“Bantahan” Media UK Ke Atas Kunjungan Di-raja William dan Kate Ke Sabah

Akhbar utama Britain, Daily Mail telah mengatakan bahawa lawatan di-raja yang dirancang untuk pasangan di-raja William dan Kate ke Sabah bakal mencemarkan nama baik institusi beraja UK itu. Alasannya? Kerana tuan rumah yang menyambut kunjungan mereka pada hari Jumaat ini adalah Ketua Menteri Sabah, Musa Aman yang “sedang disiasat kerana dituduh menggubah hasil pembalakan haram”, sebagai mana didakwa oleh akhbar berkenaan.
Perkara itu telah dilaporkan oleh portal berita sesawang Malaysiakini sebagai mengatakan kerisauan para pemerhati terhadap keputusan untuk menggalakkan pasangan di-raja Britain itu untuk mengikhtiraf seorang tokoh politik Sabah yang bertanggunjawab ke atas pemusnahan hutan Sabah selama 20 tahun kebelakangan ini. Kumpulan NGO Malaysia, Suaram, telah mengutuskan surat kepada pentadbiran istana Britain dan juga Kementerian Luar Negara Britain menyatakan kerisauan mereka terhadap lawatan pasangan di-raja yang melibatkan Musa Aman. Kumpulan-kumpulan NGO yang lain juga turut menyatakan kerisauan mereka kerana kerajaan negeri Sabah didapati giat berusaha ‘membersihkan’ masalah pemberian lesen-lesen pembalakan yang telah mengakibatkan kemusnahan kawasan hutan Sabah yang amat luas.

Namun, bagi Musa, kunjungan pasangan di-raja Britain itu merupakan suatu ‘rahmat’. Selama beberapa minggu yang lalu dia didapati telah berusaha menghambarkan kritikan-krtikan terhadapnya menjelang pilihanraya yang akan diadakan pada bila-bila masa ini. Musa juga didapati enggan mengundur diri walau pun dia sedang disiasat oleh pihak-phak pencegah rasuah, antara lainnya di Malaysia, Hong Kong dan Switzerland.
Banyak bukti telah diterbitkan menunjukkan bagaimana ribuan-juta dollar wang sogokan pembalakan telah diproses menerusi akaun-akaun bank yang dikendalikan oleh wakil-wakilnya.
Namun Kementerian Luar Negara Britain telah tidak mengendahkan kritikan terhadap lawatan pasangan di-raja itu, yang mereka lihat sebagai menambahbaik hubungan dan peluang perdagangan, termasuk perniagaan persenjataan dengan kerajaan Malaysia.
Pada minggu lalu, para pejuang anti-rasuah Malaysia telah mengadakan bantahan mereka di luar istana St. James di London sebagai memohon kebawah William dan Kate supaya tidak diperbodohkan oleh jemputan Musa dalam usahanya membersihkan imejnya yang tercemar, dan tidak membantunya menjernihkan imejnya menjelang pilihanraya umum yang akan diadakan nanti.
Tekanan kian memuncak berhubung pendedahan yang terkini mengenai persoalan rasmi dari Kerajaan Pusat Switzerland yang diutarakan oleh MP Carlos Sommaruga mengenai siasatan pihak Hong Kong ke atas aset-aset milik Musa.

Kunjungan di-raja itu adalah suatu maklumbalas lawatan Ketua Jabatan Hutan Sabah, Sam Mannan, ke Istana St. James yang mempromosikan Sabah sebagai negeri mesra-ekologi. Menurut Sam Mannan, negeri Sabah sedang giat melaksanakan rancangan penghutanan semula hutan-hutannya dari terjejas oleh pembalakan.
Menjelang kunjungan di-raja itu, Sam Mannan telah mengumumkan bahawa sebahagian besar hutan di Sabah telah diisytiharkan sebagai kawasan hutan ‘dilindungi’.
Namun kawasan hutan yang dia maksudkan itu sebenarnya telah ditebang, walaupun kawasan itu telah diikhtirafkan sebagai “Heart Of Borneo” oleh pertubuhan WWF sebelum perjanjiannya ditandatangani.
Sumber dalaman dari kalangan industri pembalakan Sabah sendiri telah menyatakan bahawa hutan negeri itu telah dimusnahkan dalam masa 20 tahun kebelakangan oleh ketamakan dan amalan rasuah Musa, yang bertindak selaku penganugerah lesen-lesen pembalakan dan juga selaku peraih wang sogokan berkenaan kawasan hutan yang suatu ketika dahulu, adalah dilindungi.

Musa Aman dan Sam Mannan juga menghadapi tuduhan meminda peta-peta kontur pada peta negeri Sabah bagi menunjukkan bahawa kawasan-kawasan lereng bukit yang tidak cerun seperti dahulunya, agar mereka boleh menebangnya!

Maka, kini kerisauan dan tuduhan itu telah dihimpunkan bersama maklumat-maklumat lain yang memperincikan ratusan juta dollar telah dibayar oleh syarikat-syarikat pembalakan ke dalam akaun-akaun bank milik Musa Aman yang dikendalikannya menggunakan wakil-wakilnya, Michael Chia dan Richard Christopher Barnes sebagai pulangan pada lesen-lesen pemusnahan hutan itu.

Walaupun Musa Aman telah menafikan mempunyai hubungan dengan Michael Chia, namun penyata-penyata akaun dari akaun-akaun ini menunjukkan dengan jelas bahawa wang telah sering digunakan untuk membiayai pengajian anak-anak Musa Aman ketika mereka menuntut di Australia sehingga mereka bergraduat, yang diuruskan oleh seorang penjaga mereka yang bernama Imbang Bin Bujang.

Longgokan maklumat inilah yang telah diserahkan kepada pihak berkuasa Switzerland yang kini digunakan sebagai bukti untuk membantu penyiasatan jenayah yang dilakukan oleh Musa Aman dan juga UBS.

Maklumat dan juga bukti-bukti jenayah mereka telah dimuatkan dalam laman blog kami ini berikutan keengganan Peguam Negara Malaysia (Abdul Gani Patail, yang kebetulannya juga merupakan saudara terdekat pada Musa Aman) untuk mendakwa Musa walaupun pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah mengeluarkan laporan mereka yang mengatakan terdapat sebanyak 40 pertuduhan akan dikenakan ke atas Ketua Menteri Sabah itu.
Namun, mereka yang dikenalpasti sebagai terbabit ketika masih memegang jawatan harus sekurang-kurangnya menggantung jawatan mereka sehingga imej mereka dibersihkan!
Kini peluang untuk memaparkan kedua pasangan muda di-raja itu di negara mereka sendiri yang menunjukkan bahawa mereka sebagai wira hutan telah menjadi sutau persoalan. Namun, pertemuan mereka dengan Musa Aman yang dibelengu rasuah itu telah menimbulkan suatu penilaian umum yang meragukan.
Jenayah rasuah yang dilakukan oleh Musa Aman itu dilihat sebagai suatu ancaman untuk mencemarkan kedaulatan institusi Beraja Britain.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments