Apakah Keadilan Untuk Mangsa Samseng Balak Di Sarawak?

Minggat Anak Nyakin – dipukul dan dicekik samseng pada tahun lalu

Ketakutan pada samseng-samseng di Sarawak semakin berleluasa dan ada alasannya. Gerombolan-gerombolan ini bertindak di luar batasan undang-undang dan menguatkuasakan amalan tamak perampasan tanah dan lesen-lesen pembalakan yang diberikan oleh Taib kepada kroni-kroninya.

Dengan menggunakan samseng, Taib dan rakan-rakan niaganya dapat mengelakkan diri mereka dari dibabitkan secara langsung dan mereka boleh berpura-pura tidak terlibat dengan kaedah-kaedah haram.

Namun, pihak polis lebih mengetahui. Mereka tidak ambil peduli terhadap tindakan-tindakan para samseng itu kerana polis tahu siapa yang membayar perkhidmatan samseng-samseng itu dan sudah tentunya bukan dibayar oleh orang-orang tempatan yang miskin dan daif yang tanah dan kehidupan mereka dirampas.

Kami telah melaporkan sebuah kes serangan samseng di Sarawak Report pada tahun lalu. Minggat Anak Nyakin dan anak lelakinya Juan Anak Minggat telah dibelasah dengan kejam oleh segerombolan samseng yang telah mengajar mereka kerana menentang pemusnahan ke atas tanah mereka oleh para pembalak yang masuk ke kawasan tanah mereka.

So what justice for the victims of gangster attacks?

Juan Anak Minggat – dibelasah dengan kejam

Setahun kemudian sepasukan pemberita dari stesen Radio Free Sarawak telah menziarahi keluarga Minggat untuk mendapatkan apakah bentuk keadilan yang telah mereka terima sejak pembelasahan itu. Minggat masih lagi terganggu oleh serangan itu yang cuba membunuh dengan mencekiknya dan kini tidak dapat bertutur dengan sempurna.

Namun, dia masih boleh bercakap dengan suara berdesir kepada DJ RFS Peter John Jaban, menceritakan pengalaman ngeri yang menimpa dirinya dan anak lelakinya pada suatu petang di bulan Februari 2011.

Pasangan dua beranak itu telah tiba di dusun mereka di Pulau Galau di bahagian hulu kawasan tadahan air Sarikei (di empangan Gerugu) dan mendapati para pembalak telah memusnahkan pokok-pokok dan tanaman mereka.

Dengan rasa marah, dia telah bertikam lidah dengan pengurus syarikat pembalakan di situ yang berkerja berdekatan dengan konsesi, mengancam akan mengheret syarikat itu ke mahkamah kerana memusnahkan kawasannya dengan melaporkan perbuatan kepada pihak polis.

Bapa dan anaknya – menceritakan pengalaman ngeri mereka. Namun tiada seorangpun yang telah didakwa kerana membelasah mereka

Dia kemudiannya menceritakan bagaimana, sebaik sahaja dia beredar, dia merasakan suatu hentakan kuat di belakang kepalanya yang menyebabkannya tersungkur jatuh dan pengsan.

Semasa dia pengsan dia percaya bahawa dia dipukul bertubi yang menyebabkan cermin matanya pecah dan mukanya dipenuhi kaca, namun dia bersyukur kerana dia tidak buta.

Anaknya, Juan, telah bergegas ke tempat kejadian untuk menyelamatkan bapanya namun telah juga dibelasah dengan kejam, walaupun dia dapat melarikan diri dengan merangkak ke dalam semak, berjalan kaki selama dua jam ke dalam hutan sebelum diselamatkan oleh seorang petani kaum Cina.

Pada laporan asal Sarawak Report dahulu, Minggat telah dibiarkan mati di atas anak-anak tangga pejabat Pengurus Syarikat itu. Sebenarnya, Juan menceritakan kepada RFS bahawa harapannya pada masa itu adalah untuk mendapatkan mayat bapanya, kerana percaya bahawa bapanya telah diserang dengan kejam.

Akhirnya ia mengambil masa 4 hari untuk Minggat sedar semula di hospital dan ianya telah mengambil masa yang lama untuk pulih sepenuhnya.

Maka, setelah lebih setahun berlalu, apakah tindakan pihak polis ke atas serangan yang mengejutkan itu? Menurut Minggat, dia kini masih menunggu perkembangan kes itu, walaupun dia dan anaknya mengenali para samseng itu. Hanya seorang dari samseng itu telah ditahan, namun tidak kedengaran mengenai sebarang pertuduhan ke atasnya dan samseng itu kini bebas bergerak-gerak di seluruh Sarawak.

Menurut Minggat, samseng itu masih meneruskan kegiatan pembalakan haramnya di tempat lain dan tidak pula dihalang. Adalah difahamkan bahawa Minggat yang masih mempunyai parut ngeri dari serangan yang menimpanya dahulu, masih merasa marah dengan pihak polis yang seolah-olah tidak berminat untuk membantunya meringankan kesengsaraannya itu.

Driven to take justice into their own hands?

Menunggu keadilan lebih setahun kemudian

Minggat, seperti mereka yang lain juga, yang telah dirampas tanah dan kehidupan, diancam, kini semakin tidak sabar lagi.

Menurutnya, dia semakin berusia dan tidak ada masa untuk menunggu keputusan kes itu.
Dalam temubualnya dengan Radio Free Sarawak, ada kalanya rasa marahnya menggodanya untuk mengambil tindakan sendiri, kerana setelah lebih setahun dia semakin berputus asa dan hilang kepercayaan pada pihak-pihak berkuasa mengendalikan kesnya.

Dengan kegagalan Jabatan Hutan, Jabatan Tanah Dan Survei dan juga pihak polis bertindak berdasarkan banyak laporannya mengenai pembalakan pada tanahnya seluas 3,000 ekar itu, dia masih berharap agar mereka tidak mengabaikan kesengsaraan yang menimpa dirinya.

Keyakinannya kini semakin tergugat. Berapa lamakah Sarawak akan terus dikendalikan untuk memberi manfaat kepada gerombolan pencuri dan samseng dan akhirnya menyebabkan orang awam seperti Minggat terus merana?

Temubual penuh boleh diikuti menerusi podcast di www.radiofreesarawak.org.

Mangsa-mangsa tidak seharusnya dilupakan

 

 

 

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments