Taib Terus Mengaut Lebih Banyak Ratus-Jutaan Dari Kemusnahan Khazanah Alam Sarawak!

Sokongan Australia terhadap projek SCORE Taib Mahmud semakin hari semakin banyak dipersoalkan, memandangkan ianya dibelengu rasuah setiap hari.
Kini pesanannya seharusnya menjadi semakin jelas. Jika anda berurusniaga dengan Taib Mahmud pemimpin kerajaan Sarawak, maka anda bergelumang dalam dunia rasuah dan merompak orang-orang asli di Borneo.

Oleh itu haruskah Pesuruhjaya Tinggi Australia, Miles Kuppa, berfikir semasak-masaknya?
Keghairahan Kuppa pada masa lalu mempromosikan ‘pelaburan’ Australia dalam SCORE telah menimbulkan rasa malu terhadap orang yang waras pemikiran di Negara mereka sendiri, yang khuatirkan pemusnahan alam sekitar dan rompakan khazanah alam yang dilakukan oleh Taib ke atas rakyatnya sendiri.
Lagipun, Kuppa masih merestui rancangan syarikat Rio Tinto Alcan untuk membina kemudahan melebur logam, walaupun gergasi aluminium itu telah memutuskan untuk membatalkan rancangan mereka. Keputusan itu adalah berikutan laporan kami yang mendedahkan bahawa syarikat CMS milik keluarga Taib adalah 100% pemilik kepada syarikat SALCRA yang dilesenkan, di mana Rio Tinto Alcan dikatakan akan melabur sebanyak $2 billion dollar!

O M Holdings Ltd

Kuppa juga turut bergembira dengan penglibatan O M Holdings Ltd dalam SCORE, sebuah syarikat yang, menurutnya, bersifat ‘Australia’, kerana disenaraikan dalam bursa Sydney. Namun sebenarnya O M Holdings Ltd adalah pelaburan Bermuda yang mempunyai kaitan secara langsung dengan China.
Maka, kenapakah Pesuruhjaya Tinggi Australia itu beria-ia mempromosikan kerja-kerja membina kemudahan peleburan aluminium dilaksanakan oleh negaranya di tengah-tengah hutan belantara Borneo, yang akan dijanakan oleh tenaga elektrik hidro yang murah dari Empangan Bakun?

Kini terdapat banyak kerisauan mengenai kurangnya keberkesanan dan keobjektifan penilaian impak terhadap alam sekitar yang menyelubungi projek-projek sedemikian di Sarawak. Kemudahan peleburan yang dimiliki oleh syarikat Pressmetal di Mukah kini telah terbukti mendatangkan masalah kesihatan dan pencemaran alam sekitar yang amat meluas.
Dan O M Holdings Ltd tidak akan mengadakan pekerjaan atau pendapatan lumayan kepada penduduk tempatan (ataupun untuk orang-orang Australia) berbanding Pressmetal – i.e. faedah sifar. Maka, apakah usaha mereka selama ini?

Sememangnya lebih banyak keuntungan untuk Taib!

Mengapakah Kuppa tidak mempersoalkan kegiatan rasuah yang menyelubungi projek ini, sebuah projek yang gagal seperti kegagalan usahasama Rio Tinto, terima kasih pada ketamakan Taib yang bersungguh-sungguh mengaut jutaan ringgit dari bumi Sarawak?
Para pegawai tertinggi dalam O M Holdings Ltd sememangnya sedar akan ‘permainan’ BN. Jika mereka ingin mendirikan kilang pengotor mereka dan mencemarkan kehidupan orang Sarawak, maka banyaklah duit akan masuk ke dalam saku Taib.

Kami pernah mendedahkan bagaimana langkah awal mereka menawarkan syarikat Cahya Mata Sarawak Bhd (CMSB) suatu pegangan saham yang amat lumayan pada usahasama itu. Anak syarikatnya, O M Material (Sarawak) Sdn Bhd, adalah 20% milik CMSB!
Kemudian kami pernah juga melaporkan bagaimana O M Materials memberikan sogokan yang banyak kepada Ketua Menteri itu menerusi syarikat KKB Engineering Sdn Bhd. KKB hanyalah suatu syarikat topeng yang berperanan mendapatkan kontrak bernilai RM70 juta dari O M untuk membuka kawasan dan tapak pembinaan kemudahan peleburan itu.

Ianya suatu kontrak di mana O M memutuskan untuk tidak ditender pada kadar yang terendah kepada sesiapa, dan sebagaimana telah kami laporkan, KKB Engineering Sdn Bhd juga dimiliki oleh CMSB!
Cuba bayangkan nilai projek-projek ini yang akan memberi keuntungan kepada Taib dan keluarganya. Arwah isteri Taib, Laila, masih selaku pemegang saham terbanyak dalam CMSB, walaupun dia telah 3 tahun meninggal dunia (dan anak-anak Taib pula memegang saham-saham selebihnya). Apakah penjelasan yang akan kita dengar dari para auditor mereka, Ernst & Young, mengenai pegangan saham yang luarbiasa ini?
Malah, Taib sudah dibuktikan terus membuat tuntutan ke atas lebih banyak keuntungan dari sebuah projek ini. Akhbar The Star yang dikawalselia oleh kerajaan BN kini telah memberi amaran kepada masyarakat dunia bahawa KKB Engineering juga dijadikan penerima kontrak yang amat besar ini. Kontrak yang seterusnya melibatkan perbelanjaan kurang sedikit dari RM 2 billion!

Sementara masyarakat Mukah yang miskin diarahkan untuk menanti faedah dan manfaat dari projek SCORE, yang telah memusnahkan sumber kehidupan mereka dan mencemarkan persekitaran mereka, manakala Taib Mahmud pula terus mengaut dan menikmati keuntungan ratus-jutaan ringgit darinya!
Sebagaimana yang dia katakan sedikit masa lalu “saya memiliki wang lebih dari yang boleh saya belanjakan”. Namun Taib yang tamak itu tetap tidak akan berpuas hati dengan apa yang ada pada dirinya.
Sudah tentunya dia tidak akan membahagikan duitnya itu dengan rakyatnya yang miskin yang dia wakili selama ini.
Negara Australia dan perwakilan mereka tidak sepatutnya mendapat bahagian dalam kegiatan ini, dan institusi pendidikan tingginya yang terunggul, Adelaide University, sepatutnya merasa malu kerana telah mendapat ratusan-juta ringgit sebahagian wang suapan daripada Taib Mahmud yang kemudiannya menganugerahkannya doctor kehormat dan banyak lagi gelaran sebagai balasan, sedangkan dia tidak sedikitpun menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyatnya sendiri yang miskin papa.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments