6 Aug 2012

Merancang Rompakan – Beberapa Jawaban Pada Misteri Pemerolehan Kekayaan Luar Biasa Awang Tengah

This post is also available in: English, Iban

Sebuah lagi rumah serba besar dan mewah tersergam di Kuching dan memberitahu kita mengenai wujudnya gejala rasuah yang berleluasa di negeri Sarawak.
Pemiliknya adalah Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Menteri Perancangan Sarawak (di mana Abdul Taib Mahmud sendiri merupakan menteri penuh Kementerian Perancangan itu) dan setelah selama setahun pembinaannya, akhirnya Awang Tengah berpindah masuk.
Penduduk setempat di sekitar kawasan Petra Jaya telah tertanya-tanya bagaimana seorang menteri Sarawak, yang hanya bergaji sekitar RM17,000 sebulan itu mampu memiliki sebuah kediaman yang amat besar?

Awang Tengah merupakan seorang menteri yang bertanggungjawab meluluskan semua perancangan projek yang sederhana besar di negeri Sarawak. Mana kala bosnya, Abdul Taib Mahmud pula meluluskan projek-projek yang lebih besar, namun projek-projek membina pusat-pusat membeli-belah, blok-blok kediaman dikendalikan oleh Awang Tengah.
Bagai mana mungkin kedudukan menterinya boleh menjadikan seseorang yang sederhana latarbelakaang keluarganya boleh kelihatan amat mewah?

Bakal menjadi pengganti kepada ketuanya?

Sebenarnya, sebaik sahaja menjawat jawatannya Awang Tengah telah, dengan serta-merta, dikatakan sebagai orang yang digemari Ketua Menteri dan mungkin menjadi penggantinya suatu hari nanti.
Pada kebiasaannya para diktaktor yang gila sentiasa cuba untuk menurunkan tanggungjawab mereka kepada anak-anak mereka dan kita bolehlah menunggu pengumuman dalam sedikit masa lagi bahawa Abu Bekir Mahmud Bin Abdul Taib yang akan menggantikan tempat bapanya kerana tiada orang lain yang lebih layak.
Namun, Awang Tengah merupakan orang yang paling digemari Taib sebagai meneruskan pelaksanaan projek-projek SCORE mereka.
Urusan meragukan di Lawas
Sementara itu, Sarawak Report telah mengkaji dan menyiasat bukti-bukti yang berkisar pada sebuah kes bersensasi di Lawas, yang boleh mendedahkan bagaimana menteri itu menguruskan segala pemerolehan kekayaan untuk dirinya dan keluarganya.

Kes itu melibatkan seorang tempatan yang bernama Sia Tangi, bersama anak-anak lelakinya telah dituduh membakar bangunan-bangunan pejabat dan kuarters kakitangan syarikat Laras Jaya Construction, di mana loji pembersihan bekalan air telah dikontrakkan untuk dibina di Long Kuton, Trusan di daerah Lawas.
Pemusnahan itu merangkumi dua buah jengkaut dan tiga buah jentera pembancuh konkrit di tapak itu dan hukuman yang bakal dijatuhkan ke atas orang-orang itu, jika didapati bersalah, adalah hukuman penjara 20 tahun. Mujurlah bagi mereka, mahkamah telah membebaskan kes itu dan mereka juga dibebaskan.
Namun, mari kita teliti latarbelakang kejadian ini. Sejak tahun 2008 Sia Tangi telah mengadu bahawa tiga bidang tanahnya di kawasan Trusan telah dirampas kerajaan negeri untuk membina loji pembersihan bekalan air, namun bayaran pampasan berjumlah RM473,625.35 telah dibayar kepada orang lain!

Setiap kali dia bertanyakan keadaan tanahnya itu dia sentiasa tidak dipedulikan oleh pegawai-pegawai kerajaan negeri. Mahkamah Orang Tempatan dan Pegawai Daerah tidak memberikan apa-apa respon pada surat-surat peguamnya. Sebagai tindak balasnya, Sia Tangi telah menghalang pembinaan loji itu dengan apa jua cara sekalipun, termasuk menanam kelapa sawit pada tapak itu namun akhirnya dimusnahkan juga.

Ingat, ini adalah tempat asal Awang Tengah Ali Hassan dan menteri itu mendapati kes itu telah mendatangkan masalah baginya.
Beberapa bulan yang lalu, Awang Tengah telah menggunakan platform dalam Dewan Undangan Negeri untuk mengutuk Sia Tangi secara peribadi kerana mengganggu perlaksanaan projek pembinaan loji itu.

Namun, selama bertahun-tahun Awang Tengah dan agen-agennya dalam kerajaan negeri telah enggan melayan tuntutan sahih dan aduan-aduan pemilik tanah NCR itu.
Pegawai Daerah Lawas, yang telah menyerahkan bayaran pampasan kepada orang lain, telah tidak hadir di Mahkamah Tinggi pada tahun 2009, di mana mahkamah telah memerintahkan bahawa bayaran pampasan itu tidak seharusnya diterima pakai dan aduan dari Sia Tangi seharusnya dilayan.
Walaupun setelah mahkamah berpihak kepada Sia Tangi, Superintenden Agensi Perlindungan dan Pembangunan Tanah dan juga Pegawai Daerah Lawas masih gagal untuk membetulkan keadaannya. Malah, mereka telah membelakangkan keputusan mahkamah.

Pada kejadian itu, hanya sebilangan kecil sahaja orang yang akan mengutuk Sia Tangi dan anak-anaknya, jika benarlah mereka yang bertanggungjawab dan seterusnya dihadapkan di mahkamah. Tanah ini, menurut mereka, telah dirampas dari mereka dan bayarannya pula diberikan kepada orang lain!

Laras Jaya Construction

Maka siapa pula para pemilik syarikat Laras Jaya Construction Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dilindungi oleh Awang Tengah semasa mengemukakan kutukannya dalam DUN? Orang mungkin akan menganggap para pemegang sahamnya adalah orang yang sama dalam syarikat Laras Jaya Sdn Bhd, yang dimiliki oleh kontraktor binaan Kuo Ing Sing dan Kueh Hoi Lai. Lagipun semua syarikat itu berkongsikan alamat yang sama di Kuching.

Namun, para pemegang saham dalam Laras Jaya Construction Sdn Bhd, yang juga berpejabat di L150/5A Jalan Datuk Abang Abdul Rahim, adalah berbeza sama sekali. Pemiliknya adalah Awangku Jinal Abedin Bin Pangiran Haji Jawa.

Awangku Jinal adalah adik ipar kepada Awang Tengah, seorang yang dianggap umum selaku proksi perniagaan kepada Menteri Perancangan itu!
Kumpulan Laras Jaya harus menjelaskan corak pemilikan saham yang luarbiasa mereka. Sebuah lagi saudara syarikat yang berkongsi pejabat menunjukkan kaitan antara Kueh Hoi Lai dengan Awangku Jinal, pada kali ini Awangku Jinal bertindak selaku pemegang saham secara minority sahaja.

Maka, siapakah yang mendapat apa dari hubungan ini dan kenapakah Kerajaan Negeri Sarawak menganugerahkan projek bernilai RM68 juta kepada syarikat milik keluarga Awang Tengah tanpa menggunakan sebarang tender,

semuanya itu dilakukan di dalam kawasan pilihanraya Menteri Perancangan itu sendiri?

Bagaimana akan kita tahu kos sebenar projek ini jika syarikat lain tidak diberikan peluang untuk membida kerja-kerja itu, yang telah dibayar menggunakan duit yang dicukai dari rakyat?

Sedihnya, di bawah pemerintahan Taib/BN orang-orang Sarawak telah terbiasa dengan amalan menteri-menteri menganugerahkan mereka sendiri dan juga ahli-ahli keluarga mereka projek binaan yang besar-besar.
Sungguh berani bagi Awang Tengah mempergunakan kedudukan menterinya untuk mendapatkan projek mega untuk dirinya sendiri dan juga untuk saudara-maranya! Dan sungguh berani juga dia membina tugu peringatan rasuah yang berbentuk sebuah kediaman serba mewah di Kuching!

Banyak lagi

Adalah menjadi suatu kesalahan besar bagi seseorang menyalahgunakan tanggungjawab dan kuasanya untuk membuat duit untuk dirinya sendiri. Namun menurut bukti-bukti yang ada pada laman web CIDB, Laras Jaya Construction Sdn Bhd telah mendapat banyak projek mewah di seluruh negeri Sarawak sejak beberapa tahun kebelakangan ini!

Misteri kehilangan wang pampasan

Isu yang amat pelik mengenai pampasan yang berkontroversi berkenaan projek pembinaan loji pembersihan bekalan air di Trusan dan juga penentangan Sia Tangi telah menimbulkan suatu perbuatan yang memalukan. Jumlah wang pampasan yang diluluskan oleh kerajaan negeri Sarawak itu amatlah besar untuk menggantikan tiga bidang tanah yang dimaksudkan. Ianya berjumlah tidak kurang dari RM473, 625.35 dan pada masa wang pampasan itu diumumkan para pemilik tanah telah dijemput untuk mengemukakan tuntutan mereka, di mana Sia Tangi juga turut berbuat demikian.
Namun, kesemua wang pampasan itu telah diberikan kepada dua orang individu lain, menurut rekod-rekod. Tuntutan yang dikemukakan oleh Sia Tangi tidak dipedulikan dan dia tidak diberitahu kepada siapa wang pampasan itu dibayar sehingga para peguamnya menyiasat dan mendapati bahawa Pegawai Daerah telah membayar RM73,967.50 kepada Janny Apan, dan RM89,651.40 dan selebihnya RM310,006.45 kepada seorang yang bernama Salli Agong.
Siapa agaknya orang-orang ini yang telah menerima pampasan yang besar jumlahnya daripada kerajaan negeri sebagai balasan merampas tanah dari Sia Tangi?

Bolehkah Ahli Parlimen Lawas Datuk Sum Agong tampil ke hadapan? Mungkin dia berani menafikan khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa ahli keluarganya terlibat dalam urusniaga yang besar ini?
Adakah sekutu rapat Sum Agong dalam BN, iaitu Awang Tengah, dari kawasan pilihanraya yang sama, akan membuat penafian bahawa Salli Agong dan Datuk Sum Agong itu tiada pertalian saudara sebagaimana diperkatakan umum? Lagi pun, jika seseorang menteri dapat beroleh sesuatu yang menguntungkan, maka logik juga bagi saudara maranya akan turut sama menikmati keuntungan itu!