2 Jul 2012

Keadilan Menentang Undang-Undang Di Negeri Sarawak

This post is also available in: English, Iban

Semua manusia mengenali erti keadilan. Jika terdapat kepincangan dalam keadilan maka golongan penggubal undang-undang akan membuat undang-undang bagi menghalang kesalahan atau jenayah terus dilakukan dan menyerahkannya kepada kewibawaan mahkamah untuk memutuskannya.
Namun di Sarawak, di mana orang-orang tempatan semakin ramai yang telah berputus asa dalam usaha mereka menyelamatkan tanah dan kehidupan mereka, kita seringkali mendengar mahkamah digunakan untuk menentukan undang-undang.
Sebagai contoh, dalam keputusan Mahkamah Tinggi baru-baru ini, undang-undang telah digunakan untuk menentang sebuah petition dari kaum Penan dan Kelabit di Limbang menyelamatkan tanah mereka dari diceroboh oleh jentera kroni pembalakan Taib Mahmud.
Syarikat-syarikat pembalakan itu merupakan sebahagian dari kroni-kroni dagang yang bersekongkol dengan Ketua Menteri Sarawak untuk mendapatkan wang sogokan, saham-saham syarikat dan juga subsidi semasa pilihanraya dalam usaha menyogok pengundi-pengundi mereka.

Sebagai contoh, syarikat Ravenscourt Sdn Bhd yang dimiliki oleh keluarga jutawan balak Yaw, Samling Global (yang telah menyerahkan sepersepuluh dari saham mereka kepada sepupu Taib Mahmud, iaitu Hamed Sepawi dan bomoh peribadinya, Ahmad Suut), dan Billion Venture Sdn Bhd, milik keluarga Hii, seorang lagi kroni jutawan kepada Taib.

Kumpulan orang tempatan itu yang diwakili oleh peguam Hak Asasi Orang Asal yang juga ADUN PKR See Chee How, telah mengemukakan aduan mereka yang mengatakan hutan mereka telah ditebang oleh Samling dan kemudiannya dibuka keluarga Hii untuk dijadikan ladang kelapa sawit.
Lesen menebang kayu balak telah dikeluarkan kerajaan Taib dalam tahun 1984, dan lesen mengusahakan ladang kelapa sawit pula dikeluarkan dalam tahun 2004 dan kali kedua pada tahun 2010.
Apa yang menyedihkan adalah para kroni Taib yang kaya raya itu tidak pernah membayar pampasan kepada orang-orang tempatan yang tanah dan hutan mereka telah diceroboh dan dirosakkan.
Hak-hak orang tempatan itu bukan hanya termaktub dalam Native Customary Laws negeri Sarawak, namun Perjanjian Hak Asasi Orang Asli telah juga dimeterai dalam Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu di mana Malaysia turut serta memeterainya juga.
Namun hakim yang mengendalikan kes itu telah menjumpai kecacatan dalam hujah-hujan plaintif. Suatu kes yang dianggap oleh Samling, Billion Venture dan juga ko-defenden mereka, iaitu Kerajaan Sarawak mengatakan bahawa hujah-hujah itu adalah “mengarut” dan “tiada asas”.

Hakim telah mengatakan kumpulan orang tempatan dari Limbang itu telah gagal mengemukakan bantahan mereka ke atas pencerobohan tanah hutan mereka dalam tempoh masa 36 bulan sebagaimana dibenarkan oleh undang-undang negeri.
Hakim mengatakan tempoh masa yang bermula dari Pejabat Hutan dan Jabatan Tanah dan Survei mengeluarkan lesen-lesen itu kepada kroni-kroni dan penyokong-penyokong politik mereka.
Kini, ramai orang tahu dan faham bahawa di Sarawak, tugas mengeluarkan lesen sedemikian tidak akan diketahui oleh orang awam, malah tender untuk lesen-lesen itu tidak dibuka secara telus. Kebanyakan lesen itu dikeluarkan dengan secara rahsia kepada orang-orang tertentu sahaja, terutamanya kepada kroni-kroni dan penyokong-penyokong politik Taib sahaja.
Maka kami ingin bertanya bagaimanakah orang-orang tempatan akan mengetahui sama ada lesen ke atas hutan mereka sudah dikeluarkan atau sebaliknya?
Biasanya lesen-lesen itu akan disimpan oleh kroni-kroninya selama bertahun-tahun lamanya sehingga ke suatu masa mereka mencetuskan masalah, maka tempoh bantahan orang-orang tempatan pula berakhir dan mereka tidak dapat berbuat apa apa lagi!
Maka, bagaimanakah perbicaraan itu dapat mewakili keadilan?
Di negara-negara yang mengamalkan demokrasi yang sebenarnya, sesebuah jabatan yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen pembalakan atau pembukaan ladang (dalam kes ini, Jabatan Hutan dan Jabatan Tanah dan Survei) akan terlebih dahulu bertanya pada orang-orang tempatan mengenai lesen yang akan dikeluarkan bagi membolehkan pihak luar mengekstrak kayu balak dan membuka ladang.

Jika ianya tidak dilakukan, maka jabatan kerajaan yang mengeluarkan lesen sedemikian boleh dituduh bersubahat dalam penipuan. Bagaimana mungkin kita andaikan orang tempatan akan berjalan kaki dari daerah Limbang di utara Sarawak akan ke daerah Kuching di selatan Sarawak untuk menyemak lesen yang dikeluarkan secara mengejut oleh Jabatan Hutan ke atas tanah mereka?
Namun hakim yang mengendalikan perbicaraan itu terus mengatakan bahawa orang-orang tempatan itu harus tahu dan peka akan tarikh lesen berkenaan hutan mereka dikeluarkan.
Jelaslah, usaha orang-orang tempatan yang mendirikan penghadang untuk mengusir lori dan jentolak dari memasuki kawasan hutan mereka, termasuk ancaman dari pasukan polis, bukan mewakili aduan orang tempatan seperti yang dimaksudkan oleh hakim itu.
Maka bagaimana hakim itu boleh mengandaikan bahawa dalam tahun-tahun 1980-an orang tempatan yang miskin dan daif mampu menyewa kenderaan pacuan empat roda atau helicopter untuk pergi ke Kuching dan mengupah peguam-peguam untuk mewakili mereka dalam perbicaraan kes sivil menentang syarikat yang kaya?

Orang-orang tempatan itu sememangnya golongan yang kurang berpendidikan, daif dan miskin. Mereka tidak pernah kenal apa yang dinamakan sebagai peguam, malah tidak mampu mengeluarkan wang untuk mengupah seorang peguam.
Mereka menjalani hidup yang berbeza dengan kaum-kaum lain di Sarawak, oleh itu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencipta suatu perjanjian bagi menjaga kebajikan mereka dari diganggu orang lain seperti pembalak rakus yang bekerja untuk Taib Mahmud.
Kerajaan Sarawak pada ketika itu seharusnya membantu mereka dengan menziarahi mereka dan melindungi mereka dari diganggu oleh pihak luar. Paling tidak, kawasan hutan mereka yang diganggu oleh pihak luar seharusnya dibayar pampasan yang setimpal.
Namun si Ketua Menteri yang tamak haloba itu bersama-sama kroni-kroninya telah gagal dalam mengutamakan kehidupan orang-orang tempatan itu.
Malah kini, dari menghukum Taib kerana kesalahan sedemikian, para hakim terus berusaha menjalankan kewibawaan mereka berpandukan undang-undang yang tersirat dan tersurat, dan mengenepikan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan dan kehidupan orang tempatan serta menegakkan keadilan.
Kini orang-orang tempatan telah sedar dan terbuka fikiran mereka dan bangun untuk menentang pencerobohan itu. Ramai peguam datang untuk membantu mereka.
Sudah tiba masanya para hakim dalam sistem perundangan di Sarawak harus bangkit untuk membantah tindak-tanduk seorang tokoh negeri yang terlalu taksub dengan rasuah dan kerja-kerja merampas harta pusakan milik orang-orang tempatan.

Keuntungan ratusan juta telah diperolehi dari kegiatan pembalakan dan perladangan yang tidak terkawal di Sarawak menggunakan tanah-tanah NCR milik orang tempatan.
Keuntungan beratus juta telah masuk ke dalam saku kroni-kroni Taib yang mendapat lesen darinya dan juga dari jabatan di bawah tadbirannya.
Begitu juga dengan syarikat Titanium Management milik anaknya sendiri, Mahmud Abu Bekir, telah mendapat kawasan hutan yang amat luas untuk membuka ladang kelapa sawit.
Kini, sudah tiba masanya kecacatan dalam sistem keadilan di Sarawak harus diperbetulkan.
Setidak-tidaknya orang-orang tempatan di Sarawak beroleh sedikit manfaat dan faedah dari tanah mereka yang diusahakan orang pihak lain.
Kini juga sudah tiba masanya mahkamah meletakkan hukuman ke atas syarikat-syarikat seperti Samling dan Billion Venture, dan hukuman itu seharusnya amat berat.