Selamatkan Rizab Minyak Negeri Sarawak - PERHATIAN SEGERA

Taib menyerahkan rizab minyak kepada Petronas dalam tahun 1974. Adakah rakyatnya juga akan kehilangan keuntungan dari kekayaan dalam daratan

Rakyat Sarawak berhadapan dengan kecurian dan rompakan yang paling dahsyat dan kami menggesa mereka mengambil balik masa depan mereka menggunakan tangan mereka untuk menyelamatkan bekalan minyak dan gas mereka.

Media tempatan jarang melaporkan mengenai penemuan rizab dan telaga minyak baru sama ada di daratan Sarawak atau di luar pantainya, yang akan mengeluarkan beribu-juta ringgit beberapa tahun akan datang.

Mengapakah berita penemuan ini seolah-olah diperkecilkan di mana ianya harus diterbitkan sebagai tajuk utama di muka depan akhbar-akhbar tempatan agar rakyat yang berhak ke atasnya tahu mengenainya?

Penemuan-penemuan ini boleh memberi harapan pada masa depan rakyat Sarawak sendiri.

Jika digunakan dengan baik dan berhati-hati dan dibelanjakan secara bijak, keuntungan dari sumber ini boleh menampungan keperluan sekolah-sekolah, jalan-jalanraya, hospital-hospital, taman-taman perumahan dan juga dapat membantu mencantikkan alam sekitar di seluruh negeri itu.

Maka, mengapakah ini tidak dibincangankan secara rancak dalam media-media yang dikawalselia oleh kerajaan BN, jauh sekali ianya menjadi bahan bualan untuk merancakkan lagi pembangunan kecil di kawasan bandar? Mengapakah ahli-ahli politik BN berdiam diri mengenai perkara ini?

“Menteri Muda Komunikasi Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata … perkembangan terkini ini akan dapat merancakkan lagi pembangunan ekonomi di hab utara di Miri” [Star]

Jawapan pada urusan rahsia ini bahawa ianya dilakukan untuk membahagi-bahagikan eksploitasi sumber asli ini di antara Taib dan para kroni perniagaannya di Sarawak dan syarikat Petronas milik BN di Malaysia.

Tugu ketamakan dan pembaziran milik Petronas setelah membolot hasil minyak luar pantai Sarawak termasuk negeri-negeri pengeluar minyak yang lain

Abdul Taib Mahmud dan Petronas menyimpan akaun mereka secara rahsia. Maka, jika ahli-ahli politik BN ini dibenarkan mengawal rizab minyak dan gas yang amat besar ini, tiada siapa akan tahu berapa banyak wang telah diperolehi atau bagaimana wang itu dibelanjakan.

Kami menggesa rakyat Sarawak untuk bangun dan menghalang perkara ini dari terus berlaku.

Taib telah menjadikan dirinya orang yang terkaya di Asia Tenggara dengan mengeksploitasi kayu balak Sarawak. Menjelang pilihanraya dia telah menebang saki-baki hutan di negeri itu.

Selain itu dia telah membahagikan kawasan-kawasan yang luas tanah-tanah negeri dan tanah-tanah NCR untuk dijadikan ladang-ladang kelapa sawit, yang seterusnya diserahkannya kepada ahli-ahli keluarganya, proksi-proksinya dan kroni-kroni politik dan perniagaannya untuk menjana beribu-juta ringgit untuk dirinya.

Dan belum puas dengan merogol sumber-sumber asli Sarawak, dia mengisi saku-sakunya dengan melencongkan kontrak-kontrak terbaik negerinya dan monopoli-monopoli perniagaan kepada ahli-ahli keluarganya dan juga klien-klien politiknya.

Penemuan terbaru ini adalah peluang terakhir bagi Sarawak untuk menjana kekayaan yang boleh digunakan untuk memperbaiki kehidupan orang-orang di negeri itu tanpa menjadikan ahli-ahli politik BN jutawan segera.

Jika Taib atau sesiapa sahaja yang boleh menyingkirkannya atau mengganti kedudukan dan berkuasa ke atas sumber kekayaan Sarawak ini, maka peluang untuk kecerahan masa depan Sarawak akan hilang begitu sahaja, selama-lamanya.

Parasit-parasit penghisap wang dari kalangan BN ini akan menggunakan kekayaan itu untuk mencengkam negeri sehingga mereka membolot kesemua minyak, balak, tanah dan hidupan air dan meninggalkan kawasan itu termusnah.

Rekod Taib selama 30 tahun berkuasa boleh menjelaskan secara tersendiri. Tiada seorangpun di Sarawak akan meragui scenario yang telah kita gambarkan jika Taib atau orang-orang kanannya dibiarkan berkuasa.

Rekod-rekod masa lampau Taib berurusan dengan Kerajaan Pusat BN/UMNO jelas mengambarkan pelan-pelan yang sedang mereka rangkakan. Menerusi akhbar-akhbar mereka tidak akan banyak dihebohkan, namun harus kita ingat, minda-minda orang-orang penting dalam BN ini berfokus kepada segala peluang dan kekayaan yang mereka wakili.

Taib telah mendapat sokongan dari Kerajaan Persekutuan semenjak 1974 lagi, sewaktu dia sebagai Menteri Perindustrian Utama, dia telah berunding dengan bapa saudaranya, yang menjadi Ketua Menteri Sarawak pada waktu itu untuk menyerahkan kesemua sumber minyak luar pantai Sarawak dalam akta yang dikenali sebagai Akta Petroleum

Pada masa itu dipercayai rizab minyak di daratan dikatakan sudah kehabisan.

Kemana semua wang itu tidak disalurkan – kemiskinan orang-orang di pedalaman Sarawak

Bapa saudaranya, Abdul Rahman Ya’kub amat terkejut apabila Taib menawarkan 100% hasil minyak Sarawak kepada Kuala Lumpur kerana membiarkan Kerajaan Negeri (iaitu keluarga Mahmud) menguasai kesemua sumber hutan dan tanah-tanah negeri.

Maka, Taib telah menawarkan suatu konsesi dengan bersetuju bahawa Sarawak dan Sabah hanya diberikan 5% hasil minyak mereka sendiri, namun selebihnya digunakan oleh Petronas.

Penyerahan oleh Taib Mahmud ini telah menjadikan Tanah Semenanjung menjadi teramat kaya sejak berdekad-dekad yang lalu.

Penyerahan hak ke atas sumber minyak Sarawak juga membolehkan Taib mendapat sokongan UMNO, yang kemudiannya telah mempastikan dia kembali ke negeri Sarawak sebagai Ketua Menteri Sarawak dan mereka telah membenarkannya melakukan apa sahaja yang dia suka di negerinya sendiri.

Ketika Taib menjadi Menteri Persekutuan dia menyerahkan 95% hasil minyak Sarawak kepada Petronas. Namun akaun-akaun urusan itu dirahsiakan, maka siapa yang tahu berapa banyak yang diperolehi dan berapa banyak yang dibelanjakan atau dibelanjakan untuk apa?

 

Dan sama seperti Taib, UMNO telah tidak diketahui berapa banyak kekayaan yang diperolehinya menerusi minyak dan gas.

Yang menghairankan, Malaysia melaksanakan suatu sistem di mana orang yang dibenarkan untuk meneliti akaun-akaun Petronas adalah Perdana Menteri/Menteri Kewangan sahaja. Akaun-akaun itu dirahsiakan sepenuhnya dari orang lain.

Tiada seorangpun tahu berapa ribu juta tong minyak dan gas telah dicarigali dari telaga-telaga negeri Sarawak dan Sabah ataupun berapa ribu juta dollar hasil minyak dan gas telah terjana.

Ini telah membolehkan orang-orang UMNO melakukan apa sahaja dengan wang itu, menambahkan kekayaan parti mereka, menambahkan kekayaan mereka sendiri dan menyalurkan jumlah wang yang banyak secara haram ke luar negara, yang menjelaskan kenapa Malaysia yang berkependudukan kecil telah diikhtirafkan nombor 3 dalam liga antarabangsa berkenaan kehilangan wang awam.

Bukti yang menyedihkan adalah terlalu kecil bilangan wang ini telah kembali untuk membantu orang-orang yang amat memerlukannya di Sarawak yang telah dikhianati oleh Ketua Menteri mereka sendiri.

Hanya pada tahun ini Kerajaan Persekutuan telah memotong bajet pendidikan sehingga 85% yang kononnya berdasarkan kenyataan bahawa negeri itu telah “berjaya”. Orang-orang Sarawak sendiri lebih mengetahuinya.

Pemotongan peruntukan ini amatlah tidak adil bagi Sarawak dan juga Sabah, dan dilihat sebagai suatu tanda bahawa UMNO kini menghadapi krisis ekonomi yang teruk kerana bekalan minyak dan gas dalam bumi kini kian berkurangan dan juga akibat perilaku pembaziran dan rasuah melampau BN sepanjang mereka memerintah.

Walaupun beribu juta dollar hasil minyak dan gas telah disedut dari telaga Sarawak dan Sabah, Malaysia kini tetap dibelengu hutang dan tabungan UMNO kini dikatakan kosong!

Taib dan Najib mungkin akan berasa gembira dengan penemuan baru telaga minyak baru ini untuk menambahkan kekayaan mereka menggunakan sumber asli negeri yang terakhir ini.

Penemuan telaga minyak yang baru itu dikatakan sebagai pemberian Tuhan bagi UMNO dan Taib. Penemuan telaga baru di kawasan perairan Miri dan Bintulu itu dipercayai oleh para pakar sebagai bermulanya suatu penemuan bekalan yang lebih banyak, dan menurut laporan-laporan, menjanjikan kekayaan yang lebih besar.

Namun kedua-dua pihak tetap membisu seribu bahasa apabila tiba pada tanggungjawab mereka untuk memberitahu rakyat mereka kerana rakyat merekalah yang pemilik sebenar sumber asli itu.

Sehingga kini apakah yang sedang berlaku pada penemuan itu? Seperti yang telah kami laporkan, terdapat sedikit maklumat yang telah dibocorkan bahawa keseluruhan usahasama itu telah sekali lagi dicapai antara Taib dan Petronas.

Di bawah Akta Petroleum itu Petronas tiada hak untuk terlibat dalam kedua-dua penemuan besar telaga minyak di perairan Sarawak itu. Ianya adalah hak mutlak Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan lesen mencarigali di kawasan perairannya itu.

Namun, kerana sudah selesa melombong minyak dan gas di luar pantai Sarawak, Petronas kini berurusniaga dengan Taib untuk mencarigali minyak di daratan Sarawak juga. Ianya sesuai bagi kedua-dua belah pihak.

Taib telah secara rahsia memberikan lesen mencarigali minyak di daratan Sarawak kepada Rimbunan Hijau dan 20% pegangan kepada Petronas untuk membolehkan UMNO/BN gembira juga

Telaga minyak utama yang baru di Bintulu itu, sebagaimana telah kami laporkan dahulu, telah diberikan kepada proksi perniagaannya, Rimbunan Hijau (80%) dan kepada Petronas (20%) dalam suatu persetujuan dengan membelakangkan rakyat Sarawak.

Rimbunan Hijau telah merompak khazanah hutan Sarawak dan kini memiliki ladang-ladang kelapa sawit yang amat luas, apakah kebaikannya buat orang-orang Sarawak sendiri?

Maka kini, rakaniaga Taib ini mendapat telaga minyak dari Taib pula, apakah harapan buat orang-orang miskin di Sarawak?

Kini pencarian telaga-telaga berpotensi di kawasan daratan Miri sedang giat dijalankan diketuai oleh Petronas. Kemana akan perginya keuntungan itu nanti?

Di bawah undang-undang negeri sebarang aset Sarawak adalah perkara bagi negeri, dibincangkan oleh kerajaan negeri. Namun bilakah perkara itu dibahaskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak? Apakah keputusan yang telah dibuat dan berdasarkan tender-tender apa? Kenapa pula Petronas sekali lagi diberikan kepentingan dalam usahasama ini?

Mengapakah kesemua wang itu memasuki saku sultan-sultan BN di KL dan Kuching?

Memandangkan Taib dan rakan-rakannya dalam BN dilihat merompak kekayaan Sarawak secara terang-terang, kami menggesa rakyat Sarawak untuk menghalang penipuan kali ketiga ini.

Para pengundi pada pilihanraya akan datang diminta memberikan sokongan pada siapa sahaja yang berjanji untuk meletakkan kekayaan minyak dan gas Sarawak di bawah kawalan awam negeri itu dan menguruskannya menerusi Tabung Telus yang diuruskan secara terbuka dan secara jujur bagi pihak rakyat Sarawak sendiri.

Cukuplah dengan akaun-akaun berahsia, cukuplah dengan adanya Petronas dan cukuplah dengan rompakan BN!

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments