Temujanji Sarawak Dengan TV Australia

Dateline, sebuah stesen TV berprestasi tinggi Australia yang menyiarkan berita antarabangsa terkini, telah mengkhaskan siaran selama setengah jam mengenai masalah-masalah akibat pembalakan yang tidak terkawal di negeri Sarawak dan rancangan gila Taib Mahmud untuk membina 12 lagi empangan hidro elektrik di negeri itu. Pemberita veteran mereka, David O’Shea, mengambil masa beberapa hari merakamkan imej dan video di Sarawak dan menemubual orang-orang asal yang terjejas oleh kenaikan paras air empangan Bakun yang menenggelamkan kediaman dan kehidupan mereka.

Dia juga menziarahi kampung-kampung penduduk asal yang terjejas oleh para samseng yang diupah oleh syarikat-syarikat pembalakan.

Isu-isu ini adalah suatu kebiasaan bagi orang-orang miskin dan terbiar serta teraniaya di Sarawak dan rintihan mereka kini mulai didengar melalui radio internet Radio Free Sarawak. Namun, bagi kebanyakan orang-orang Australia apa yang berlaku ke atas orang-orang di Sarawak dan juga hutan semulajadi mereka adalah sesuatu kejutan dan mengecewakan.

David O’Shea telah mengetengahkan orang-orang Ukit dari Bakun, yang telah terjejas kehidupan mereka sehingga kini mereka terpaksa mendiami rumah-rumah terapung kerana kampung-kampung mereka telah ditenggelami air empangan. Dia juga menemubual ramai penduduk kampung orang Ukit, di mana hutan tempat sepencarian hidup mereka telah dimusnahkan oleh syarikat Ta Ann, sebuah syarikat yang dikendalikan oleh sepupu dan proksi Taib, Hamed Sepawi.

Seterusnya dalam rancangan itu dia telah mencabar Hamed Sepawi dan seorang lagi jurucakap syarikat Sarawak Electricity Berhad, Senator Idris Buang, dengan bertanya kenapa kerajaan mereka begitu bersungguh-sungguh ingin membina 12 lagi empangan yang tidak diperlukan tanpa melaksanakan konsultasi yang terperinci dan menilai kesan projek terlebih dahulu?

Sarawak Report juga turut ditemubual mengenai gejala rasuah yang dilakukan di sebalik pembinaan empangan-empangan ini dan akhirnya memusnahkan hutan tropika yang terindah di negeri Sarawak. Namun Abdul Taib bin Mahmud sendiri enggan ditemubual. Adakah dia takut dan gentar untuk menghadapi soalan-soalan yang akan diajukan oleh para pemberita luar yang tidak dapat dikawalnya?

Bersekongkol dengan Australia?

Australia kini telah dikutuk keras kerana melibatkan diri mereka dalam beberapa kegiatan di Sarawak setelah wujudnya hubungan Hamed Sepawi dengan Negeri Tasmania. Perkara-perkara ini sering dibangkitkan dalam Sarawak Report. Dalam tahun 2008, syarikat Ta Ann milik Hamed Sepawi telah memeterai perjanjian dengan Tasmania untuk membalak kawasan hutannya, kebanyakan kawasan itu telah ditetapkan sebagai hutan simpan dan terlindung. Ini telah menyebabkan para pencinta alam sekitar di negeri itu marah kerana Hamed Sepawi telah mengakui hasil balak yang dijualnya itu sebagai “eco-wood” (mesra alam).

Kebanyakan hasil kayu yang kononnya mesra alam itu dijual ke Jepun, namun baru-baru ini sebuah skandal yang melanda London sempena Sukan Olimpik, telah mendapati Ta Ann telah berbohong ketika menjual hasil kayunya untuk membuat lantai gelanggang bola keranjang London Sports Dock. Kontrak dan juga kontraktor utama dari Jepun itu telah dibatalkan sama sekali.

Dalam pada itu, peranan lain Abdul Hamed Sepawi yang selaku Pengerusi Sarawak Energy Berhad adalah untuk mewujudkan hubungan dengan syarikat Hydro-Tasmania yang membantu Taib merancang pembinaan empangan-empangan hidro elektrik, yang akan menyebabkan puluhan ribu orang asal dipindahkan dari kediaman tradisi mereka dan juga memusnahkan kemurnian saki-baki sungai dan hutan di Sarawak.

David O’Shea telah mengungkai hubungan industri-industri di Tasmania dengan industri-industri di Sarawak yang dibelengu gejala rasuah jelmaan minda korup Abdul Taib Mahmud.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments