Amat Mengelirukan! Hydro-Tasmania Menafikan Peranan “Utamannya” Dalam SCORE! - EKSKLUSIF

Kemarahan pihak Hydro-Tasmania mengenai filem terbitan Dateline Australia ‘Last Frontier’ telah didedahkan sebagai amat mengelirukan.
Sebuah laporan dari Sarawak Energy Berhad (SEB) telah menjelaskan secara terperinci, bercanggah dengan penafian-penafian mereka, syarikat pembina empangan itu telah dipelawa memainkan peranan melaksanakan rancangan-rancangan SCORE Taib yang memusnahkan itu.
Ini merangkumi pembinaan 12 buah lagi empangan yang berkontroversi yang bakal menenggelamkan kawasan-kawasan hutan hujan Borneo yang amat luas dan akan menjejaskan kehidupan berpuluh ribu orang asli dan juga budaya mereka.
Aduan utama Hydro-Tasmania adalah kerana rancangan yang diterbitkan itu dikatakan sebagai “berlebih-lebihan” mengenai peranannya dalam SCORE, sedangkan ia telah mengatakan bahawa ia hanya bertindak selaku penasihat yang dipelawa oleh SEB.
Bantahan dari Hydro-Tasmania telah menyebabkan penerbit SBS menggelabah dan akhirnya beliau terpaksa mengemukakan permohonan maaf, dengan mengakui bahawa kandungan program itu adalah “tidak tepat dan berat sebelah”.

Namun kini, kami boleh menjelaskan secara lebih terperinci bagai mana sebenarnya Hydro-Tasmania telah berbohong dengan menafikan peranan utamanya di Sarawak, sebagaimana dinyatakan dalam Laporan Tahunan SEB bagi tahun 2010. SEB telah mempelawa Hydro-Tasmania untuk bekerjasama membina empangan-empangan di Sarawak kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut bagi menjayakan SCORE.
Pada bahagian yang bertajuk “Partnership With Hydro-Tasmania (Bekerjasama Dengan Hydro-Tasmania)”, laporan itu menjelaskan bahawa untuk mencapai matlamat dalam agenda SCORE, SEB harus mengisi kekosongan “12 jawatan pengurusan yang kritikal” dan dengan itu SEB telah memilih pembina empangan dari Australia, kerana ketiadaan kepakaran tempatan.
Tambahan lagi, laporan itu mengatakan terdapat suatu persetujuan bagi Hydro-Tasmania untuk memperuntukan tidak kurang dari 120 jawatan pengurus yang harus dipenuhi menjelang 2011. Tujuh jawatan telah diisi semasa laporan itu dibuat dan terdapat “antara 20-30 jawatan staf sokongan lagi akan diisi”.
Jelaslah bahawa Hydro-Tasmania telah berperanan penting dan utama dalam kerjasama dalam projek SCORE dan juga projek pembinaan 12 buah empangan SEB. Pada hakikatnya kakitangan-kakitangannya telahpun mengambil-alih pengurusan SEB dalam keseluruhan program pembinaan empangan di Sarawak!

Sarawak Report telah mengenalpasti beberapa orang staf utama dari Tasmania yang dipinjamkan kepada SEB sejak 2010, dan ada di antara mereka adalah staf senior. Timbalan Presiden dan Ketua Strategi dan Perancangan SEB adalah Miles Smith, yang pada asalnya berjawatan yang sama dalam Hydro-Tasmania.

Dan staf-staf ini bukan hanya dipinjam dari syarikat milik negeri, malah ada di kalangan mereka adalah dari Jabatan Tenaga dalam Kerajaan Negeri Tasmania!

Seorang lagi Timbalan-Presiden SEB, Nick Wright, merupakan bekas Penasihat Kanan kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli Tasmania, Timbalan Perdana Menteri Bryan Green.
Bryan Green pernah didedahkan kerana mempunyai hubungan rapat dan memberikan sokongannya pada syarikat Ta Ann dari Sarawak, yang telah menebang dan menerangkan saki-baki hutan Tasmania secara kontroversi, dan kemudian mendakwa bahawa hasil balak mereka adalah “mesra-alam”.
Sebuah dari kilang-kilang Ta Ann telah dibina di kawasan pilihanrayanya di Tasmania.
Dengan pendedahan-pendedahan ini bakal mencungkil persoalan-persoalan seterusnya mengenai jalinan hubungan antara Hydro-Tasmania, ahli-ahli politik Tasmania dan usahasama-usahasama yang dikendalikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud?
Kedua-dua SEB dan Ta Ann dipengerusikan oleh Hamed Sepawi, sepupu dan juga proksi kepada Taib Mahmud, yang menggunakan cengkaman kuku besinya ke atas negeri Malaysia Barat yang korup ini.

Nick Wright ditugaskan untuk menguruskan portfolio Tanggungjawab Sosial Korporat dalam SEB, yang mana tanggungjawabnya adalah untuk ‘Rundingan Penempatan Semula dan Komuniti’ bagi menyokong ‘program pembangunan tenaga raksasa’ sebagai mana didakwanya itu.

Maka kami ingin bertanya kenapakah pihak SEB tidak melaporkan di bawah prinsip ketelusan semua dokumen bekaitan rundingan dan penempatan semula bagi mana-mana projek empangan mereka?
Ini termasuk Empangan Murum, di mana lebih satu ribu orang dari masyarakat kaum Penan telah diusir dari kawasan pemburuan tradisional mereka yang akan ditenggelami air empangan mulai penghujung tahun ini?
Lagipun, Hydro-Tasmania pernah mendakwa bahawa mereka mengamalkan tanggungjawab korporat pada ukuran yang paling tinggi, dan kini bekas Penasihat Kanan Tenaga dari Tasmania yang memegang jawatan itu!
Staf-staf utama yang lainnya termasuk James Hannon, yang baru dilantik ke dalam SEB, selaku Pengurus Kanan mengendalikan Kontrak-Kontrak dan Graeme Maher, seorang Pengurus Kanan dalam Hydropower Development. Maher bertanggungjawab ke atas kajian-kajian kebolehlaksanaan bagi empangan-empangan lain yang akan dibina di Lawas, Limbang, Baram1, Baram3, Pelagus dan Baleh. Nama bagi setiap kawasan mewakili kaum-kaum asli utama yang kesemuanya akan terjejas oleh rancangan pembanjiran itu.
Seorang lagi pegawai luar yang dipinjam adalah Andrew Pattle dari Hydro-Tasmania, yang telah mengambil-alih pengurusan projek Empangan Murum yang juga merupakan Pengurus Kanan Projek bagi empangan-empangan Baram dan baleh.

Laporan SEB telah mengakui bahawa pegawai-pegawai Hydro-Tasmania yang dipinjam itu amat penting bagi keseluruhan projek itu.
Jadi mengapakah orang penting dalam Hydro-Tasmania mendakwa bahawa Rancangan Dateline telah melaporkan secara ‘berlebih-lebih atau sewenang-wenangnya’ peranannya?

Pada keesokan harinya, Roy Adair, Ketua Pegawai Eksekutif dari Hydro-Tasmania, telah bergegas mengunjungi stesen radio ABC, untuk mengumumkan bahawa peranan mereka di Sarawak hanyalah sebagai penasihat projek sahaja.
Dengan adanya bukti daripada rakan-rakan dan juga para pekerjanya yang menunjukkan perkara yang sebaliknya, Roy Adair seharusnya pergi ke studio itu sekali lagi mungkin untuk memohon maaf daripada pembuat filem Last Frontier dan juga pada orang-orang Sarawak, yang telah diperlakukan jauh lebih rendah dari ukuran tertinggi di segi tanggungjawab korporat dan sosial mereka!
Roy Adair seharusnya menjawab beberapa persoalan asas apabila dia dijemput untuk datang semula ke studio radio ABC untuk menjelaskan maklumat baru itu:
– Adakah anda ingin dianggap sebagai bertanggungjawab dalam projek pembinaan itu, atau bolehkah para pengurus dipertanggungjawabkan juga?
– Boleh anda menjawab semula soalan yang belum anda jawab sepenuhnya apabila Leon Compton dari radio ABC bertanya mengenai apakah bentuk pengauditan yang pihak anda telah lakukan bagi membolehkan anda merumuskan bahawa kerajaan autokratik dan kleptokratic pimpinan Taib Mahmud adalah rakan-rakan kongsi “berintegrasi tinggi’ yang boleh berniaga dengan anda?
– Apakah “penilaian pra-bida” yang anda maksudkan yang telah anda jalankan sebelum pihak anda terlibat sepenuhnya dalam projek empangan raksasa ini? Apa yang anda maksudkan adalah mengikhtiraf bahawa SEB telah menganggotai International Hydro-power Association (IHA). Namun, Leon Compton juga mampu berbuat demikian dengan hanya membayar yuran keahlian sebanyak $1,000, dan sebagai hakikatnya, rekod-rekod menunjukkan bahawa SEB BELUM lagi menganggotai IHA pada masa anak syarikat Hydro-Tasmania memulakan urusniaga dengan mereka dalam tahun 2008.
– Kenapakah anda sentiasa mengatakan bahawa SCORE sebagai suatu projek berkonsepkan ‘keberterusan’ dan ‘mesra karbon’ sedangkan pembanjiran kawasan empangan akan menjejaskan kawasan hutan hujan ‘berbio-divesiti’ paling tinggi di dunia, yang didiami oleh spesis primat Orang Utan dan orang-orang Penan? Empangan-empangan itu hanya dapat bertahan selama beberapa dekad sahaja, dan kependudukan kecil Sarawak tidak memerlukan tenaga elektrik yang sangat banyak.
– Mengapakah anda masih enggan mengeluarkan dokumen-dokumen yang anda dakwa sebagai wujud berikutan permintaan berdasarkan Kebebasan Mengases Maklumat dari para MP Tasmania? Adakah kepentingan perniagaan anda mengatasi kepentingan umum atau kepentingan kehidupan orang-orang di Sarawak?
– Atau adakah dokumen-dokumen ini hanya digunakan untuk mengesahkan segala bukti yang telah dikemukakan oleh SEB bahawa Hydro-Tasmania sedang mengaut untung berjuta-juta dollar sebagai balasan merealisasikan impian gila Taib Mahmud?
Pergilah Roy. Masuklah ke studio itu semula untuk menyahut cabaran ini!

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments