6 Dec 2012

Menarik Diri! – Hydro Tasmania Akan MENINGGALKAN Sarawak EKSKLUSIF!

This post is also available in: English, Iban

Roy Adair mengesahkan bahawa syarikatnya tetap menarik diri dari Sarawak

Sarawak Report semalam difahamkan bahawa para pejuang kempen kini boleh meraikan kemenangan selepas ketua eksekutif Hydro Tasmania, Roy Adair, mengumumkan bahawa syarikatnya akan menarik diri dan menghentikan semua penglibatan mereka dalam rancangan pembinaan empangan-empangan berskala besar di bawah kerajaan BN pimpinan Abdul Taib Mahmud.

Roy Adair, yang suatu ketika amat gembira dengan usahasama antara syarikatnya dan Sarawak Energy Berhad (SEB) berkenaan pembinaan 50 buah empangan untuk ‘perindustrian’ SCORE cetusan idea gila Taib Mahmud, telah menjelaskan bahawa tiada seorangpun dari kalangan kakitangan mereka akan tinggal dan terlibat dalam mana-mana projek sehingga menjelang akhir tahun 2013.

Ikrar Hydro Tasmania itu dibuat dalam suatu mesyuarat bersama para pejuang pertubuhan Save Rivers dari Sarawak yang diadakan di Launceston, Tasmania pada hari Isnin minggu ini.

Ketua Eksekutif itu telah mengesahkan, bahawa semua kecuali empat orang pengurus kanan mereka yang telah dipinjamkan kepada projek hydro-elektrik di Sarawak akan ditarik balik menjelang akhir tahun ini dan bahawa empat orang dari mereka itu harus menyelesaikan kesemua baki tugas dan tanggungjawab berkontrak mereka.

Delegasi Save Rivers Peter Kallang dan Ketua Kaum dari Baram James Nurang Usang bersama MP dari Parti Green, dan pengacara Radio Free Sarawak Peter John Jaban

Kenyataan itu merupakan penarikan diri secara besar-besaran dari peranan mereka seperti yang diumumkan oleh Roy Adair, semasa dia ditemubual oleh stesen TV Dateline dari Australia pada awal tahun ini. Sewaktu ditemubual itu, Roy Adair telah melahirkan rasa gembiranya terhadap penglibatan syarikatnya yang bekerjasama dalam rancangan pembinaan empangan-empangan Taib Mahmud untuk membanjirkan kehidupan puluhan ribu orang penduduk orang pribumi Sarawak.

Ketua Eksekutif itu turut memuji SEB, yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan dipengerusikan oleh sepupu Taib, Abdul Hamed Sepawi, kerana ‘piawaian amalan perniagaan yang terbaik’ dan juga ‘piawaian keselamatan dan keberterusan’!

Namun, pada hari ini Hydro Tasmania telah mendakwa bahawa mereka tidak lagi berminat untuk mendapatkan ‘peluang utama’ ini dan bahawa mereka telah tewas dalam perang propaganda menentang kaum pribumi yang menuntut agar mereka berhenti terlibat dalam rancangan empangan Taib Mahmud itu.

Tanyalah pada orang pribumi ini – Pertubuhan Save Rivers yang disokong oleh lebih 50 buah NGO yang lain kini berjaya dalam perang propaganda menentang Hydro Tasmania yang ‘menggunakan peluang yang baik’ di Sarawak

Pendedahan penglibatan Hydro Tasmania dalam projek gergasi SCORE Taib Mahmud bermula dengan penayangan rencana dalam rancangan TV Dateline, yang kemudiannya telah menimbulkan pelbagai tindakbalas dan kebimbangan umum terhadap projek-projek hidro-elektrik dan juga mempelawa pelbagai persoalan mengenai piawaian-piawaian sebagaimana didakwa oleh Roy Adair.

Ianya telah merujuk kepada layanan-layanan buruk kerajaan negeri ke atas kaum pribumi di kawasan Batang Ai dan Bakun dan masalah-masalah itu kini diterjemahkan di kawasan Murum dan Baram.

Dateline juga melaporkan mengenai gejala rasuah yang membimbangkan berlaku di Sarawak, yang diamalkan secara meluas oleh Abdul Taib Mahmud dan ahli-ahli keluarganya. Turut dilaporkan dalam rancangan itu juga adalah Pengerusi SEB yang juga selaku Pengerusi dan pemegang utama saham-saham dalam pelbagai syarikat pembalakan utama di Sarawak, termasuk Ta Ann, iaitu Abdul Hamed Sepawi, yang turut menjadi kontroversi dalam industri pembalakan di hutan Tasmania.

Bertanggungjawab dalam soal penempatan semula masyarakat-masyarakat yang terjejas – Nick Wright dikutuk keras di Murum

Rancangan itu telah dianggap mendapat respon dari Hydro Tasmania, yang kemudiannya mendakwa bahawa mereka ‘berperanan kecil sahaja’ dan tidak boleh disabitkan ke atas pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh SEB.

Namun, penyiasatan ke atas ‘peranan kecil’ yang didakwa itu jelas menunjukkan bahawa Hydro Tasmania dan Jabatan Tenaga di Tasmania telah meminjamkan beberapa orang pakar tenaga hidro untuk menjawat jawatan-jawatan penting dalam SEB dalam apa yang mereka anggap sebagai “jawatan-jawatan pengurusan yang kritikal”.

Hydro Tasmania telah mengesahkan bahawa bilangan pegawai mereka yang dipinjamkan untuk bekerja dalam SEB adalah seramai 12 orang.

Hydro Tasmania telah mengesahkan bahawa seramai 30 orang pegawai sedemikian (sebagai tambahan kepada sepasukan pegawai dari Norway yang dibawa masuk ke dalam SEB oleh CEO Tortein Sjotveit, yang dibayar gaji sehingga USD$4 juta setahun).

Malah, dalam laporan tahunan di laman sesawang mereka, SEB telah mendakwa bahawa usahasama mereka dengan Hydro Tasmania adalah suatu yang “perlu” sebagai kejayaan dan pembangunan SCORE.

Semalam, Roy Adair mendakwa SEB adalah “suatu kesilapan” dan peranan Hydro Tasmania tidak diperlukan! Jelaslah syarikat itu, yang sewaktu ketika dahulu yang berbangga menjadi sebahagian dari projek SCORE itu kini tidak suka dikatakan sebagai rakan niaga.

Rancangan-rancangan besar yang kucar-kacir – Sebuah lagi syarikat besar yang menyedari bahawa berurusan dalam SCORE Taib Mahmud itu adalah suatu kegagalan

Tidak hairanlah Abdul Taib Mahmud telah melakukan beberapa siri serangan pada minggu lalu mengenai apa yang dia katakan sebagai Sabotaj Ekonomi, dengan menuduh NGO-NGO luar negara yang sering mempersoalkan rancangan-rancangan gergasinya dan mengusir pelabur-pelabur asing seperti Hydro Tasmania.

Ketua Menteri itu telah melancarkan serangannya setelah mendapat berita bahawa salah seorang jurutera yang membantu dalam mengendalikan projek-projek Murum, Baleh dan Baram, Andrew Pattle dari Hydro Tasmania, yang secara tiba-tiba meninggalkan tugasnya dan seterusnya meninggalkan Sarawak!

Namun, Ketua Menteri Sarawak itu adalah orang yang harus dipersalahkan dalam perkara ini.

Para pejuang pada hari ini boleh meraikan kejayaan usaha mereka melemahkan dakwaan Roy Adair mengenai piawaian-piawaian yang tinggi dan berintegriti di Sarawak. Masalah rasuah dan pemusnahan alam sekitar Sarawak yang dilakukan oleh Abdul Taib Mahmud telah diliputi oleh NGO-NGO antarabangsa.

Kunjungan pertubuhan Save Rivers ke Australia dua minggu yang lalu, telah menarik perhatian dan simpati pelbagai pihak terutamanya media, ahli-ahli politik dan NGO-NGO, yang menguatkan lagi laporan mengenai peristiwa mendirikan hadangan jalan oleh orang-orang pribumi di Murum dan Baram, yang selama ini menjadi mangsa kerana tidak dilayan dengan baik sebagaimana dituntut.

Hadangan jalan di Murum yang didirikan selama 6 minggu dalam bulan-bulan September – Oktober

Salah seorang dari pegawai pinjam dari Hydro Tasmania, Nick Wright, yang menjawat jawatan Timbalan Presiden yang menguruskan Tanggungjawab Sosial bagi korporatnya dan juga Pelan Penempatan Semula selama dua tahun menjelang pembanjiran empangan Murum, kaum Penan yang terjejas telah dipaksa mendirikan hadangan jalan sebagai membantah kurangnya rundingan dan pampasan yang tidak seperti yang dicatatkan dalam Pelan Tindakan Penempatan Semula (RAP) yang telah dibocorkan dan bertentangan dengan protokol-protokol antarabangsa.

Seorang lagi pegawai mereka, Andrew Pattle, telah dikenalpasti oleh penduduk-penduduk pribumi sebagai telah menjelajah seluruh kawasan Baram cuba untuk memujuk mereka bersetuju dengan projek empangan dan seterusnya meninggalkan kampung halaman mereka.

“Orang-orang Tasmania adalah bersama-sama kamu” – Ketua Parti Green, Christine Milne, memuji delegasi Save Rivers di Hobart, yang menuntut agar Hydro Tasmania meninggalkan negeri Sarawak

Hari ini pertubuhan Save Rivers memasuki hari terakhir dalam perjuangan mereka di negeri Hobart dan dijemput menghadiri sesi debat dalam Parlimen Negeri mengenai penglibatan Hydro Tasmania di Sarawak.

Mereka telah bertemu ketua parti Green, Christine Milne, yang turut bersama mereka mendesak Hydro Tasmania untuk menyampaikan pesanan mereka kepada Taib Mahmud bahawa mereka meninggalkan Sarawak.

Berkempen di Tasmania – liputan media

Hasrat mereka adalah jelas. Mereka inginkan pengesahan bahawa syarikat itu tetap menarik diri sepenuhnya dan tidak akan kembali untuk bekerjasama dengan Taib Mahmud dalam rancangan pembinaan empangan yang dibelengu rasuah. Mereka juga menuntut butir-butir penarikan diri mereka itu sebelum akhir tahun ini dan juga termasuk setiap orang  di antara mereka yang masih berada di Sarawak yang membantu Taib dalam SCORE selama 12 bulan akan datang.

“Hakikatnya kami ingin melihat kesemua mereka meninggalkan negeri kami sekarang” kata salah seorang pejuang Save Rivers hari ini.

Pegawai-pegawai utama Hydro Tasmania dalam SEB adalah:

Miles Smith (Timbalan Presiden, Ketua Perancangan dan Strategi); Graeme Maher (Pengurus Kanan, Pembangunan Tenaga Hidro); James Hannon (Pengurus Kanan, Pengurusan Kontrak) and Nick Wright (Timbalan Presiden, Komunikasi Strategik dan CSR – bertanggungjawab pada penempatan semula).

Sign up to receive regular updates from Sarawak Report

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments