Hadiah Gergasi! - Michael Chia Memberikan Kereta Hummer Kepada Anak ‘Kawan’ Nazri Abdul Aziz LAPORAN EKSKLUSIF!

Kenderaan ini adalah jenis SUV Hummer 2 buatan Amerika, antara kenderaan yang paling berharga di pasaran dunia, berharga sekitar setengah juta ringgit di pasaran Malaysia.
Selama lebih setahun kereta ini, yang didaftarkan dengan nombor plat WNX9776 telah dipandu di sekitar Kuala Lumpur oleh Mohd Nedim Nazri, anak kepada seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Nazri Abdul Aziz.

Kereta ini digunakan khas oleh para pengawal peribadi kepada Mohd Nedim, yang sering kelihatan mengiringi remaja playboy itu memandu pelbagai jenis kereta lumba mewah kegemarannya yang lain.
Namun kereta Hummer 2 ini bukan didaftarkan di bawah nama Mohd Nedim atau bapanya Mohd Nazri, tetapi di bawah nama pembeli asalnya, Michael Chia Tien Foh, seorang penduduk Sabah yang bertindak selaku kroni utama, yang telah cuba ‘dibersihkan’ namanya bersabit kes penahanannya kerana dituduh cuba menyeludup RM40 juta keluar dari Hong Kong ke Sabah dalam tahun 2008 dahulu!
Sarawak Report kini menyimpan banyak gambar foto kenderaan Hummer 2 yang bernombor plat WNX9776 itu yang diletakkan di luar kediaman jenis penthouse milik Mohd Nedim di bangunan Clearwater di Damansara Heights, Kuala Lumpur. Pemuda itu, yang pernah terbabit dalam beberapa kes kekasaran sejak beberapa bulan yang lalu kini dilihat bergerak bersama seorang pengawal peribadinya.
Namun slip kesalahan lalulintas yang dipaparkan di sini, yang telah dikenalpasti oleh Sarawak Report, adalah sebagai bukti bahawa kenderaan Hummer 2 itu di bawah nama Chia, yang telah dengan baik hatinya memberikan kenderaan itu kepada si Nedim yang kemudiannya memandu kenderaan itu melebihi had laju yang akhirnya menyebabkannya diberikan tiket saman itu!
Hummer 2 itu kini dikenalpasti SPRM sebagai salah sebuah dari banyak aset milik Chia yang disiasat dalam kes pengubahan wang di Sabah. Dan kini Hummer 2 berkenaan digunakan oleh anak Mohd Nazri Aziz, walaupun Nazri sendiri adalah seorang menteri yang bertanggungjawab pada SPRM.

Sejak Mohd Nazri Abdul Aziz merupakan seorang menteri yang bertanggungjawab penuh pada SPRM yang kononnya sebuah badan ‘bebas dan berkecuali’, maka itulah sebabnya Chia menggunakan peluang itu untuk berbaik-baik dengannya dan juga ahli keluarganya, setelah dia ditahan di Hong Kong dalam tahun 2008.
Namun kami telah bertanya, apakah alasan munasabah yang boleh diberikan, mengapakah Menteri itu (ataupun anaknya, si Nedim itu) harus menerima sebuah hadiah dari seseorang yang telah dikenalpasti sebagai tertuduh, yang sedang disiasat oleh jabatan di bawah kawalannya atau menggalakan sebarang bentuk hubungan dengan seseorang yang sedang dikaitkan dengan jenayah rasuah berprofil tinggi itu?

Pendedahan luarbiasa kami ini adalah berikutan pengakuan yang dibuat oleh Nazri beberapa hari yang lalu bahawa dia adalah sebenarnya seorang ‘kawan’ kepada Chia, semenjak anaknya, si Nedim, dikatakan telah diberikan banyak kereta oleh seseorang yang sedang disuspek sebagai pengubah wang.
Perkembangan ini mungkin membawa impak ke atas keadaan politik yang berpihak kepada UMNO-BN, berikutan kenyataan Nazri sendiri yang mengumumkan bahawa siasatan ke atas Chia itu telah digugurkan, yang telah dikaitkan dengan penglibatannya mengubah wang sogokan pembalakan, yang seterusnya melibatkan Ketua Menteri Sabah, Musa Aman.

Para pemerhati akan mempersoalkan kenapakah Nazri tidak mengisytiharkan bahawa dia sendiri ada kepentingan dengan keadaan itu semasa dia membuat pengumuman berkontroversi itu pada 10hb Oktober dahulu yang mengisytiharkan bahawa setelah empat tahun bahawa Chia tidak bersalah, kerana wang RM40 juta yang cuba diseludup itu adalah untuk UMNO Sabah dan bukannya untuk Musa Aman!
Menteri itu telah cuba menafikan keadaan itu dengan mengatakan bahawa Chia adalah seorang kawan, tetapi dia juga berkata bahawa dia tidak mengetahui bahawa Chia memberikan kereta itu kepada anaknya. Apakah jawapan Nazri mengenai koleksi kereta mewah berjuta-juta dollar milik anaknya. Adakah Nazri menyedari bahawa anaknya sering bertindak kasar terhadap sesiapa yang tidak menyenangkan hatinya dengan cara memukul mereka sesuka hati?

Ahli-ahli politik BN/UMNO didapati sering memberikan jawapan yang berubah-ubah dalam masa beberapa hari.
Orang awam telah diberikan respon yang meragukan dan tidak konsisten setiap kali timbulnya bukti-bukti baru berkaitan kes Sabah.
Pada asalnya, setelah Chia ditahan and disoalsiasat oleh pihak ICAC Hong Kong dan SPRM dalam tahun 2008, BN telah membuat pelbagai penafian.
Peguam Negara Abdul Ghani Patail (saudara sedarah kepada Ketua Menteri Musa Aman) telah enggan membenarkan kerjasama antara negara kepada pihak ICAC, yang kemudiannya setelah berlalunya tiga tahun, siasatan itu ditangguh pada 2011. Ghani juga telah enggan mendakwa 40 pertuduhan yang dikemukakan kepada SPRM.
Dalam masa yang sama Chia telah menafikan bahawa dia telah ditahan, atau melibatkan RM40 juta atau mempunyai sebarang hubungan perniagaan dengan Musa. Begitu juga Musa telah menafikan sebarang perkaitan dengan Chia.

Namun menerusi beberapa siri laporan kami yang disokong oleh banyak bukti untuk pihak SPRM, terdapat jaringan akaun-akaun yang dikendalikan oleh Chia untuk menyalurkan ratusan juta ringgit ke dalam akaun peribadi Musa Aman di bank UBS di Switzerland.
Kami juga telah beberapa kali melaporkan bahawa akaun-akaun itu dikendalikan oleh Chia untuk membuat bayaran-bayaran yang berkala kepada anak-anak Musa Aman sewaktu mereka menuntut di Australia. Bayaran ini telah dilaksanakan dengan bantuan bank UBS pada sebuah kes yang berasingan yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Singapura.
Pendedahan-pendedahan ini telah diikuti oleh pengumuman pejabat Peguam Negara Switzerland bahawa mereka telah melancarkan siasatan ke atas jenayah pengubahan wang yang dilakukan oleh bank UBS yang memain peranan dalam kes yang sama.

Nampaknya perkembangan-perkembangan ini telah memberikan tekanan kepada BN di mana cerita-cerita itu mulai berubah-ubah. Dalam bulan Jun, Perdana Menteri Najib Razak telah mengumumkan bahawa pihak SPRM telah menyerahkan laporan kepada Peguam Negara dan bahawa Musa Aman disabitkan. Selama beberapa minggu Musa telah membisu seribu bahasa.
Namun, tiba-tiba pada pertengahan bulan lalu, Mohd Nazri Aziz telah mengetuai serangan balas berserta beberapa siri pengumuman yang luar biasa. Pada suatu ‘perkisahan’ BN telah mengakui Chia telah ditahan kerana memindahkan wang RM40 juta kepada Musa Aman, tetapi pada ‘perkisahan’ yang lain pula BN mengatakan bahawa Chia dan rakan-rakannya telah ‘dibersihkan’ dari sebarang pertuduhan.
Dalam persidangan parlimen pada 10hb Oktober Nazri telah mengumumkan bahawa Chia telah ditahan kerana telah cuba menyeludup wang RM40 juta kepada Ketua Menteri Sabah, tetapi kemudiannya kedua-dua belah pihak itu dikatakan telah mengendalikan pemindahan wang bukannya untuk kegunaan peribadi, tetapi untuk kegunaan UMNO pula!
Para pemerhati telah tertanya-tanya bahawa sumbangan politik yang datangnya dari wang sogokan kegiatan pembalakan dikatakan sebagai kurang bersifat rasuah berbanding sogokan untuk kegunaan peribadi. Para pemerhati dibiarkan menunggu hasil tuduhan dan penafian Musa Aman dan Michael Chia selama empat tahun. Jika ‘sumbangan politik’ bukan suatu kesalahan, kenapa ianya dinafikan sekian lama?

Namun Nazri dan rakan-rakannya tidak berhenti begitu sahaja. Seterusnya mereka mereka-reka cerita yang mendakwa pihak ICAC Hong Kong telah memutuskan untuk menggugurkan kes Musa Aman dan Chia, yang sebenarnya ditangguhkan kerana belum mendapat kerjasama daripada Peguam Negara Malaysia
Memandangkan pihak ICAC tidak membuat sebarang kenyataan, Nazri dan rakan-rakannya tidak dapat mengesahkan bahawa Chia telah bebas dari sebarang tuduhan di Hong Kong.
Akhirnya, dengan mengakui bahawa RM40 juta itu telah cuba diseludupkan ke Sabah, bahawa Chia telah ‘ditahan’ dan bahawa wang itu telah dibekukan dan disiasat, putar-belit Nazri kemudiannya mengatakan bahawa Chia tidak pernah ditahan sama sekali!
Maka, mengapakah siasatan itu mengambil masa 4 tahun?

Nampaknya kenderaan mewah Hummer 2 itu boleh membeli sokongan di suatu kedudukan yang tinggi. Kenderaan itu dianggap sebagai sebuah ‘mesin macho’ semenjak idola-idola Hollywood seperti Arnold Schwarzeneggar mulai memandu bekas kenderaan tentera itu dalam filem-filem lakonannya dalam tahun-tahun 1900-an dahulu.
Nampaknya si budak Nedim Nazri itu telah cuba dilembutkan hatinya dan sedar bahawa nilai kedudukan yang simbolik itu adalah tinggi.
Namun, dengan menerima hadiah itu telah mengakibatkan bapanya terdedah kepada banyak persoalan mengenai apa lagi insentif yang lain digunakan untuk mempertahankan Chia? Lagipun terdapat banyak laporan mengenai beratus-juta ringgit telah bertukar-tangan dan Nazri kini harus bekerja keras untuk melindungi Chia!
Mohd Nazri Abdul Aziz kini harus membuat beberapa penjelasan dan kita kini akan pasti disajikan beberapa cerita baru dan penafian-penafian.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments