Kami Rindukan Radio Free Sarawak!


Suara rakyat – Radio Free Sarawak memfokuskan pada pandangan orang-orang rumah panjang dan perkampungan di Sarawak, yang kebanyakannya mereka yang ditempatkan semula akibat rampasan tanah, pembalakan dan pembinaan empangan-empangan gergasi

Gelombang pendek Radio Free Sarawak telah menghadapi beberapa gangguan bermisteri selama beberapa minggu yang lalu, menyebabkan para pendengar menghantar beberapa email dan panggilan telefon kepada pihak pengendalinya. Pasukan penerbit rancangan radio berkenaan berkata kerisauan yang meningkat di kalangan para pendengarnya membuktikan peningkatan popularitinya, terutamanya di kalangan para pendengar dari kaum Iban dan Melayu di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak.

Para pendengar dari Betong, Bintulu, Baram, Miri dan daerah-daerah lain di Sarawak, melaporkan pelbagai jenis gangguan yang dihadapi, tetapi kebanyakannya mengadu mengenai pengurangan masa siaran pada kira-kira 6:30 petang (setengah jam memasuki siaran dua jam tersebut).

Pada hari-hari tertentu daerah-daerah berkenaan telah mengadu bahawa mereka langsung tidak mendapat siaran.

“Muatturun harian dari siaran menerusi podcast kami telah meningkat tiga kali ganda sejak beberapa bulan yang lalu, sama ada ke dalam komputer riba dan juga telefon bimbit, menunjukkan bahawa orang ramai kian kenal dan mendengar rancangan kami dalam kereta-kereta mereka, namun kami amat yakin bahawa golongan pendengar sebenar Radio Free Sarawak adalah dari kalangan penduduk rumah panjang dan perkampungan”, kata ketua pengurus stesen laman berkenaan.

Siaran itu telah mengalami gangguan-gangguan sejak pertengahan bulan Novermber, menambahkan kerisauan bahawa gangguan berlaku di tempat-tempat lain. Kerisauan utama adalah bahawa stesen itu telah dihentikan perkhidmatannya berikut beberapa kritikan dari ahli-ahli politik dan juga dari beberapa orang menteri kanan BN di negeri Sarawak itu.

Walaupun di luar kawasan liputan telefon bimbit, namun kaum Penan yang mendirikan sekatan jalan di Murum sempat mengikuti siaran-siaran harian RFS

Sejak beberapa minggu yang lalu terdapat gangguan siaran yang disebabkan oleh cuaca buruk di beberapa kawasan. Namun ada pihak melaporkan mengenai gangguan pada gelombang SW 15420kHz yang disebabkan kehadiran beberapa stesen berbahasa India dan Cina yang tidak seharusnya menggunakan gelombang yang sama dengan gelombang yang telah diperuntukkan kepada Radio Free Sarawak.

Kebimbangan para pendengar dan pengendali RFS pada gangguan yang mungkin dilakukan oleh kerajaan bukanlah sesuatu yang tidak berasas. Para YB BN khususnya telah giat mengadu mengenai kehadiran siaran RFS dan dalam beberapa kes ada di kalangan mereka telah meminta pihak perundangan untuk menggagalkan siaran-siaran RFS itu.

Jelaslah, para YB BN ini merasa risau kerana mereka menghadapi kesukaran untuk membidas pelbagai kritikan terhadap rekod kerajaan negeri sejak 50 tahun berkenaan perihal kebajikan orang-orang di pedalaman. Stesen RFS menyiarkan laporan-laporan harian dari komuniti tempatan yang menceritakan mengenai masalah-masalah mereka dan bagaimana janji-janji para pemimpin BN seringkali tidak ditunaikan.

Pembaca berita – Pengacara radio veteran Christina Suntai telah menyertai pasukan RFS

Perkara yang amat serius adalah perkembangan kerisauan mengenai rampasan-rampasan tanah dan rancangan penempatan semula puluhan ribu orang kaum pribumi akibat SCORE. Ini adalah merupakan isu-isu yang tidak dilaporkan oleh media-media arus perdana, yang diberikan lesen penerbitan dan dikawal ketat oleh kerajaan.

Namun, dalam masa pihak-pihak kerajaan tidak menggemari suara dari rakyat mereka sendiri dan kebebasan berbincang, para pendengar merasakan ianya perlu diadakan.

“Kami amat risau mereka telah menamatkan siaran kegemaran kami” jelas seorang pendengar pada minggu lepas. “Merindui Radio Free Sarawak adalah bagaikan merindui kaum keluarga sendiri”

Para pendengar yang lain mengatakan bahawa siaran itu telah menjadikan mereka lebih memahami buat pertama kalinya bahawa komuniti mereka bukanlah satu-satunya kelompok masyarakat yang menghadapi masalah, yang sebenarnya dihadapi kebanyakan perkampungan di seluruh negeri Sarawak.

“Radio Free Sarawak telah membantu kami memahami apa yang sedang berlaku di sekeliling kami. Kami telah ditipu”, kata seorang lagi pendengar. “Kami harus terus mengikuti pandangan-pandangan alternatif ini mengenai apa yang dikatakan oleh kerajaan pada kami”. 

Mulai hari Ahad yang lepas, siaran radio itu sekali lagi dapat diikuti di seluruh Sarawak pada slot pukul 6 – 8 malam. Seorang pendengar, Kassim ak. Aji dari Bukit Begunan (di kawasan parlimen Sri Aman, Sarawak) telah membuat panggilan kepada kami bahawa siaran RFS telah pulih seperti biasa:

“Dia kedengaran amat gembira. Menurutnya, seluruh rumah panjangnya berasa sugul dengan ketiadaan siaran selama beberapa hari atau mungkin disebabkan gangguan-gangguan siaran yang disengajakan oleh pihak-pihak tertentu” kata seorang dari staf RFS yang menjawab panggilan itu. “Seorang lagi pemanggil dari Batang Lupar yang mewakili penduduk 41 keluarga dari Kpg Putat, Batang Lupar, mengatakan bahawa mereka amat merindui siaran radio itu dan keadaan mereka telah berubah menjadi sunyi sepi selama beberapa hari menjelang waktu petang”.

Namun kini siaran dari stesen RFS kembali beroperasi seperti biasa walaupun menghadapi tentangan dari pihak kerajaan yang tidak mahu bertolak-ansur walaupun mengagihkan masa 2 jam setiap petang dalam kebebasan bermaklumat.

Penduduk-penduduk rumah panjang berkumpul untuk mengikuti siaran setiap petang dari 6-8 petang.

Para pengeluar dan penerbit telah mendapat maklumat bahawa pihak-pihak berkuasa di peringkat kerajaan persekutuan telah dirujuk dalam usaha menggagalkan liputan siaran RFS di seluruh negara menjelang pilihanraya umum yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang. Para ahli politik dipercayaai menggunakan apa jua ‘langkah berelektronik’ yang ada di sekeliling mereka untuk menggagalkan RFS.

Malaysia harus peka, jika ia ingin mengganggu frekuensi-frekuensi RFS, tindakan itu akan melanggar undang-undang penyiaran antarabangsa.

Stesen itu telah diperuntukkan sebuah frekuensi dan sebarang usaha mengganggu frekuensi itu adalah menyalahi undang-undang Pertubuhan Telekomunikasi Antarabangsa yang mengawal semua frekuensi radio seluruh dunia.

Mungkin adalah bijak bagi kerajaan BN untuk belajar dan menerima apa yang digunakan oleh pengamal-pengamal demokrasi di negara-negara lain, di mana kritikan yang sihat dan membina sudah tentunya akan melahirkan kerajaan yang juga sihat.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments