Tamparan Hebat Dari Taib! - Saya Tidak Bermaksud Begitu, Keluh Masing

Digiling Taib? James Masing mengutuk pembawa pesanan!

Sebagaimana dijangkakan Sarawak Report, James Masing telah dengan segera mendapat cemuhan daripada bos BN kerana didapati memberanikan diri mengatakan kepada umum bahawa 12 empangan yang dirancangkan di bawah SCORE itu tidak diperlukan.
Dalam masa beberapa jam selepas temubual Menteri Pembangunan Tanah dengan agensi berita antarabangsa AFP itu, James Masing telah terpaksa memanggil sidang media untuk membuat “penjelasan”.

Sudah tentunya dia mengutuk pemberita dari agensi AFP itu kerana “tersilap tafsir” pada kenyataannya semasa temubual itu.

Bagaimana James Masing menjelaskan maksud kata-katanya berbahasa Inggeris yang dirakam oleh pemberita berbahasa Inggeris itu?

Dia telah menghuraikan bantahan orang awam yang menentang pembinaan empangan-empangan di Sarawak.
Dan James Masing bukan sahaja mengungkapkan kata-katanya itu kepada AFP. Pada hari yang sama juga dia telah menyebut perkara yang sama kepada akhbar Star, dengan membidas hujah-hujah Taib Mahmud bahawa program SCORE harus dilaksanakan untuk mendapatkan tenaga elektrik yang lebih murah.

Dalam kenyataan-kenyataannya itu dia tidak menyentuh perkataan-perkataan ‘pengenalpastian’ ataupun ‘perlaksanaan’. Maka, adakah James Masing akan mengalah dengan mengatakan bahawa konteksnya telah ‘disalahtafsirkan’, walaupun dia telah mengemukakan kenyataan yang sama kepada dua orang pemberita dalam temubual-temubual yang berbeza?

Masing kini merasa takut bahawa dia telah kehilangan sokongan politik kerana empangan-empangan.

Adalah jelas kenapa James Masing mengadu bahawa dia telah tersalah petik semasa ditemubual. Taib Mahmud telah marah dan mengarahkannya untuk menarik balik jawapannya itu.

Menteri kanannya itu telah menjadi tajuk utama akhbar dengan mengakui apa yang dunia tahu, di mana adalah tidak praktikal di segi keperluan ekonomi atau sosial bagi negeri Sarawak untuk membina semua empangan di atas sungai-sungai utamanya untuk membekalkan tenaga elektrik kepada penduduknya yang kecil.

Begitu juga pembinaan empangan itu tiada sebarang piawaian antarabangsa yang berikhtiraf, di samping tiada penilaian kesannya terhadap alam sekitar dan sosial (EIA).
Namun, pesanan dari kerajaan Taib Mahmud telah tidak berkompromi, di mana 12 buah empangan AKAN tetap dibina dan sememangnya 50 lagi sedang diambil kira.

James Masing telah diarahkan untuk menarik balik semua kenyataannya dan keraguannya mengenai SCORE yang sedang dilaksanakan.

Idris Buang – “keperluan akan mengatasi yang lain”

Taib Mahmud tiada sebarang hasrat untuk mengubah rancangannya. Marilah kita ambil kira kenyataan rasmi dari jurucakap Sarawak Energy Berhad, Idris Buang dalam rancangan Dateline dari Australia mengenai SCORE suatu ketika tidak lama dahulu.

Idris Buang telah mengesahkan bahawa Empangan Baram tetap AKAN bermula dalam tahun 2014, walaupun kajian-kajian EIA belum lagi dijalankan.
Dan di samping itu Ketua Eksekutif Taib Mahmud, Sjotveit, berbangsa Norway secara konsistennya mendakwa membina empangan-empangan di Sarawak adalah penting untuk menyokong ‘pembangunan’.

Menerusi beberapa siri emelnya Sjotveit telah berkhutbah kepada orang-orang Sarawak bahawa dia tahu apa yang terbaik untuk mereka dan mereka harus meneladani ‘model Norway’ dan bukannya membantah apa sahaja yang terlalu lapuk untuk difahami.

Percayalah pada saya, saya berbangsa Norway – Sjotveit menjelaskan bahawa dia seorang yang ‘dewasa dan matang’ tidak seperti para penentang projek empangan itu.

Kenyataan-kenyataan dari orang-orang Taib Mahmud semalam amatlah bercanggah dengan fleksibiliti dalam kenyataan-kenyataan James Masing. James Masing boleh dianggap betul kerana empangan-empangan akan hanya dibina apabila ada keperluan. Dia juga betul apabila dia dapat menerima bantahan dan penentangan orang-orang awam terhadap projek-projek sedemikian. Dan dia juga betul untuk takut kehilangan undi hanya kerana terancangnya keseluruhan skim yang bodoh itu.

Namun, kerajaan negeri Taib Mahmud dan sepupunya, Hamed Sepawi, yang mengendalikan SEB, telah membuat keputusan bahawa SEMUA empangan itu diperlukan dan akan mengenepikan perkara-perkara yang lain.

Lagipun, syarikat-syarikat seperti CMSB (milik keluarga Taib Mahmud), Naim Candera (milik Hamed Sepawi) dan Sarawak Cable (milik anak Taib Mahmud, Abu Bekir Taib) semuanya bergantung harapan untuk menjana kekayaan dari projek-projek empangan itu dan sebarang pembangunan industri yang mendapat bekalan tenaga hidro elektrik yang murah.

Namun, dalam menarik balik kenyataan-kenyataannya, James Masing tetap mengulangi hujah-hujahnya.

Mesej yang bercelaru – suatu ketika james Masing berkata dia telah disalahtafsir semasa membuat kenyataan dan pada ketika yang lain pula dia mengulangi bahawa “empangan elektrik hidro hanya akan dibina apabila keperluannya meningkat”

Pada suatu ketika dia menuduh pemberita sebagai tersilap petik kenyataan-kenyataannya semasa dia ditanya mengenai peranan SCORE dan pada ketika yang lain pula dia tetap dengan hujahnya bahawa kesemua 12 empangan itu tidak diperlukan dan tidak harus diteruskan.

Sebenarnya, semasa dia menarik balik kenyataan-kenyataannya itu, menteri itu memberikan implikasi bahawa Empangan Baram yang berkontroversi itu, yang dia katakan kepada AFP, akan tetap dibina, mungkin tidak akan dibina langsung!

Bercakap kepada Borneo Post, dia dipetik sebagai berkata “jika keperluannya meningkat, kita mungkin akan membina dua buah [empangan] lagi – di Baleh dan di Baram”.

Bagaimana pula dengan kenyataan SEB yang mengatakan bahawa pembinaan empangan Baram akan bermula pada 2014 dan bahawa keperluan untuk empangan ini dan empangan-empangan yang lain “akan mengenepikan perkara-perkara lain”?

Sebenarnya, setelah dia dipaksa oleh Taib Mahmud untuk menafikan kenyataan bahawa dia telah mempersoalkan SCORE, James Masing telah terperangkap dengan mengesahkan tajuk utama dan mengulangi kenyataan-kenyataan awalnya bahawa rancangan projek empangan di Sarawak bukannya disuratkan pada batu.

Pemusnahan yang dicela – Baram akan menghadapi nasib sama seperti Bakun.

Dia telah seterusnya mengatakan bahawa isu hangat semasa, iaitu Empangan Baram itu, mungkin akan dibatalkan!

Apakah bukti yang lebih baik bahawa BN kini sedang berpecah dan berbalah antara satu sama lain mengenai SCORE itu?

James Masing telah dicemuh hebat oleh bosnya, namun dia masih berusaha untuk menjauhkan parti PRS-nya dari rancangan-rancangan bodoh Taib Mahmud yang terbukti tidak popular di kalangan para pengundi mereka, yang juga turut mengancam kesemua enam kerusi di kawasan Dayak itu.

Para pengundi mereka akan mengenepikan kenyataan-kenyataan bercelaru James Masing itu. Dia berputus asa untuk membuat mereka percaya bahawa BN mungkin tidak akan melaksanakan SCORE dan jika ianya dibatalkan sekalipun, masanya tidak dapat dipastikan.

Namun, jika PRS dan BN diberikan mandat untuk memerintah semula, maka Taiblah orang yang akan membuat keputusan, bukannya James Masing – kerana dia hanya melakukan apa yang disuruh.

Want to get alerts for new articles ? see our Subscribe page

Your views are valuable to us, but Sarawak Report kindly requests that comments be deposited in suitable language and do not support racism or violence or we will be forced to withdraw them from the site.

Comments

comments