah panjang dari Rumah Umpol telah memberitahu Radio Free Sarawak mengatakan bahawa mereka kini telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Setiap kali menjelang waktu senja, mereka akan mula berkawal sepanjang malam bagi menghadapi sebarang penceroboh jentolak.

Mereka mengesahkan bahawa kaum lelaki di rumah panjang itu telah dilengkapkan dengan parang-parang, azimat dan tangkal dan bersedia untuk menentang musuh mereka.
Mereka juga telah memulakan acara miring sepanjang masa. Mereka turut mengorbankan dua ekor khinzir dan para tetamu yang datang turut dihidangkan makanan dan minuman, termasuk para pemberita.
Pandangan umum di Sarawak berfokus ke arah komuniti kecil ini dan ingin menyaksikan bagaimana mereka menentang kekuatan Taib dan orang-orangnya yang dilengkapkan dengan jentolak.
Mungkin masa telah berubah di Sarawak.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments