Blogger Beracun Malaysia Didedahkan di US!

Seorang blogger kotor di sebalik banyak laman web yang diupah oleh BN untuk memburuk-burukkan Anwar Ibrahim dan juga Sarawak Report, telah dipecat dari kerja sebagai pemberita di US oleh sebuah akhbar terkenal, Guardian Newspaper.
Akhbar Guardian yang telah memetik pendedahan kami terhadap Josh Trevino sebagai bukti dia tidak sesuai diupah sebagai penulis dalam kenyataan mereka yang mengesahkan pemberhentiannya semalam. Dalam apa yang telah digambarkan sebagai ‘persetujuan bersama untuk pergi secara berasingan’, Trevino berkata bahawa dia tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai “perunding bagi agensi yang mempunyai kepentingan perniagaan Malaysia” atau peranan beliau menjalankan laman web pro-BN di Malaysia, apabila mempromosikan Najib Razak dan menyerang Anwar dalam artikel-artikel yang diterbitkan bukan sahaja di akhbar The Guardian, tetapi juga di Washington Times dan Huffington Post. Kajian dan siasatan kami mendapati bahawa agensi yang dia maksudkan adalah syarikat penerbitan TV yang beribu-pejabat di UK, FBC Media, yang telah ditutup selepas kami mendedahkan bahawa mereka telah dibayar RM84 juta oleh pejabat peribadi Perdana Menteri Malaysia Najib Razak untuk mempromosikan imejnya di luar negara dan juga di Malaysia. FBC Media juga dibayar upah sebanyak RM15 juta untuk kontrak selama setahun oleh Taib Mahmud bagi menyerang-balas siasatan dan liputan Sarawak Report dan menjalankan kempen menyerang editornya dan keluarganya, termasuk bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.

Josh Trevino telah dipromosikan sebagai pemberita berhaluan kanan oleh akhbar Guardian dalam suatu kenyataan akhbar mereka pada 15hb Ogos yang lalu. Akhbar berkenaan telah mendapati bahawa perlantikan Trevino adalah suatu kesilapan setelah mereka memprovokasikan suatu bantahan kerana pandangan berhaluan kanan Trevino. Pandangan itu, sebagaimana telah kami dedahkan dalam Sarawak Report adalah berbaur pro-Israel dan anti-Islam. Sebagai contoh, Trevino telah meminta tentera Israel untuk menembak mati orang awam yang menyertai ‘Mercy Flotila’ Palestine yang menghantar bantuan dan bekalan makanan ke komuniti yang terjejas itu. Orang-orang awam yang dimaksudkan itu merangkumi rakyat US dan rakyat Malaysia, yang dianggap sebagai wira oleh Najib Razak.
Maka, kenapakah, ingin kami persoalkan di sini, Taib Mahmud dan Najib Razak ingin mengupah seseorang yang berpendirian sedemikian, sedangkan mereka sendiri adalah pemimpin-pemimpin Islam yang mempunyai sikap anti-Israel?
Mungkin, kerana jika anda ingin melaksanakan kerja kotor, anda harus mengupah seseorang yang sanggup melakukannya?

Sarawak Report telah menerima maklumat dari sumber dalaman, yang disertakan dengan bukti-bukti lain bahawa Josh Trevino diupah oleh FBC Media untuk menyerang blog ini dan juga menyerang Anwar Ibrahim sebagai kontrak-kontrak dengan Najib dan Taib.
Sementara itu FBC Media telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai syarikat penerbitan dengan mempunyai saluran penyiaran di BBC, CNBC dan CNN untuk mempromosikan pelanggan-pelanggan dari Malaysia dan juga para diktator yang mengupah mereka seperti Hosni Mubarak dari Mesir, Presiden Nursultan Nazarbayev dari Kazakhstan dan juga Gulnara Karimova, yang dikenali sebagai ‘Anak Perempuan Paling Buruk di Dunia’ dari Uzbekistan.

Trevino yang berperanan sebagai penasihat politik dan penulis ucapan bagi ahli-ahli politik berhaluan kanan di US, mengendalikan sebuah laman web berjudul Red State. Dia juga mempunyai sebuah laman dengan nama Rogue Strategic Services yang dikhaskan untuk membantu para pelanggannya merancang secara berstrategi, perjumpaan organisasi, perhubungan dan media baru.

Dalam kapasiti ini dia telah mengendalikan laman-laman blog khas untuk menyerang Anwar Ibrahim dan Sarawak Report di US dan juga di Malaysia.
Blognya yang berjudul New Ledger (yang kini telah ditutup) beribupejabat di US dan dikaitkan dengan laman Red State, dikendalikan sebagai laman politik yang diterbit oleh “sukarelewan”. Sebenarnya New Ledger adalah terlalu taksub dengan perkembangan di Malaysia dan 50% dari kandungannya dikhaskan untuk menyerang Anwar Ibrahim dan juga Sarawak Report. Trevino juga menubuhkan dua buah lagi laman web utama. Sebuah darinya adalah www.sarawakreports.org, dikhaskan untuk menyamai laman kami dan juga untuk menyerang kami mana kala sebuah lagi diberi nama Malaysia Watcher, dikhaskan untuk menyerang Anwar Ibrahim yang mereka gambarkan sebagai seorang “sodomis” dan “kaki perempuan”. Artikel-artikel mereka, pada mulanya, diterbitkan dalam New Ledger yang kemudiannya ‘dipantulkan’ ke Sarawak Reports dan Malaysia Watcher seolah-olah berita itu digambarkan secara tulen oleh pandangan politik di US! Di Malaysia pula, akhbar-akhbar mesra BN dan agensi berita kebangsaan Malaysia, Bernama, akan memetik berita dari sumber ini dan akhirnya menyebarkannya ke seluruh Negara.

Trevino dan juga penerbitan-penerbitan yang lain tidak pernah sama sekali mendedahkan bahawa kempen serangan itu dibayar menggunakan wang cukai rakyat di Malaysia.
Inilah sebab utama akhbar Guardian memberhentikan kontrak Trevino semalam.

Kami mempunyai bukti bahawa kegiatan-kegiatan yang dikaitkan dengan FBC dan Josh Trevino dalam soal “blogging khas” dilanjutkan sehingga ke usaha mengubah laman-laman dalam Wikipedia yang ada kaitan dengan Taib dan Sarawak Report.
Kegiatan-kegiatan ini dikhaskan untuk memburuk-burukkan Sarawak Report dan laman-laman pengkritik Taib Mahmud dan juga BN, dan mereka juga turut memburuk-buruk bekas Perdana Menteri UK, Gordon Brown.
Bermula pada 30hb Mac, sebaik sahaja FBC Media melancarkan kempen mereka mempromosikan Sarawak, sekumpulan penggodam dengan nama samaran mereka Yaya222010 telah bertindak mengubah beberapa siri dalam laman Wikipedia dalam apa yang dinamakan sebagai kegiatan “sock puppet”.
Pertama sekali mereka menulis suatu masukan ke dalam laman Wikipedia dikhaskan untuk menceritakan mengenai editor Sarawak Report, ‘Clare Rewcastle Brown’, dengan memfokuskan pada tuduhan-tuduhan palsu yang dilakukan semasa apa yang mereka katakan sebagai suatu skandal parliamen di UK. Tuduhan-tuduhan itu telah lama dikeluarkan dari akhbar-akhbar Britain dan segala gantirugi telah pun dijelaskan.
Masukan negatif dalam laman Wikipedia itu juga dikaitkan dengan serangan Sarawak Report(S) Josh Trevino, dengan menggalakkan pelayar-pelayar internet untuk menjurus kepada serangan yang agresif dalam laman itu. Penggodam Yaya222010 juga menambahkan pautan-pautan dari laman Radio Free Sarawak di Wikipedia ke dalam laman baru mereka itu.

Pada hari yang sama juga, penggodam Yaya222010 telah mengubah masukan dalam Wikipedia mengenai Andrew Brown, suami kepada Clare Rewcastle Brown.
Penggodam Yaya222010 telah menambahkan kandungan yang secara banyak kali membangkitkan tuntutan gantirugi itu dan mencipta suatu lagi masukan untuk menyerang isterinya, Clare. Mereka juga menokok tambah pautan-pautan dalam Sarawak Report(S).
Tujuan utama mereka melakukan sedemikian adalah semata-mata menjadikan pembaca mereka mengutuk Andrew Brown sebagai kesalahan yang benar, walaupun keluarga Brown itu telah memenangi kes mereka itu.
Pada hari yang sama juga penggodam Yaya222010 telah menggodam laman Wikipedia berkenaan bekas Perdana Menteri UK Gordon Brown. Yaya222010 telah memautkan lamannya kepada masukan laman Wikipedia mereka mengenai Clare Rewcastle Brown dan juga kepada Sarawak Report(s), di mana dia didapati melakukan serangan yang lebih buruk dalam artikel-artikelnya itu. Pada hari itu juga Yaya222010 juga menghubungkan pautan laman Wikipedia yang dikhaskan untuk Taib Mahmud ke dalam masukan mereka pada artikel mengenai Clare Rewcastle Brown dengan hasrat menjadikan para pembaca bahawa pengkritik Taib adalah dari orang-orang yang tidak bertanggungjawab!

Laman-laman Wikipedia yang lain yang telah digodam oleh Yaya222010 pada hari yang sama merangkumi laman web milik blogger pembangkang Malaysia, Raja Petra Kamaruddin. Yaya222010 juga memautkan lamannya kepada Sarawak Report(s) di mana dia dipaparkan sebagai penyerang Anwar Ibrahim.

Tanpa diragukan lagi, kegiatan-kegiatan ini adalah sebahagian dari kempen yang direka khas untuk menyerang editor Sarawak Report bagi pihak Taib Mahmud, sama seperti yang termaktub dalam kontrak Taib dengan FBC Media dulu.
Kini pihak pengendali Wikipedia dalam mengesahkan bahawa penggodam Yaya222010 adalah sebenarnya seseorang yang berperanan sebagai “sock puppet”. Laporan-laporan Wikipedia juga mengaitkan Yaya222010 dengan “sock puppet” yang lain yang telah, pada bulan Ogos tahun lalu, cuba untuk memadamkan maklumat mengenai pendedahan kami mengenai Presiden FBC Media, ketua CNN John Defterios dan Pengerusi FBC, Alan Friedman!

Akhirnya FBC Media ditutup setelah kami mendedahkan kegiatan kotornya, menyebabkan BBC dan CNBC menamatkan ke semua kontrak mereka itu.
Adakah Pengerusi Alan Friedman, Presiden John Defterios dan blogger kotor Josh Trevino akan menafikan hubungan mereka dengan kegiatan penyamaran “sock puppet” yang mereka kaitkan dengan laman-laman bagi pihak Taib Mahmud?
Sarawak Report kini telah mengemukakan pertanyaan-pertanyaan pada pihak pengendali Wikipedia berhubung perkara ini.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments